Bayi kerap meragam selalu dikaitkan dengan ‘gangguan’ tapi benarkah dakwaan itu? Ada sesuatu yang menjadi penyebab bayi kolik hingga si manja menangis tanpa henti. Tidak dinafikan, bayi kolik susah tidur. Oleh sebab itu, ibu bapa mungkin akan alami masalah untuk memujuk anak yang sedang berada dalam keadaan tidak selesa.
Ikuti penjelasannya dalam artikel ini.
Penyebab bayi kolik
Bagaimana untuk tahu bayi menangis bukan kerana gangguan, sebaliknya disebabkan kolik bayi?
Kolik adalah ketika bayi yang sihat menangis lebih lama daripada biasa.
Ya, sudah tentu semua bayi akan menangis. Itu merupakan cara terbaik, malahan satu-satunya kaedah untuk mereka berkomunikasi menyampaikan ketidakselesaan mereka tentang sesuatu perkara.
Bayi menangis, bila ia bermula & berakhir
Serangan kolik bermula apabila bayi berusia 2 hingga 3 minggu (lebih lewat untuk bayi pramatang).
Kemuncaknya adalah apabila usia bayi mencapai 6 minggu dan akan berkurangan pada minggu ke-10 hingga 12.
Menjelang usia 3 bulan (biasanya akan sedikit lambat bagi si kecil dengan kelahiran pramatang), masalah kolik bayi akan hilang secara ajaib.
Kolik yang dialami mungkin hilang secara tiba-tiba atau berhenti secara beransur-ansur.
Kenal pasti simptom dan tanda
Selain 3 peraturan doktor di atas, berikut adalah beberapa simptom dan tanda kolik bayi yang boleh anda kenal pasti:
IKLAN
Bayi menangis berlaku pada waktu yang sama setiap hari. Biasanya pada lewat petang atau awal senja
Tangisan terjadi tanpa sebarang sebab yang boleh dikenal pasti seperti lampin kotor atau rasa lapar mahupun mengantuk
Bayi akan melakukan pergerakan kaki dan tangan yang lebih banyak daripada kebiasaannya
Ekspresi muka yang berubah-ubah, seperti menutup mata dan membukanya dengan luas, mengerutkan kening serta menahan sebentar pernafasan
Aktiviti usus yang meningkat. Bayi anda mungkin lebih kerap mengeluarkan gas atau mengeluarkan air liurnya
Aktiviti makan dan tidur terganggu disebabkan tangisan. Bayi akan panik mencari puting susu tetapi menolaknya sebaik hisapan bermula dan kembali menangis dengan kuat
Penyebab bayi kolik menangis tidak berhenti
Punca sebenar masalah kolik masih lagi misteri. Namun berikut adalah beberapa teori yang mungkin jadi penyebab berlakunya tangisan kolik:
1. Deria berlebihan
IKLAN
Menjelang akhir bulan pertama selepas kelahiran, bayi akan menjadi lebih peka terhadap rangsangan persekitarannya.
Dengan begitu banyak rangsangan dan sensasi yang muncul, menyebabkan mereka sukar mengendalikan keadaan tersebut.
2. Sistem pencernaan
Mencerna makanan adalah tugas besar bagi sistem gastrousus bayi yang masih baru.
Akibatnya, makanan akan melalui saluran usus dengan cepat dan tidak dapat dicerna dengan sepenuhnya.
3. Asid refluks bayi
Penyelidikan mendapati gastroesophageal reflux disease (GERD), boleh mencetuskan keadaan kolik bayi.
Keadaan itu mencegah asid perut mengalir ke kerongkong serta mulut dan merengsakan esofagus.
IKLAN
4. Alahan makanan
Ada pakar percaya episod kolik terjadi disebabkan oleh alahan kepada protein susu lembu atau intoleransi laktosa pada bayi yang diberikan susu formula.
Untuk kes jarang berlaku, kolik juga boleh terjadi disebabkan reaksi terhadap makanan tertentu dalam diet pemakanan ibu yang menyusukan bayi.
5. Pendedahan kepada tembakau
Kajian menunjukkan wanita merokok semasa atau selepas kehamilan cenderung mempunyai bayi dengan kolik.
Walaupun masih tidak jelas kaitan antara asap rokok dan kolik, tetapi bukankah bagus jika ibu mengandung menjaga kesihatan dengan baik?
Mengatasi kolik bayi
Tiada rawatan dapat menghilangkan kolik, tetapi ada cara untuk membantu meredakan keadaan bayi menangis.
Pastikan bayi tidak lapar.
Keadaan lampin bayi sentiasa bersih.
Cuba untuk sendawakan bayi dengan lebih kerap semasa atau selepas penyusuan.
Jika si comel menyusu menggunakan botol, cuba tukar botol lain yang lebih sesuai.
Tanyakan pendapat doktor jika menukar susu formula boleh membantu.
Sesetengah ibu mengehadkan pengambilan kafein, tenusu, kacang soya, telur atau gandum dalam diet harian dan ia berkesan menghalang kolik bayi.
Wow! Bestnya mommies dapat me-time dengan bff di Muzium Negara. Ada sharing dari pakar, games menarik dan hadiah lumayan untuk dimenangi. Jom, daftar sekarang di SINI
Perjalanan menyusukan anak sememangnya tidak mudah. Memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menjayakan penyusuan dengan baik dan lancar. Sama seperti kita, pelakon, Shakila Khoriri juga melalui pengalaman dan cabarannya yang tersendiri.
Walaupun mempunyai impian untuk menyusukan anak sama seperti ibu-ibu lain, dan dianugerahkan susu yang banyak selepas mencuba pelbagai petua, namun perjalanannya ternyata berbeza di saat anak kesayangannya, Ameena Sofea menolak direct feed di awal kelahirannya.
Meskipun mahu yang terbaik buat anaknya, namun dia reda dan akur dengan kemahuan anak kecilnya itu.
“Bila nak share pasal penyusuan ini saya percaya semua mak-mak ada cerita dan sejarahnya sendiri.
“Bagi Killa pulak bila bermula dari awal kelahiran Ameena lagi dimana waktu tu Killa overdue dua minggu dan memang dipaksa untuk bersalin sebab kalau tak bayi akan lemas dalam perut kata doktor.
“Proses bersalinkan Ameena dulu sangat mudah. Waktu tu excited sangat nak jumpa Ameena. Excited jugak nak susukan dia, macam mak-mak lain, yang semua orang impi-impikan.
“Tapi satu je yang Killa rasa terkilan sangat bila lahirkan Ameena, doktor kata bagi diorang settlekan Ameena dulu.
“Dalam kepala tengah fikirkan mesti anak tengah lapar. Masa tu nurse kata mereka bagi susu dulu sebab nampak dia lapar sangat dan tak sangka bukan sebotol tapi sampai tiga botol. Cumanya dalam kuantiti yang betullah untuk baby.
“Mulanya agak frust jugalah sebab memang nak bagi menyusu. Tapi ada jugak hikmahnya sebab kalau tunggu Killa punya susu mesti dia kelaparan nanti,” kata Killa berkongsi.
Teruja berikan snak susu kolostrum
Kata isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali ini juga berkongsi pengalaman pertama kali memerah susu terawal iaitu kolostrum begitu bermakna dalam hidupnya.
” Ramai kawan-kawan share sebelum bersalin kena buat itu dan ini dan Killa pun cuba dengan harapan susu banyak macam orang lain.
” Kila start rasa stress bila mula pam susu, susu tak sebanyak orang lain tapi Killa tetap nak kejarkan susu kolostrum sebab tahu bagus untuk anak. Waktu itu dapatlah simpan susu 2 auns untuk beri pada anak.
” Nurse minta saya bagi direct feed tapi sayangnya waktu itu Ameena awal-awal lagi sudah menolak. Dia tolak dengan lidah dia. Mujurlah dia mahu minum stok susu kolostrum yang saya simpan lebih awal.
” Saya lega dia minum susu awal yang saya simpan. Bila hari kedua, Killa perasan susu makin kurang. Banyak juga Killa dapatkan pandangan dari kakak dan rakan-rakan terdekat dan dalam masa yang sama tetap pam mengikut waktu.
” Tapi sayangnya Ameena waktu itu memang tetap tak mahu direct feed, dia hanya minum susu botol. Bila masuk minggu kedua pula terus susu semakin berkurang dan hari ke hari susu memang dah tak ada,” kongsi Killa lagi yang mula tertekan mengalami penurunan susu.
Akur Ameena tolak susu
Ibu muda ini tidak patah semangat, biarpun tanpa direct feed, dia tetap meneruskan jadual mengepamnya seperti biasa.
“Macam-macam cara yang Killa buat, minum air longan, cuba milk booster dan tidak terkecuali berurut. Tapi yang sedihnya walaupun susu kembali ada, Ameena menolak susu badan. Walaupun diisi dalam botol, dia tetap tak mahu.
“Hari-hari tengok susu terbuang macam itu sahaja, sedih sangat. Bila bagi susu formula baru dia nak minum susu. Killa cakap dalam hati, tak apalah, bagi dia masa.
“Dalam masa yang sama Killa terus pam macam biasa sebab waktu itu memang dah bengkak susu sampai Killa demam. Akhirnya beberapa minggu lepas itu, Killa dan Fizi akur dengan kemahuan Ameena.
“Apa yang kami lakukan adalah Killa tetap pam agar tak sakit dan kami teruskan susu formula untuk Ameena sebab itu yang terbaik dari dia tidak minum susu. Walaupun ada rasa terkilan tapi Killa reda,” kongsinya lagi.
Tinggal lagi 6 hari sahaja webinar Mama Tak Penat Susukan Anak akan berlangsung. Tahniah & terima kasih admin ucapkan kepada 1000 orang yang sudah mendaftar sebagai peserta webinar terbesar ini.
Mohon semua peserta untuk join Telegram Group Mama Tak Penat Susukan Anak di https://t.me/joinchat/a_u8xHQS-09mZDA1 kerana kita akan update segala info, itinerary webinar, pemenang cabutan bertuah, cara nak menang hadiah kuiz semasa webinar. Jadi penting ya untuk semua peserta join Telegram webinar.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kesihatan dan tumbesaran bayi anda adalah sangat penting, terutama dalam tempoh-tempoh akhir kehamilan. Setiap detik adalah sangat berharga. Sebelum anda mula mengambil cuti bersalin untuk berpantang, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai persiapan untuk menghadapi proses bersalin.
Secara umumnya, tempoh mengandung yang normal dan mencukupi, akan berlangsung antara 280 hari atau 40 minggu. Bagi bayi pramatang, tempoh kelahiran akan berlaku sebelum cukup 37-minggu dalam tempoh kehamilan anda. Untuk bayi yang sangat pramatang akan dilahirkan antara minggu ke-23 hingga minggu ke-28 kehamilan. Bayi pramatang sederhana pula akan lahir antara minggu ke- 29 hingga minggu ke-33.
Antara minggu ke-34 hingga minggu ke-37, bayi yang lahir dapat tempoh ini dikenali sebagai bagi pramatang lewat. Kebiasaannya, bayi yang lahir sebelum minggu ke-39 kehamilan berdepan dengan risiko yang besar untuk mengalami masalah pernafasan, gula dalam darah, dan masalah lain yang mungkin cenderung menyebabkan bayi anda dimasukkan ke unit perawatan intensif neonatal (neonatal intensive care unit, NICU).
Persediaan yang perlu dilakukan sebelum cuti bersalin
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – kelahiran
Menunggu selama 9 bulan bagi tempoh kehamilan untuk tiba ke masa anda melahirkan bayi anda ke dunia pastinya merupakan detik yang sangat dinantikan, malahan ia pastinya merupakan masa yang dinantikan oleh seluruh keluarga anda. Namun, sebelum itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh bakal ibu untuk memastikan proses kelahiran bayi anda berjalan lancar. Berikut adalah langkah persediaan yang boleh dilakukan sebelum anda bersalin.
Menghadiri kelas persediaan bersalin
Selain mendapatkan maklumat dan pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi ibu, anda juga boleh mendapatkan informasi lanjut dengan menghadiri kelas persediaan untuk bersalin. Tujuan kelas ini dijalankan adalah untuk mengetahui lebih lanjut dan spesifik mengenai kelahiran bayi yang akan memudahkan anda membuat keputusan dan mengurangkan perasaan takut serta gementar. Berikut merupakan perkara asas yang akan diajar kepada anda melalui kelas persediaan untuk bersalin:
Petanda kelahiran
Simptom normal kelahiran
Teknik untuk mengawal kesakitan
Bagaimana pasangan anda boleh membantu
Bila waktu anda perlu memanggil doktor atau jururawat
Mencukur bulu ari-ari
Ketika sedang hamil, anda mungkin runsing sama ada perlu mencukur bulu ari-ari anda atau tidak terutamanya jika ini merupakan kehamilan kali pertama. Hakikatnya, kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan memudahkan anda dan doktor untuk melakukan prosedur kelahiran. Ia juga dapat mengurangkan risiko infeksi yang boleh dihidapi sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebetulnya sebelum kelahiran bayi. Oleh itu, pakar perubatan menyarankan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum melahirkan anak untuk tujuan keselamatan dan kebersihan anda dan kandungan.
Mengetahui peringkat proses kelahiran
Setiap wanita mempunyai peringkat proses kelahiran yang berbeza. Tiada siapa yang dapat meneka atau mengenalpasti tempoh peringkat proses kelahiran mereka sendiri. Secara dasarnya, anda akan mengalami tiga peringkat semasa proses kelahiran anda:
Peringkat pertama: peringkat ini bermula apabila otot rahim mula mengecut, mengembang dan kemudian relaks yang akan membantu pembukaan serviks. Fasa ini boleh berlaku beberapa jam sehingga beberapa hari. Anda akan mengalami kontraksi aktif yang kerap dan bertahan selama beberapa minit.
Peringkat kedua: peringkat ini bermula apabila serviks anda mula meluas dan menolak bayi keluar.
Peringkat ketiga: peringkat ini adalah fasa bayi anda sudah dilahirkan. Kontraksi akan terus berlaku sehingga plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Bagi membantu mengawal kesakitan semasa bersalin, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
Urutan perineum: urutan perineum ini adalah teknik yang secara perlahan-lahan dapat meregangkan kulit dan tisu sekitar vagina dan anus anda semasa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh lakukan urutan ini pada minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum ini menunjukkan keberkesanan dengan mengurangkan kekoyakan perineum semasa bersalin.
Senaman pelvik atau senaman Kegel: otot pelvik anda perlu untuk meregang dalam usaha menolak bayi anda keluar melalui pelvis. Oleh itu, wanita hamil perlu melakukan senaman pelvik dengan kerap bagi memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Bagaimana mengatasi kerisauan sebelum cuti bersalin?
Bagi ibu yang pertama kali akan melalui pengalaman proses kelahiran bayi, pastinya terdapat beberapa perkara yang menjadi kerisauan dan kebimbangan di hati dan fikiran. Gementar? Takut? Ia adalah rasa yang normal untuk dilalui. Berikut adalah beberapa perkara yang sering menjadi kebimbangan sebelum menempuhi proses bersalin.
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya.
Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – epidural
Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Apakah perbezaan bersalin secara normal atau pembedahan caeserean?
Setiap individu wanita yang mengandung, mengimpikan proses bersalin atau kelahiran yang mudah dan singkat tanpa sebarang komplikasi – berdepan dengan beberapa kontraksi, proses meneran dan lahirlah seorang bayi yang comel – namun, malangnya, tidak semua proses kelahiran akan berjalan lancar seperti itu.
Sesetengah bayi mungkin terpaksa dan perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan caeser (C-section). Jika anda berharapkan untuk melalui proses kelahiran normal, berikut mungkin dapat membantu anda untuk memahami bagaimana dan mengapa kaedah pembedahan caesar dilakukan dan ia mungkin boleh dianggap sebagai persediaan jika proses bersalin dan kelahiran normal tidak dapat dilakukan seperti yang anda inginkan. Walau apapun proses kelahiran dan bersalin yang perlu anda lalui, adalah yang paling utama adalah keselamatan anda dan bayi, perlu diutamakan.
Apakah itu pembedahan caesarean?
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – caesarean
Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:
Pembedahan caesarean elektif
Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.
Pembedahan caesarean kecemasan
Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.
Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?
Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:
Plasenta previa (uri di bawah)
Plasenta accreta (uri melekat)
Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)
Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu lagi, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar dikendalikan.
Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?
Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.
Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.
Kelebihan dan kekurangan proses kelahiran normal buat ibu
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – bersalin normal
Kelahiran normal atau melalui faraj, turut boleh mendatangkan beberapa risiko kepada ibu. Antaranya, kulit dan tisu sekitar faraj boleh meregang dan terkoyak ketika janin bergerak untuk melalui saluran kelahiran, iaitu faraj anda. Jika regangan atau koyak adalah agak kronik, anda mungkin memerlukan jahitan atau jika tidak, ia boleh meyebabkan kelemahan atau kecederaan pada otot pelvik yang berfungsi mengawal air kencing dan fungsi ususnya.
Terdapat kajian yang mengatakan, individu wanita yang melahirkan bayi melalui faraj atau proses bersalin normal, cenderung untuk berdepan masalah usus atau inkontenensia kencing berbanding wanita yang melalui proses bersalin C-section. Ini kerana mereka akan cenderung untuk membuang air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Selain itu, selepas bersalin melalui faraj, mereka juga berkemungkinan akan mengalami kesakitan yang berlarutan pada bahagian perineum, iaitu kawasan antara vagina dan dubur.
Tempoh selepas Bersalin
Selepas melahirkan bayi, anda perlu lebih berhati-hati memandangkan tubuh anda berada pada keadaan paling rapuh semasa tempoh postpartum atau selepas bersalin, terutama jika anda menjalani kelahiran pembedahan C-section. Selain mengalami kesakitan fizikal, emosi anda juga akan melalui beberapa fasa berbeza yang mungkin akan berlangsung beberapa hari atau menghantui anda dalam tempoh yang lama.
Apa itu postpartum?
Semasa minggu pertama selepas anda melahirkan bayi, tubuh anda masih dalam proses penyembuhan dan menyesuaikan diri dengan fasa tidak hamil. Tempoh ini dipanggil postpartum (selepas bersalin), di mana tubuh anda akan melalui pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan anda. Antara tempoh 2 hingga 6 minggu selepas kelahiran, doktor anda akan membuat temujanji untuk memeriksa kadar penyembuhan dan kesihatan anda secara keseluruhan.
Apa yang berlaku kepada tubuh anda semasa tempoh selepas bersalin?
Semasa tempoh ini, tubuh anda selalunya akan rasa sakit dan lesu. Anda akan mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika anda bersalin secara pembedahan C-section, anda mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti di bawah pada tubuh anda:
Bengkak
Pendarahan faraj
Kesakitan faraj
Bengkak payudara
Kekejangan
Masalah pundi kencing
Masalah pergerakan usus
Rambut menipis
Kehilangan pigmentasi kulit
Kemurungan selepas bersalin
Bagaimana untuk anda cepat sembuh, secara fizikal dan juga mental?
Berikut beberapa cadangan untuk membantu anda menangani simptom selepas bersalin:
Jangan terlalu risau
Cuba untuk meridap atau tidur semasa bayi anda tidur
Minta bantuan dan sokongan daripada pasangan melakukan kerja penjagaan bayi dan rumah
Biarkan ahli keluarga anda menjaga anda, melakukan kerja-kerja rumah dan membawakan anda makanan sehingga anda benar-benar pulih dan boleh melakukannya sendiri
Minta bantuan ahli keluarga untuk menjaga anak anda yang lain (jika ada)
Minum banyak air terutama jika anda menyusukan bayi
Bagaimana postpartum boleh menjejaskan emosi anda?
Beberapa minggu terawal selepas kelahiran, anda mungkin rasa teruja dan letih pada masa yang sama. Di samping gembira dengan kehadiran bayi comel anda, anda juga boleh berasa terlalu penat kerana kurang tidur dan juga sedang menyesuaikan diri memikul satu lagi tanggungjawab baharu.
Ramai wanita yang melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan mereda dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, atau anda berasa ingin mencederakan diri sendiri atau bayi, segera berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin atau meroyan.
Andainya sakit anak boleh dipindahkan, semua ibu bapa pasti sanggup. Tapi apakan daya, itu adalah takdir yang telah ditentukan. Percayalah setiap ibu bapa yang terpilih dengan ujian anak sakit ini, Allah tahu kita mampu menghadapinya.
Walaupun di dunia kita diuji, di sana nanti pasti ada ganjaran yang Allah akan berikan. Seperti perkongsian ibu ini, Puan Norunajwa Safiei pemergian anaknya yang berjuang dengan sakit kanser darah akan menjadi kenangan buat selama-lamanya.
Penyakit yang paling ditakuti Allah uji pada anak
Tarikh 4 Februari setiap tahun adalah tarikh Hari Kanser Sedunia. Izinkan saya berkongsi kisah anak Syurga saya Adam yang diuji sakit kanser.
Sewaktu dimaklumkan anak menghidapi sakit kanser darah (leukimia) hati bagai tidak percaya. Lutut rasa lemah. Kepala rasa sakit bagai di hempap batu yang besar. Penyakit yang paling ditakuti akhirnya di alami oleh anak sendiri.
Hanya air mata sebagai peneman
Air mata sentiasa menjadi peneman. Anak saya juga sering menangis. Mungkin masih terkejut dengan suasana wad yang sangat asing baginya. Akhirnya, atas sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya tanamkan dalam diri yang saya perlu positif.
Perlu kuat di hadapan anak agar anak lebih kuat semangat. Walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Tapi saya cuba kelihatan tenang dan bagaikan tiada apa yang berlaku. Sentiasa layankan dan hiburkan hatinya.Berusaha untuk buat mereka tersenyum. Saya tidak mahu anak saya sedih. Tipulah jika saya tidak menangis. Tapi elakkan menangis di hadapannya.
Pengorbanan buat anak
Lama kelamaan anak saya juga semakin positif. Dia sentiasa tersenyum walaupun menanggung sakit yang dihadapinya. Sakit kanser bukan seperti sakit demam biasa. Tapi terlalu banyak ujian yang dialaminya selepas kimoterapi seperti ulser, demam, sakit badan. Bergantung kepada antibodi masing- masing.
Ujian yang dilalui buat saya lebih belajar. Belajar erti sebuah pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran. Pengorbanan seorang ibu yang amat kasih dan sayangkan anaknya. Juga kesabaran dalam menjalani hari-hari bersama mereka.
Tanggal 27 Ogos Allah jemput kembali pada-Nya
Sungguh, kadangkala runtun hati saya sebagai seorang ibu bila melihat rawatan yang diterimanya di kala umur masih kecil begitu. Namun, bila memikirkan itu salah satu usaha, saya perlu juga kuatkan hati.
Akhirnya tanggal 27 Ogos 2020 anak saya pergi jua. Walaupun berat, tapi saya sekeluarga redha dan ikhlas. Berbaik sangka dengan Allah. Ada hikmah atas perancanganNya. Sakit cuma asbab.
Hakikatnya masa mereka telah tiba. Allah lebih sayangkan mereka. Hilang sudah segala kesakitan mereka. Buat ibu bapa yang diuji anak sakit kanser atau sakit lain, moga kalian sentiasa di permudahkan urusan.
Diberikan kekuatan dan kesabaran. Hanya kepada Allah kita memohon. Anggap ini sebagai satu ujian dan hikmah. Jika ada keluarga atau rakan yang mengalami situasi yang sama, berikanlah kata semangat. Kata semangat juga mampu untuk membuatkan mereka lebih kuat.
-Mama Wildan Syurga Muhammad Adam Furqan-
Kredit: Norunajwa Bt Safiei
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!