Setiap ibu pastinya menjadi cukup teruja dan gembira bila anak sudah memasuki usia 6 bulan. Mana tidaknya, mempersiapkan anak dengan makanan pejal dan proses untuk memperkenalkan bayi dengan deretan makanan adalah satu momen yang cukup indah.
Ditambah rasa berdebar dengan penerimaan bayi menjadikan ibu cukup bimbang. Begitulah proses perkembangan bayi kita. Namun semua ini tidaklah menjadi sesukar mana bila ibu berusaha untuk mencari semua ilmu berkaitan pemakanan ini, demi bayi tercinta.
Bagi mencari apa yang sesuai dan terbaik buat bayi anda, Puan Rose Hanizan Mat Hassan, Pakar Pemakanan daripada KPJ Perdana, Kota Bharu menyediakan nota lengkap untuk ibu jadikan panduan.
Menurutnya, selepas bayi berusia enam bulan, susu badan sahaja tidak memberikan nutrien yang cukup kepada bayi terutamanya zat besi, dan yang lain – lain dimana kita perlu memberikan makanan lain selain daripada susu badan.
Pemberian makanan pejal tidak sesuai untuk bayi berusia 6 bulan ke bawah kerana risau akan tumbesaran usus belum matang serta mempercepatkan risiko obese apabila dia besar nanti.
Makanan pejal juga bagus diperkenalkan selepas usia 6 bulan bagi mengurangkan risiko alahan kepada makanan terutamanya bagi keluarga yang mempunyai sejarah teruk kepada alahan makanan.
Sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, seeloknya anda perlu berbincang dengan doktor atau pakar pemakanan terlebih dahulu untuk memperkenalkan makanan pejal kepada bayi anda.
Bagaimana anda tahu bayi anda telah bersedia untuk makanan pejal?
1. Bayi boleh mengangkat kepalanya dan mengekalkan posisi.
Ini adalah penting bagi bayi kekal dalam posisi tegak dan stabil sekiranya dia mahu mengambil makanan dan disuap dengan sudu.
2. Melakukan pergerakan mengunyah.
Bayi boleh menolak makanan ke bahagian belakang mulutnya dan menelan. Apabila bayi sudah pandai menelan dengan efisien, dimana bila anda perhati bahawa air liur sudah kurang meleleh.
3. Bayi anda kelihatan seperti minat dengan makanan yang anda makan.
Bayi mula memerhatikan makanan yang anda sedang makan dan cuba mengambil makanan itu semasa anda mengambilnya dari pinggan untuk masuk ke mulut.
Bagi yang baru pertama kali bergelar ibu sudah tentu tiada pengalaman menyediakan makanan buat si comel anda malah ada ibu yang tidak sabar. Ada beberapa perkara yang perlu di beri perhatian agar makanan si kecil kita sihat dan berkhasiat.
• Sebaik – baiknya makanan pertama si kecil kita di masak sendiri menggunakan bahan – bahan segar dan tiada bahan pengawet.
• Sayur – sayuran perlulah di rendam sebaik yang mungkin manakala buah – buahan seharusnya di cuci serta dikupas dengan elok bagi menjaga sistem pencernaan bayi dan memastikan selamat untuk bayi kita.
Tip Perlu Tahu
Pada usia enam bulan bayi hanya disarankan makanan dalam bentuk puri, separa pejal , bubur atau makanan di kisar. Makanan pertama bayi kita digalakkan yang kurang sensitif kepada bayi serta perut nya.
Dari segi rasa juga tidak digalakkan meletakkan penambah perisa yang boleh mendorong bayi menjadi suka kepada benda yang tidak bernutrisi. Rasa makanan yang semulajadi atau rasa asli lebih baik untuk bayi.
Bijirin beras adalah makanan pertama yang sesuai kepada bayi, ibu juga boleh mencampurkan sedikit sayur – sayuran yang dilecek atau di puri kan.
Bagi makanan dalam bentuk puri, buah – buahan perlu di kukus atau direbus terlebih dahulu. Elakkan merebus terlalu lama kerana ia akan menghilangkan nutrisi makanan tersebut.
Sekiranya anda merebus sayuran ubi – ubian seperti kentang, brokoli, lobak merah, sebaik – baiknya gunakan air rebusan tersebut untuk mengisar makanan kerana ia mengandungi nutrisi (vitamin dan mineral) yang tinggi untuk keperluan bayi.
Selepas di kisar pastikan tekstur makanan tersebut tidak terlalu pekat, sebaik – baik nya sedikit cair supaya ia serasi dan lebih kurang dengan tekstur susu ibu sahaja.
Bila bayi kita sudah terbiasa lama kelamaan kita boleh memekatkan tekstur tersebut sedikit pekat secara berperingkat dan sedikit pejal seterusnya seperti makanan orang dewasa. Kepekatan makanan bayi akan membantu bayi berlatih menyunyah (dengan gusinya) dan menelan makanan.
Semasa penyediaan makanan kepada bayi, ibu juga boleh menambah perasa asli seperti bawang dan sedikit garam mengikut kepada tahap bayi. Minyak zaitun juga elok diperkenalkan kepada bayi kerana mengandungi banyak khasiat.
Selera bayi kita akan berubah – ubah, masa untuk berikan makanan tidak perlu banyak berubah dari sehari ke sehari, jenis makanan juga perlulah pelbagai dan bukan benda yang sama.
Ibu juga haruslah bijak memerhatikan tanda – tanda bayi sudah kenyang. Biasanya seorang bayi yang sudah kenyang adalah seperti bayi tidak mahu membuka mulutnya untuk terus disuap atau berpaling muka, atau mula bermain dengan makanannya.
Selepas bayi anda lebih berpengalaman, anda boleh menambahkan kepekatan makanan yang diberi serta ketulan – ketulan lembut dan makanan lecek.
Bila bayi sudah membesar mereka sudah bersedia untuk mengambil makanan jenis jejari dengan saiz potongan, cukup untuk sekali suap.
Beberapa makanan jejari yang sesuai dikisar dengan gusi dan mudah dicerna adalah seperti roti, pisang, ubi keledek yang dimasak lembut, bijirin beras rapuh atau beras paf (rice puff), dan masakan pasta beranika potongan.
Peringatan penting buat ibu, elakkan meninggalkan bayi seorang diri ketika makan kerana bimbang dengan risiko tercekik dan sebagainya.
Elakkan Tiga Perkara Ini
* Jangan terus memberi makanan kepada bayi anda sekiranya dia tidak mahu (memalingkan kepalanya atau tidak mahu membuka mulutnya). Bayi mungkin sudah kenyang atau tidak suka dengan makanan tersebut. Jika kita terus memaksa, ini akan membuat kan bayi tidak mahu mencuba makanan lain.
* Elakkan makanan yang terlalu manis, terlalu masin, makanan berlemak, makanan pedas serta terlalu berempah. Ini akan menyebabkan kerengsaan kepada perut bayi seperti kembung atau cirit.
* Jangan jadikan makanan sebagai hadiah atau dorongan. Seeloknya gunakan pelukan, ciuman dan berikan perhatian sepenuhnya kepada bayi kita.