Seorang lelaki dipenjara enam tahun setelah didapati bersalah menyebabkan bayinya mengalami kecederaan teruk pada otak yang berlaku di Victoria, Australia.
James Tipene, 33, mengaku bersalah menggoncang anaknya yang berusia lima minggu hingga tidak sedarkan diri selepas berang dikejutkan dari tidur pada 26 Jun tahun lepas.
Ketika perbicaraan dijalankan, James memberi alasan dia bertindak demikian kerana mahu anaknya ‘lebih jantan’ dan berhenti menangis, lapor portal Daily Mail.
Hakim mahkamah ketika menjatuhkan hukuman berkata bayi itu bernasib baik tidak terbunuh akibat daripada tindakan keji ayahnya sendiri.
Bayi yang dilahirkan pada Mei 2018 itu mengalami pendarahan pada otak, sawan, kekurangan oksigen, kecederaan tulang belakang dan kecederaan pada mata.
Mangsa ditemukan ibunya dalam keadaan sejuk, mata terbeliak dan tidak sedarkan diri.
Tertuduh pada mulanya berbohong mengenai punca kecederaan pada bayi itu apabila ditanya oleh pasukan paramedik dan doktor, namun akhirnya mengaku apabila perbualannya dengan ibu mangsa dirakam polis.
Bayi lelaki itu yang terpaksa menjalani pembedahan pada otak dilaporkan tidak akan dapat merangkak dan mungkin berdepan kerosakan neuron seumur hidup.
James menyalahkan pembawaan ganas pada dirinya ketika membesar di mana dia diajar bahawa “lelaki tidak boleh menangis” dan bayi yang menangis “tidak cukup jantan”.
Astro: Awani