Pergerakan bayi atau janin dalam kandungan pastinya berbeza mengikut trimester. Pada trimester kedua kehamilan, pergerakan bayi dalam kandungan agak sukar untuk dijangkakan.
Pergerakan bayi akan mula berlaku, tetapi dengan pergerakan yang amat minimum. Ada yang merasakan perut mereka seperti sedang ‘berbuih’ atau bergas.
Apabila minggu kehamilan anda semakin meningkat, maka pergerakan ini akan semakin kerap dan semakin kuat. Pergerakan bayi juga akan semakin besar apabila bayi semakin membesar.
Pada trimester ketiga pula, anda mungkin sudah boleh mengenal pasti corak tertentu pergerakan bayi dalam kandungan anda. Berkemungkinan bayi anda akan semakin aktif pada waktu tertentu.
Sebagai contoh, anda mengesan bayi anda semakin aktif bergerak apabila anda bersenam, ketika anda berbaring atau ketika anda memakan sesuatu yang manis.
Anda sepatutnya memberikan perhatian terhadap corak pergerakan bayi ini agar anda boleh mengenal pasti jika terdapat sebarang pengurangan pergerakan kelak.
Doktor mungkin akan menyarankan anda untuk memerhatikan kiraan tendangan bayi untuk melihat sebarang perubahan dalam rutin janin.
Bagaimana untuk mengira tendangan bayi dalam kandungan?
Kongres Pakar Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG) menasihatkan anda menentukan masa yang diperlukan untuk merasakan 10 pergerakan atau tendangan janin.
ACOG mengesyorkan untuk melakukan kiraan ini pada masa yang sama setiap hari, iaitu pada waktu bayi anda paling aktif.
Anda boleh memulakan kiraan tendangan bayi pada minggu ke-28. Bagi kehamilan yang berisiko tinggi, anda boleh memulakan kiraan pada minggu ke-26.
Namun, adalah lebih baik untuk anda duduk dengan kaki ke atas atau baring di sebelah kiri badan semasa melakukan kiraan tendangan. Cuba tetapkan masa dan catat nota setiap kali anda merasakan pergerakan.
Anda juga boleh memuat turun aplikasi pemerhatian janin pada telefon pintar untuk membantu anda menjejaki pergerakan bayi dengan lebih mudah.
Punca bayi kurang gerak di akhir kehamilan?
Ada juga kes di mana bayi kurang gerak di akhir kehamilan. Malah ada yang berpendapat bahawa keadaan ini sesuatu yang normal kerana bayi kurang gerak tanda bersalin hampir tiba.
Perlu diketahui bahawa punca bayi kurang gerak di akhir kehamilan boleh berlaku dengan pelbagai sebab. Ada sebab yang normal dan ada juga faktor yang tidak normal.
Bagi punca yang normal, ia mungkin disebabkan faktor janin yang sedang tidur sewaktu anda membuat kiraan tendangan janin. Antara punca bayi kurang gerak di akhir kehamilan yang berbahaya ialah seperti pertumbuhan bayi yang perlahan, masalah dengan plasenta dan juga masalah bayi terjerut dengan tali pusat.
Oleh itu, anda perlu segera hadir ke hospital untuk doktor melakukan pemeriksaan lanjut sekiranya anda mengesan corak pergerakan bayi yang tidak normal.
Jika anda berasa risau dan mahu meningkatkan atau merangsang pergerakan bayi dalam kandungan, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan.
Antara yang boleh anda cuba ialah:
* Cuba bercakap dengan bayi atau mendengar lagu
* Makan snek atau minum air jus buah-buahan
* Cuba berjalan sedikit di sekeliling rumah atau melakukan senaman ringkas
* Cuba cucuk atau tekan perut anda perlahan-lahan untuk melihat tindak balas bayi dalam kandungan
Jika ia tidak normal seperti biasa, terus berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut!
Menarik: Mona Allen Selamat Bersalin Anak Kedua Timang Bayi Lelaki/
Dato Siti Nurhaliza Tak Fokus Hamil Lagi, Mahu Jaga Kesihatan, “Dulu Ada Masalah Uri Melekat”
“Baby Alhamdulillah Sihat” Leeyana Rahman Lega Nak Masuk Trimester Kedua, Idam Dapat Anak Lelaki/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my