Kehamilan

Bayi Kurang Bergerak? Jangan Tunggu Esok Lusa Jumpa Doktor. Lagi Lambat Lagi Bahaya!

Share

Merasa pergerakan bayi dalam kandungan untuk kali yang pertama adalah detik yang sangat mengujakan dan memang sangat istimewa buat ibu.

Macam mana pergerakan bayi yang dikatakan normal ?

Kebanyakan wanita hamil akan pertama kali merasakan pergerakan bayi mereka ketika 18 hingga 20 minggu usia kandungan. Walau bagaimanapun, jika ini adalah kandungan yang pertama, ibu mungkin akan mula menyedarinya dalam kira-kira minggu ke-18 hingga minggu ke-20, atau lebih lewat. Sebaliknya jika anda pernah hamil sebelum ini, pergerakan bayi boleh dirasai daripada kira-kira minggu ke-15 dan minggu ke-18.

Gerakan menendang, atau perasaan ketukan lembut pada perut anda, tanpa anda sedari sebenarnya adalah sebenarnya pergerakan bayi itu.

Dengan perkembangan bayi, kebiasaannya pergerakan bayi juga akan turut berubah. Bayi anda akan bergerak lebih agresif sewaktu tengah hari dan petang. Manakala pada awal pagi dan malam, bayi anda akan mempunyai masa ‘tidur’ yang kebiasaannya dalam jangka masa 20 hingga 40 minit dan tidak melebihi 90 minit. Pada ketika ini bayi anda tidak akan bergerak. Bayi juga macam kita, perlukan masa berehat sebentar.

Pergerakan bayi akan meningkat sehingga 32 minggu kandungan dan kadar pergerakan akan menjadi statik sehingga saat dijangka bersalin. Menjelang penghujung kehamilan, bayi anda akan berehat selama kira-kira 45 minit sekali. Waktu rehatnya ini mungkin bagi anda terasa lebih panjang kerana anda tidak akan dapat merasa setiap pergerakan yang dilakukannya.

Lazimnya, jika anda terlalu sibuk dengan kerja seharian, ibu mungkin terlepas mengira atau merasakan pergerakan bayi anda. Walau bagaimanapun, apa yang paling penting adalah ibu perlu merasa pergerakan bayi sehingga saat kelahirannya.

Apakah kepentingan pergerakan bayi?

Semasa kehamilan, pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Jika berlaku perubahan pada pergerakan bayi, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat dan memerlukan perhatian doktor. Maka bersegeralah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Jangan tunggu esok lusa atau minggu depan.

Berapakah tendangan yang patut ibu rasakan dalam satu hari?

Tidak ada jumlah tendangan yang tetap yang perlu anda rasa. Sebenarnya tak perlu pun untuk tulis rekod tentang carta pergerakan bayi, asalkan ibu rasa pergerakan bayi pada setiap hari adalah sama seperti hari-hari kebiasaanya. Ada ibu terlupa nak catat carta pergerakan, sebab terlalu sibuk dengan kerja seharian. Tak mengapa persepsi ibu yg penting. Ibu lebih tahu bayinya bergerak ok atau tak.

Ibu digalakkan untuk memahami corak pergerakan bayi anda. Semakin lanjut kehamilan anda, semakin mudah untuk anda mengenal pasti corak pergerakan bayi. Setiap bayi mempunyai corak tidur dan jaga (awake) yang berlainan; lambat laun anda dapat mengenal pasti apa yang normal bagi bayi anda. Jika anda mengesan sebarang ketaknormalan pada coraknya, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera.

Apakah yang perlu saya lakukan jika pergerakan bayi kurang atau tidak memuaskan?

Sentiasa dapatkan perhatian doktor dengan segera. Jangan abaikan pula masalah ini dengan mengambil keputusan untuk menyambung tidur. Bayi mungkin dalam bahaya.

Pemeriksaan serta bentuk rawatan yang akan diberikan kepada anda bergantung kepada usia kandungan anda.

Usia kandungan kurang 24 minggu

Kebanyakan wanita hamil hanya menyedari pergerakan bayi mereka dalam usia kandungan 18 hingga 20 minggu. Jika pada 24 minggu, anda masih tidak merasai pergerakan bayi, anda seharusnya menghubungi kakitangan perbidanan (doktor atau jururawat) dan mereka akan memeriksa degupan jantung bayi dan akan menjalankan ujian ultrasound untuk memastikan bayi dalam keadaan yang baik.

Usia kandungan berusia 24 hingga 28 minggu

Kakitangan perbidanan akan memeriksa degupan jantung bayi anda. Anda akan menjalani pemeriksaan keseluruhan antenatal, tekanan darah ibu dan kehadiran albumin dalam air kencing akan turut diperiksa. Ketinggian rahim juga akan diukur; jika tinggi rahim ini lebih kecil daripada usia kandungan anda, ujian ultrasound akan dilakukan untuk mengetahui kadar perkembangan bayi, dan seterusnya akan ditandakan ke atas graf tumbesaran bayi.

Usia kandungan melebihi 28 minggu

Anda seharusnya menghubungi kakitangan perbidanan terdekat anda secepat mungkin. Jangan berlengah lagi, mahupun menunggu hari esoknya untuk mengambil tindakan. Anda akan ditanya sekali lagi mengenai pergerakan bayi anda. Degupan jantung bayi akan diperiksa menggunakan mesin CTG selama 20 minit. Sekiranya keputusan pemeriksaan CTG adalah normal, bayi anda berada dalam keadaan yang baik dan ada akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan ultrasound menunjukkan kuantiti air mentuban mencukupi dan kadar pembesaran bayi anda normal.

Jika terdapat masalah pada CTG ataupun ujian ultrasound, doktor akan berbincang dengan ibu mengenai rawatan susulan yang diperlukan. Jika bayi berada dalam keadaan bahaya, bayi anda mungkin perlu dilahirkan dengan kadar segera. Ini semua bergantung pada usia kandungan serta tahap perkembangan bayi tersebut.

Bagaimana jika setelah saya dibenarkan pulang, pergerakan bayi kembali mengurang?

Jika anda dibenarkan pulang, anda seharusnya mengambil tahu pergerakan bayi anda dari masa ke semasa. Jika berulangnya masalah pergerakan bayi kurang, jangan berasa ragu-ragu untuk ke hospital dengan SEGERA, biarpun masalah anda ini berulang-ulang untuk yang ke sekian kalinya. Kami sedia membantu anda.

Ingat, jangan tunggu esok, lusa, tulat, minggu depan kalau baby kurang gerak. Jumpa Dr segera. Terima kasih Ibu atas keprihatinan anda !

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Published by
SAHR