
Bayi menangis bila diletakkan di carseat? Sebelum ibu ayah jangan kata anak tidak mahu duduk di carseat & give up untuk letak, ketahui faktor ini yang mungkin menjadi sebabnya.
Car seat atau kerusi keselamatan bayi amat penting untuk digunakan sepanjang perjalanan. Kerana malang tidak berbau dan sekiranya berlaku kemalangan, risiko kecederaan dapat diminimumkan dan kehilangan nyawa dapat dielakkan.
Mama & papa perlu elakkan memangku anak di riba ketika kereta sedang dipandu/ bergerak kerana ia meningkatkan risiko bayi terlepas daripada pangkuan atau pelukan sekiranya berlaku kemalangan. Biarlah mereka menangis hari ini daripada kita menangisi pemergian mereka di kemudian hari.
Untuk melakukannya, memang ibu ayah perlukan kekentalan. Ada ibu bapa yang mengadu bayi jadi kerap menangis apabila diletakkan di car seat. Ia mungkin disebabkan oleh perkembangan yang sedang dilaluinya seperti mula bereksperimentasi dengan keadaan dan orang sekelilingnya.
Ibu ayah perlu faham yang peringkat sensori motor/ motor deria terjadi sejak lahir hingga si manja berumur 2 tahun. Dalam fasa ini, seorang bayi melalui perubahan tumbesaran yang mendadak.
Seorang bayi akan menggunakan kemahiran dan kebolehan mereka yang ada ketika lahir (melihat, mendengar, memegang dan merasa/menghisap) untuk belajar lebih tentang persekitarannya. Dengan kata lain, mereka belajar tentang dunia ini melalui deria dan pergerakan motor mereka.
6 PERINGKAT PERGERAKAN MOTOR SI MANJA
Terdapat enam sub-peringkat di dalam fasa ini:
- Refleks (0-1 bulan): Bayi belajar dan memahami melalui penglihatan, pendengaran, merasa, menghidu dan menghisap.
- Reaksi ulangan primer (1-4 bulan): Bayi mungkin pada mulanya terhisap jarinya sendiri tetapi kemudian mengulang perbuatan yang sama kerana dirasakan seronok.
- Reaksi ulangan sekunder (4-8 bulan): Bayi akan mula untuk mengulang sesuatu dengan sengaja untuk melihat reaksi pada persekitarannya. Contohnya membaling sesuatu objek untuk melihat reaksi anda.
- Menyusun reaksi (8-12 bulan): Anak mula faham dan melakukan perbuatan dengan tujuan tertentu. Dia juga mula meniru dan memahami tentang sesuatu objek serta kesannya sebagai contoh permainannya akan berbunyi apabila digoyangkan.
- Reaksi ulangan tertier (12-18 bulan): Ini adalah fasa cuba gagal (try & error) mereka untuk bereksperimentasi dengan persekitaran.
- Perwakilan pemikiran awal (18-24 bulan): Anak mula mengaitkan simbol yang mewakili objek atau peristiwa di persekitarannya. Mereka mula memahami dunia dengan operasi pemikiran berbanding hanya bergantung pada perbuatan.
Ibu bapa harus peka dengan perkembangan kognitif seorang bayi yang meningkat secara drastik dalam peringkat ini. Kerap kali kami berhadapan aduan ibu bapa bahawa anak-anak mereka ketika berumur di bawah 2 tahun ini kerap menangis di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (child restraint system, CRS).
DIA MUNGKIN BEREKSPERIMEN!
Jika kesemua keperluan fizikal & emosi anak (susu, lampin, keselesaan, tidak penat) telah dipenuhi, anda perlu faham pada fasa tertentu ketika ini, mereka mungkin sedang bereksperimentasi dengan anda!
Sumber: www.cpsmalaysia.org
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Dipukul, Diherdik Anak 0-3 Tahun Untuk Mendidik! Hanya Akan Jadikan Anak Itu Pemarah

“Kenapalah anak saya ni buat perangai gini. Selalu sangat mengamuk. Aduhai..stress saya dibuatnya.”
“Dulu, asal tak nampak saya melalak kemain, sekarang macam-macam perangai yang mengeramkan saya. Mana taknya, mainan orang dia rebut, kongsi..emm jangan haraplah. Kadang tu tolak kawan. Geram betul saya. Dah cakap baik-baik tak nak dengar. Berbuih dah mulut ni pesan kat dia. Buat juga.”
“Orang kata jangan dibiarkan perangai macam ni. Nanti jadi budak degil. Tapi, kesian pula bila dah pukul. Tapi kalau tak buat gitu, menjadi-jadi plak perangainya.”
“Hari tu saya baca dalam page, Ibu Rose kata umur 1 tahun 6 bulan macam ni tak boleh pukul atau hukum. Saya buntulah, nak buat macamana. Stress betul.”
Macam dialog drama hari ini pula ya..
Sayang, rileks ya. Jangan stress stress, nanti cepat tua. Abis susut kejelitaanmu. Baik, demi meredakan keresahan, biar Ibu bantu sayang leraikan segala persoalan itu ya. Cuba sayang baca perlahan-lahan dan hadamkan apa yang Ibu bakal kongsikan.
Anak baru 1 tahun 6 bulan. Usia ini masih kecil dan yang paling ketara pada usia ini ialah anak-anak kecil dijadikan oleh Allah kuat egocentric. Maksudnya bukan dia ego, tetapi dia lebih fokus kepada dirinya. Mekanisma ini ada pada setiap manusia pada usia ini. Inilah cara Allah memastikan kemandirian manusia di dunia ini.
Anak-anak pada usia ini hanya memikirkan dirinya kerana pada usia ini bahagian lapisan kedua daripada bahagian ketiga lapisan otak – triune belum begitu berkembang.
Otak ada tiga lapis. Bahagian paling bawah mengawal keselamatan, berkembang pada masa lahir hingga 3 tahun. Pada usia ini anak-anak hanya memberi respons kepada stimulus, ransangan dan belum boleh berfikir seperti orang dewasa. Mereka belum boleh ‘reasoning’.
Pada usia 3 tahun barulah lapisan kedua atau otak tengah anak berkembang. Bahagian otak ini menjaga emosi dan kesihatan. Pada ketika ini barulah anak-anak memikirkan orang lain dan sedar lebih mengenai kewujudan orang lain. Pada masa ini juga barulah EQ anak mula berkembang dan dia mula faham untuk bertolak ansur.
Kalau anda perhatikan, semasa inilah baru anak pandai untuk berkongsi barang dan menunjukkan perasaan timbang-rasa. Sebelum ini, anak hanya mahu kan toys nya dan tidak mahu berkongsi. Tetapi mahukan toys kawannya. Dia tidak pun memikir perasaan kawan-kawannya. Dia hanya memikirkan perasaan dirinya sahaja.
Namun, jika ibu bapa tidak pandai mengendalikan fasa ini, maka kita boleh lihatlah perangai itu di dalam diri seorang yang sudah 60 tahun pun. Orang yang hanya mementingkan dirinya. Mengapa? Kerana semasa dia di dalam fasa ini, dia dipaksa mengalah, dihukum jika tidak dan diperlakukan dengan kekasaran, maka kematangan dirinya tidak berkembang. Atau, semasa dia di dalam fasa ini, dia tidak diajar dengan baik, diberi input dan dibina kematangannya. Bila dia tidak mahu berkongsi barang atau merampas mainan anak-anak yang lain walaupun sudah lebih 3 tahun usia, di biarkan sahaja. Ini menjadikan anak itu membina karektor mementingkan diri sendiri.
Anda akan lihat anak yang merasakan dia dijaga dengan baik dan berasa selamat, bahagian otak tengah ini mungkin sudah mula berkembang pada usia lebih awal. Maka anda melihat situasi anak-anak itu baru menjangkau 2 tahun, tapi sudah boleh memikirkan perasaan orang lain. Pucuk pangkalnya, bila anak itu rasa selamat, perkembangannya cepat.
Pada usia 4 tahun keatas barulah bahagian otak paling atas iaitu neokorteks atau otak berfikir anak mula-mula develop. Barulah mereka boleh faham penerangan yang kita beri dengan lebih lagi. Namun, mereka masih belum boleh membezakan yang baik dari yang buruk kerana mereka belum mumayiz. Frontal lobe mereka belum develop penuh.
Oleh kerana ibu bapa dan ramai orang dewasa termasuk datuk nenek tak faham, cepat saja mereka menamakan anak-anak kecil seperti yang nampak tidak mendengar penerangan dan larangan sebagai degil dan ego.
Setiap kali Ibu mendengar perkara seperti ini, terhiris sungguh hati Ibu kerana sampai hati orang dewasa melakukan perkara begini kepada anak-anak kecil yang masih suci seperti kain putih.
Jika anak itu salah berperangai, merebut barang, atau bermain dengan benda yang merbahaya, untuk dia tidak terus melakukan perkara itu, anda boleh mengambil dia dari situ dan boleh katakan kepadanya “No, ini tak boleh, dengan tegas tapi penuh kasih-sayang”. Kemudian bawa dan ajak dengan baik dia ke tempat yang ada benda yang boleh dia bermain dan katakan, Yes, yang ini boleh. Dan katakan lebih dari 3 kali untuk menguat stimulus positif yang akan membina diri yang positif. Supaya, terakam diminda bawah sedarnya akan stimulus positif ini. Dia tidak boleh terus ingat, kerana tempat memori adalah pada bahagian otak tengah. Masa ini bahagian itu belum lagi develop.
Ya, memang kononnya jalan paling senang dan cepat bagi menangani anak-anak kecil yang kuat kehendaknya ini ialah dengan memarahinya dan menghukumnya dengan kasar. Tapi ini menyebabkan anak ini berasa tidak selamat. Ingat pada usia ini, bahagian otak paling bawah yang sedang develop. Anak ini akan berasa tidak selamat. Bila seorang itu berasa tidak selamat, dia akan lari atau melawan. Maka itulah yang menyebabkan bila dia besar sikit dan kerana keadaan marah-marah dan melarang dengan kasar ini berterusan, anak itu akan selalu mengamuk dan bertambah kuat mengamuk. Atau menjadi anak-anak yang senyap kerana TAKUT dan tiada keyakinan diri.
Bila terjadi begini, apakah yang ramai orang dewasa lakukan? kuatkan lagi marah dan kuatkan lagi hukuman. Lama-lama, menjangkau 3 tahun, emosi anak penuh dengan kemarahan dan kesedihan. Anak begini membesar menjadi anak-anak yang memendam rasa, nampak diam, tapi bom jangka sedang berdetik, menunggu masa saja untuk meletup. Tiba usia yang lebih tua, seperti remaja, anak yang sama ini akan menjadi sangat degil, pemarah dan tidak hormat orang tua. Ada yang menerajang ibu bapa!
Bukankah telah diingatkan oleh Nabi s.a.w, bahawa pada akhir zaman, akan ramai anak-anak yang menjadi tuan pada ibu bapa mereka. Bukan kerana ibu bapa mereka melayan mereka dengan kasih-sayang tetapi kerana ramai ibu bapa yang tidak memahami bagaimana untuk mendidik anak-anak sehingga mereka tersilap cara lalu merosakkan diri anak-anak itu sendiri.
Anak yang dibesarkan dengan kasih-sayang, hormat dan kefahaman psikologi kanak-kanak, akan membesar mengasihi ibu bapa mereka.
Bila kita berlembut dengan anak sekecil 1 tahun 6 bulan, itu bukan bermaksud kita memanjakan atau membiar dan kita lemah. Sebenarnya, kita sedang membina rasa selamat yang kukuh, untuk mudah otak tengahnya pula develop cepat. Kita tetap tegas, tapi kita juga penuh kasih-sayang.
Cuba tengok betul-betul, anak-anak yang dididik penuh kasih-sayang, dihormati perasaaan mereka dan berasa selamat, meningkat cepat kepandaian mereka berbanding dengan anak-anak yang selalu dimarah dan dihukum kasar.
Bila anak-anak sekecil itu merampas mainan kawan, bukan dia perampas, tapi dia belum lagi tahu maksud ini barang orang dan dia perlu meminta izin atau bermain bersama. Anak pada usia ini, kalau dia hendakkan sesuautu, dia mengambilnya sahaja. Bila tidak dapat dia akan meraung. Kerana itulah yang dimaksudkan egocentric. Centre pada dirinya sahaja.
Janganlah kita orang dewasa cepat melatah dan menghukum anak-anak kecil ini dengan perkataan seperti jahat, degil, perampas… dan dipukul dan sepertinya yang akan masuk ke unconscious mindnya dan menjadi belief atau kepercayaan yang merosakkan diri anak itu.
Ibu tahu yang membaca penulisan ibu ini adalah ibu bapa yang prihatin dan mahukan kebaikan untuk dirinya dan anak-anaknya. Ibu pernah menjadi ibu muda dan sekarang nenek pula. Ibu tahu perlunya membesarkan kesabaran. Oleh itu, janganlah risau sayang.
Kita perlu sedar, anak-anak ini didatangkan kepada kita untuk memberi kita rasa seronok dan juga membina diri kita. Membina kesabaran itu adalah salah satu daripada membina diri kita ini.
Untuk kali ini Ibu tinggalkan kepada anda dengan satu azimat. pegang dengan kemas. Azimatnya ialah
“SENANTIASA, SENANTIASA BERSANGKA BAIK DENGAN ANAK-ANAK TERUTAMANYA ANAK-ANAK KECIL. KEMASKAN KEYAKINAN BAHAWA ANAK-ANAK KECIL INI SUNGGUH SUCI.”
Salam Sayang
Kredit: Ibu Rose
Foto: Freepik
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tidur Meniarap & Mengiring Tak Sesuai Untuk Bayi. Posisi Terlentang Kurangkan Risiko Kematian Mengejut

Posisi tidur amat mustahak terutamanya bagi bayi yang masih kecil. Kenapa bayi tidak digalakkan tidur mengiring atau meniarap?
Mama dan papa kena tahu dan faham corak tidur bayi baru lahir & langkah keselamatan yang perlu diambil.
Bayi baru lahir, banyak tidur daripada waktu jaga. Dia akan lebih tidur pada waktu siang dan malam hari, dan hanya akan terjaga apabila tiba waktu lapar untuk menyusu. Ini berlaku kerana bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan siang atau malam.
Pada usia sekecil ini, mereka boleh tidur dengan purata 16 jam sehari, di mana dalam tempoh dua hingga empat jam terus-menerus di antara waktu menyusu!
FAHAMI RUTIN TIDUR BAYI BARU LAHIR
Mama papa perlu tahu bahawa bayi baru lahir tiada ada jadual tidur yang tetap. Pada biasanya, bayi akan mula mengenali waktu malam ketika berumur 3 bulan dan lebih kurang 90% bayi pada peringkat ini akan tidur sepanjang malam iaitu 6 hingga 8 jam.
Kadangkala bayi akan menangis atau membuat bising jika tidak dapat tidur nyenyak. Mereka akan terbangun dengan sendirinya semasa tidur di waktu malam dan tidak tidur. Mama papa tidak perlu risau pada ganggguan tidur kerana bayi perlu belajar untuk berada dalam keadaan ini.
Namun sekiranya bayi menangis berterusan selama beberapa minit, maka anda perlu memberi perhatian. Dia mungkin lapar, basah, sejuk, tidak sihat atau sakit. Beri perhatian dengan segera tanpa berlebihan kerana bayi perlu meneruskan tidurnya.
POSISI TIDUR
American Academy of Paediatrics mencadangkan posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah tidur terlentang dan bukan meniarap atau mengiring.
Kejadian kematian bayi secara mengejut (Sudden Infant Death Syndrome-SIDS) telah berkurangan ke 50% semenjak posisi tidur ini dicadangkan pada tahun 1992. Posisi ini dikecualikan bagi bayi yang mengalami kecacatan pada bahagian kepala atau mempunyai lidah besar yang akan menyekat penafasan.
TIP KESELAMATAN BAYI DI TEMPAT TIDUR
#1: Tidurkan bayi secara terlentang di atas tilam yang padat dan kemas di katil bayi mengikut tahap keselamatan terkini.
#2: Jangan menggunakan bantal, pelapik tilam, selimut, permainan yang ada bahagian-bahagian kecil dan penghadang katil yang tidak selamat.
#3: Jika menggunakan selimut, pastikan kaki bayi berada di penghujung palang katil.
#4: Selimutkan bayi dengan selimut yang nipis ke paras dadanya sahaja.
#5: Pastikan kepala bayi tidak tertutup dengan selimut apabila tidur.
#6: Jangan tidurkan bayi atas tilam air, sofa, tilam yang lembut, bantal atau di permukaan yang lembut yang boleh menyebankan dia tenggelam.
PASTIKAN TIDUR TERLENTANG
Selain itu, pastikan bayi memakai pakaian yang nipis semasa tidur dengan suhu bilik yang sesuai. Elakkan menyelimut bayi secara berlebihan dan pastikan suhu badan bayi tidak panas.
Bayi sepatutnya tidur terlentang. Bayi boleh di tiarapkan ketika dalam keadaan jaga untuk menggalakkan perkembangan otot, mata dan bagi mengelakkan belakang kepala bayi menjadi leper.
LANGKAH KESELAMATAN BERKAITAN TEMPAT TIDUR BAYI
- Seboleh-bolehnya, elakkan bayi daripada berkongsi katil dengan orang lain kerana ia boleh membahayakan bayi
- Boleh tempatkan katil/ kot bayi berdekatan dengan katil ibu untuk memudahkan penyusuan susu ibu dan memudahkan ibu untuk menyentuh bayi.
- Sekiranya anda ingin menyusukan bayi di atas katil, pastikan bayi tidak ditidurkan dalam posisi meniarap di permukaan tilam yang lembut atau cadar yang tidak kemas atau longgar. Ini sebagai langkah untuk mengelakkan bayi lemas.
- Katil anda perlu dijauhkan dari dinding atau perabot untuk memastikan bayi tidak mudah tersepit.
- Orang dewasa dan kanak-kanak selain dari ibu bapa dan bayi tidak boleh berkongsi tempat tidur dengan bayi untuk mengelakkan risiko bayi tersepit atau tertindih.
- Ibu atau bapa yang berkongsi tempat tidur dengan bayi perlu dipastikan tidak boleh merokok, menggunakan dadah atau mengambil alkohol yang mungkin akan membahayakan penjagaan bayi.
5 TIP BANTU BAYI TIDUR
- Tidurkan bayi bila tiba masa yang sesuai untuk tidur dan sediakan tempat tidur yang selesa dan selamat untuknya.
- Elakkan memberikan rangsangan yang berlebihan ketika menyusukan bayi di waktu malam dan ketika menukar lampin apabila bayi dalam waktu tidur.
- Gelapkan bilik dan pastikan bilik adalah selesa dan senyap.
- Pangku bayi sebelum tidur dan letakkan bayi ke atas katilnya sebelum bayi tertidur. Dengan cara ini bayi boleh belajar untuk tidur dengan sendiri tanpa didodoi atau
- Mainkan muzik/ zikir yang berirama perlahan bila tiba waktu tidur. Ini boleh membentuk rutin tidur untuknya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
13 Mitos Tentang Penyusuan Bayi Yang Ibu Menyusu Mesti Tahu!

Banyak sangat mitos tentang penyusuan bayi yang kadangkala menggagalkan ibu menyusu terus memberikan susu ibu kepada bayi. Ibu mesti tahu tentang hal ini supaya ia tidak lagi menggagalkan impian anda.
Dr Amirul Amzar menulis sebuah artikel yang sangat penting tentang mitos penyusuan bayi dan patut diketahui oleh semua ibu-ibu dan bakal ibu supaya tiada yang dapat menggagalkan cita-cita murni mereka untuk memberikan susu ibu kepada si manja.
Penyusuan susu ibu amatlah digalakkan bagi setiap bayi. Susu ibu adalah sumber nutrien yang terbaik bagi bayi yang baru lahir. Namun, ianya tidak semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dihadapi oleh para ibu dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Salah satu cabaran besar ialah mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan penyusuan susu ibu. Berikut adalah beberapa mitos dan penjelasan berkaitan penyusuan susu ibu.
1) Saya tidak boleh menyusukan bayi saya, saya memang kurang menghasilkan susu.
–Mitos ini tidak tepat. Semua wanita dianugerahkan kebolehan menghasilkan susu badan kecuali atas sebab-sebab perubatan tertentu seperti ‘hypoplasia of mammary gland’, tumpah darah selepas kelahiran yang banyak ataupun ‘Sheehan syndrome’, dan PCOS (polycystic ovarian syndrome). Jika anda tidak mengalami apa-apa keadaan kesihatan seperti disebut, anda boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Kebanyakan wanita sebenarnya menghasilkan banyak susu badan lebih dari keperluan bayi selepas kelahiran. Kurangnya kenaikan berat badan pada bayi bukan disebabkan oleh kurang penghasilan susu oleh ibu, tetapi ia disebabkan oleh kurangnya penerimaan susu oleh bayi. Ia disebabkan oleh teknik penyusuan yang salah seperti ‘latching technique’ yang tidak betul. Apabila ia berterusan, penghasilan susu semakin berkurang. Oleh itu, jika anda merasakan susu anda kurang, semak teknik penyusuan anda.
2) Penghasilan susu pada minggu pertama kelahiran tidak mencukupi.
–Sekali lagi, ianya mitos yang salah. Susu yang dihasilkan adalah mencukupi tetapi dek kerana teknik penyusuan yang salah, bayi tidak dapat menerima susu dengan secukupnya. Malah, penghasilan susu ibu pada peringkat awal, walaupun sedikit, ia sesuai dengan fisiologi tubuh bayi kerana saiz perutnya yang kecil.
3) Bayi yang menyusu perlu diberi air masak terutama semasa cuaca panas.
–Mitos ini sinonim dengan nasihat mak cik anda, mertua anda dan juga orang-orang senior di sekeliling anda. Ianya tidak benar sama sekali dan boleh mengganggu proses penyusuan. Bayi kurang 6 bulan tidak memerlukan sumber makanan lain selain susu ibu, Ini termasuk air masak. Apabila bayi diberi air masak, perutnya yang kecil akan mengembang dan memberikan rasa kenyang. Bayi tidak akan meminta susu. Wajarkah kita memenuhi perut bayi dengan air yang tiada nutrien? Ianya juga boleh mempengaruhi konsep ‘supply and demand’. Apabila ‘demand’ dipenuhi oleh air kosong, ‘supply’ susu ibu akan mula berkurang.
4) Susu ibu tidak mempunyai kandungan zat besi yang mencukupi.
–Ianya sama sekali salah. Susu ibu mempunyai zat besi yang mencukupi untuk 6 bulan pertama kehidupan bayi. Walaupun kandungan zat besi susu formula lebih tinggi, namun zat besi dalam susu ibu lebih mudah diserap oleh bayi. Tiada keperluan memberikan susu formula atas alasan zat besinya kurang.
5) Susu formula berkualiti tinggi adalah sama jika dibandingkan dengan susu ibu.
–Susu formula tidak boleh dibandingkan dengan susu ibu. Sebaik mana pun susu formula itu, ia tidak dapat menandingi kelebihan susu ibu seperti mudah dihadam, mengandungi vitamin dan zat yang sesuai dengan keperluan bayi dan susu ibu juga mengandungi antibodi untuk melindungi bayi.
6) Bayi yang menyusu susu badan ibunya tidak memerlukan vaksin .
–Mitos yang sangat mengelirukan dan salah sama sekali. Memang benar di dalam susu ibu terdapat antibodi seperti ‘immunoglobulin’ yang melindungi dari jangkitan kuman. Paling banyak adalah IgA yang selalunya didapati di lapisan usus manusia yang melindungi dari jangkitan kuman di saluran pemakanan manusia. Namun, amat harus diingatkan bahawa ‘immunoglobulin’ ini tidak spesifik. Ia tidak melindungi dari penyakit-penyakit berbahaya seperti difteria, tetanus, hepatitis B, tuberculosis, polio dan measles. Oleh itu, penggunaan vaksin adalah perlu bagi meningkatkan rintangan spesifik bayi terhadap penyakit-penyakit yang membawa maut ini.
7) Berat badan bayi tidak meningkat dengan baik kerana kualiti susu ibunya rendah.
–Kualiti susu ibu adalah amat tinggi, tidak mungkin dibandingkan dengan mana-mana susu lain. Ia mempunyai nilai nutrien yang tinggi dan sesuai dengan keperluan bayi. Walaupun rupa susu ibu itu berbeza bagi setiap ibu, tiada susu ibu yang terhasil dengan kualiti rendah. Jika berat bayi tidak meningkat dengan baik, ia mungkin disebabkan kurang penerimaan semasa menyusu (teknik penyusuan yang salah) atau bayi mempunyai masalah kesihatan yang perlu diperiksa.
8) Saya bengkak susu, maka perlu berhenti menyusukan bayi saya kerana ianya berbahaya.
–Ini mitos yang salah. Bengkak susu atau ‘mastitis’ adalah disebabkan saluran susu yang tersumbat dan menyebabkan pembiakan kuman. Jika anda terkena kondisi ini, terus menyusukan bayi kerana ia akan membantu mengurangkan sumbatan. Kuman yang terkandung dalam susu ibu tersebut adalah sedikit dan boleh dineutralkan oleh sistem penghadaman bayi. Tidak perlu berhenti menyusu atau membuang susu selepas pengepaman.
9) Jika saya mahu menyusukan bayi saya, saya perlu minum banyak susu.
–Susu anda dihasilkan dari sistem peredaran darah anda, bukan secara terus dari perut anda. Tidak perlu minum susu semata-mata bagi menghasilkan kuantiti susu yang banyak dan baik. Lebih penting adalah mengekalkan kadar hidrasi yang baik dengan minum banyak air, tidak terhad kepada susu semata-mata. Namun, pengambilan kalsium dari susu secara konsisten membantu mengelakkan kerapuhan tulang di usia tua kelak.
10) Susu saya sedikit kerana payu dara saya kecil
–Ini adalah tidak benar. Saiz payu dara tidak mempengaruhi kuantiti susu yang dihasilkan. Ini kerana saiz payu dara adalah dipengaruhi kandungan tisu lemak dalam payu dara. Walhal, penghasilan susu pula adalah melalui tisu kelenjar yang berada di dalam payu dara.
11) Susu ibu amat baik, jadi ia perlu diberi secara eksklusif sehingga 2 tahun tanpa memberi makanan lain.
–Kekeliruan ini terhasil dari mereka yang mentafsirkan konsep najis bayi lelaki kurang 2 tahun yang menyusu susu ibunya sahaja sebagai najis mukhafafah (ringan). Namun tidak disebut secara spesifik di dalam hadis atau al-quran bahawa semua bayi itu perlu disusukan secara eksklusif selama dua tahun tanpa makanan tambahan. Ya, memang benar penyusuan itu perlu diteruskan sehingga 2 tahun, namun, makanan pelengkap perlu diberi pada usia 6 bulan. Ini kerana selepas 6 bulan, bayi memerlukan sumber nutrien lain sejajar dengan perkembangan fisiologinya yang lain seperti gigi tumbuh, bayi mula memasukkan barang ke dalam mulut, dan sebagainya.
12) Memberikan susu melalui botol adalah satu kesalahan besar.
–Sememangnya digalakkan memberikan susu ibu secara terus dari ibunya kerana banyak kebaikannya. Antaranya mengurangkan risiko kanser payu dara, mengurangkan stress si ibu dan merapatkan hubungan ibu dan anak. Namun, dalam era moden ini, kebanyakan ibu bekerjaya. Tiada kesalahan jika si ibu memerah susunya, menyimpan dan diberikan kepada bayi melalui botol susu. Asalkan bayi mendapat susu ibunya, itu sudah berfaedah yang besar untuk bayi. Malah ada kondisi kesihatan seperti ‘cleft palate’ (sumbing) yang memerlukan penyusuan dengan botol berputing khas. Adakah berdosa kita memberi susu melalui botol sesuai dengan keperluan bayi? Sudah semestinya tidak.
13) Memberi susu formula kepada bayi adalah melanggar fitrah dan suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.
–Semua ibu berbeza dan kita semua diberi ujian berbeza-beza. Ada antara ibu-ibu yang telah berusaha sedaya upaya bagi menyusukan bayinya, namun bayinya tidak menerima susu tersebut dengan baik. Ada juga bayi yang terpaksa diasingkan dengan ibunya atas sebab kesihatan sama ada ibu atau bayi. Adakah kita biarkan bayi sebegini terus sengsara tanpa nutrisi yang mencukupi? Sudah tentu tidak. Di sini lah susu formula memainkan peranan. Gagal menyusukan bayi bukanlah tiket untuk merendah-rendahkan seorang ibu. Pengorbanan mereka yang amat besar dan tidak wajar diremehkan hanya kerana gagal menyusukan bayi. Cuba lagi untuk kandungan yang akan datang.
**Pesanan penaja tidak berkepentingan:
1) Susu ibu amat baik untuk bayi, oleh itu berusahalah memberikan susu ibu selama 2 tahun, dan mengenalkan makanan pelengkap pada 6 bulan.
2) Jika anda mengalami masalah dengan penyusuan bayi anda, sila rujuk dengan pakar yang bertauliah. Dapatkan kredibiliti pakar yang dirujuk bagi mengelakkan informasi yang salah.
3) Bagi konsultasi secara personal, amatlah digalakkan mendapatkan nasihat dari mereka yang sahih status kepakarannya. Elakkan merujuk kepada selebriti-selebriti media sosial yang mungkin berkepentingan lain.
4) Mohon tidak menjadikan kejayaan anda menyusukan bayi anda sebagai tiket merendahkan ibu yang tidak berkemampuan dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Setiap ibu harus disayangi dan dihargai sepenuhnya.
Sumber: Medical Mythbusters Malaysia
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI