Bayi Menangis Mungkin Nak Bermanja, Tapi Kalau Berterusan Ia Tanda Penyakit Serious!

Share

Menangis berterusan adalah masalah bayi yang biasa kepada ibubapa atau penjaga bayi baru lahir atau bayi berusia kurang dari satu tahun. Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.

Tanda dan Gejala

Bayi biasanya akan menangis apabila:

-Lapar dan dahaga.
-Mengantuk atau letih.
-Kesejukan atau basah.
-Minta didukung.
-Perlu ditukarkan lampin.
-Dalam kesakitan atau tidak selesa.

Menangis berterusan boleh ditafsirkan sebagai:

-Menangis berterusan pada jangka masa yang lama.
-Menangis meskipun semua keperluan dipenuhi.
-Menangis dengan nada yang berbeza dari tangisan biasa.
-Menangis disertai dengan pergerakan luar biasa seperti bayi menangis sambil mengangkat kedua-dua kaki ke atas.

Keadaan tertentu yang boleh menyebabkan bayi menangis berterusan:

-Kembung perut.
-Penyakit.

Rawatan

Beri perhatian dengan segera apabila bayi anda menangis. Pengalaman dan masa mengajar anda mengenali keperluan bayi anda dan bertindaklah mengikut keperluan.

Bayi yang menangis akibat lewat diberi susu akan dapat diatasi dengan tidak melengahkan masa pemberian susu.

Bayi yang lampinnya basah akibat kencing atau berak hanya perlu ditukarkan lampin.

Bayi yang kesejukan akan selesa apabila dibalut dengan selimut atau pakaian.

Periksa seandainya ada keadaan yang boleh menyebabkan kesakitan, seperti pin lampin terbuka atau disengat serangga.

Memeluk rapat bayi anda dan menghayunkanya perlahan-lahan.

Urutan atau usapan lembut di belakang atau didada bayi.

Kadangkala bayi menangis berterusan meskipun segala usaha telah diambil untuk memujuknya. Anda mesti bertenang dan tidak tertekan kerana jika tidak perasaan bayi anda akan lebih terganggu. Jangan sesekali mengoncang bayi anda kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan teruk kepada leher dan otak bayi anda. Sekiranya anda rasa tertekan / keletihan minta bantuan kawan atau ahli keluarga yang lain mengambil alih menjaga bayi anda sementara. Ambil masa anda untuk bertenang sebelum meneruskan penjagaan bayi anda.

Kembung Perut

Menangis akibat kembung perut didefinisikan sebagai tangisan berlebihan selama tiga jam atau lebih (dalam sehari) dan biasanya akan hilang dalam tempoh 3 bulan pertama usia bayi. Sekiranya bayi anda menangis sambil mengangkat kakinya ke atas dan banyak mengeluarkan angin ini menunjukkan bayi anda mengalami kembung perut. Cara menanganinya:

Pegang bayi anda duduk menegak semasa penyusuan dan sedawakan bayi selepas penyusuan. Dukung bayi anda berjalan-jalan dengan kedudukan bayi tegak di bahu anda atau goyang bayi anda dengan lembut boleh melegakannya.
Jika menangis berterusan, dapatkan rawatan segera.
Penyakit

Sila ambil perhatian apabila bayi menangis berterusan ini adalah satu petanda penyakit yang teruk.

Sekiranya bayi anda masih menangis berterusan meskipun semua cara di atas telah diambil untuk memujuk atau ada petanda selain disebutkan di atas, jangan ragu terus mendapatkan rawatan di hospital.

Jangan lupa untuk saksikan PA&MA Journey Bersama SchAwaLara setiap hari Rabu jam 9 malam dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi hanya di Astro Ria HD.

 

Published by
NuFa