Bayi suka menggigit masa menyusu? Ada sesetengah ibu yang tidak tahan terus menolak anak, menjerit hingga membuatkan anak jadi takut & enggan menyusu.
Menurut kaunselor laktasi, Noor Fazila Abdul Rahman, situasi bayi menggigit bukanlah suatu situasi yang kritikal sehingga penyusuan perlu dihentikan. Tidak dinafikan banyak kes seperti ini berlaku tetapi bukan semua bayi gemar menggigit ibu ketika menyusu.
MENGGIGIT SIFAT SEMULA JADI
Perkara ni boleh berlaku seawal usia bayi 3 hingga 6 bulan. Ini kerana pada peringkat ini ada bayi yang sudah mula tumbuh gigi. Bukan hanya puting ibu, bayi juga mula mengigit apa saja yang dipegang.
Selain faktor tumbuh gigi, pelekapan yang salah juga menjadi punca situasi ini terjadi. Ini kerana bayi menggigit menggunakan gusi bawah. Jika bayi melekap dengan betul, kedudukan lidahnya berada di bawah payudara dan menutupi gusi bawah menyebabkan bayi tiada ruang untuk menggigit.
Mekanisma hisapan terus dengan ibu melibatkan pergerakan rahang bawah sahaja jadi adalah penting untuk semua ibu yang sering kali digigit oleh bayi semasa menyusu memastikan pelekapan anak dalam keadaan baik setiap kali menyusu untuk mengelakkan situasi ini berulang.
APAKAH PUNCA BAYI MENGGIGIT SEMASA MENYUSU
Selain tumbuh gigi dan pelekapan yang salah, banyak lagi punca kenapa bayi gemar menggigit. Antaranya ialah;
1.Keadaan bayi yang kurang sihat terutama jika mengalami selesema atau jangkitan telinga menyebabkan bayi sukar menelan ini membuatkan bayi menggigit kerana kurang selesa apabila menyusu. Sebagai penyelesaian, pastikan kedudukan bayi sewaktu menyusu lebih tegak supaya bayi lebih mudah menelan.
2.Selain itu, ada juga bayi yang menggigit apabila tertidur atau di akhir penyusuan. Jadi sebelum bayi tertidur anda boleh mengeluarkan puting dari mulutnya dengan jari kelingking anda apabila anda rasa hisapannya mula perlahan dan lemah.
3.Ada juga bayi yang perhatiannya mudah terganggu dengan persekitannya terutama bayi yang sudah besar, ini menyebabkan mereka dengan tidak sengaja menggigit puting ibu terutama apabila menoleh secara tiba-tiba kerana terlupa yang mereka sedang menyusu dengan ibu.
4.Terdapat bayi yang gemar ibu memberi perhatian kepadanya setiap kali menyusu dengan ibu, jadi jika ibu sibuk dengan perkara lain contohnya melihat telefon bimbit anak akan menggunakan teknik menggigit untuk menarik kembali perhatian ibu.
5.Selain itu, bayi yang bijak penuh dengan sifat ingin tahu. Sesetengah dari mereka sengaja mengigit untuk melihat reaksi ibu atau apa yang akan berlaku!
CARA ELAK GIGITAN
Terdapat banyak cara boleh dilakukan untuk ibu mengelak dari digigit tanpa perlu menghentikan penyusuan. Antara yang boleh dicuba oleh ialah;
1.POSISI & PELEKAPAN
Untuk mengelakkan anda digigit berulang kali, pastikan posisi dan cara pelekapan anak betul setiap kali anda ingin memulakan penyusuan.
2.GUNA KELINGKING
Gunakan jari kelilingking anda dengan memasukkannya di tepi mulut bayi apabila dia mula hendak mengigit. Apabila bayi menggigit jari kelingking anda, bayi akan melepaskan puting anda dengan sendirinya.
3.JANGAN MENJERIT
Jika anda terus-terusan menjerit ia akan membuatkan anak akan terus menggigit berulang kali kerana bayi mengganggap anda sedang bermain dengannya. Jeritan yang kuat juga boleh menyebabkan anak fobia dan terkejut hingga menolak untuk menyusu terus dengan ibu.
4.PICIT HIDUNG ATAU PELUK
Jika anak menggigit lagi semasa menyusu, ibu boleh picit hidung anak atau peluk supaya bayi sukar bernafas jadi anak akan mengaitkan faham jika dia menggigit ia akan sukar bernafas.
Jika masih berlaku, anda boleh menghentikan penyusuan seketika. Pandang tepat ke matanya dan bercakap dengan tegas. Lakukan berulang kali lama kelamaan anak akan faham bahawa jika dia terus menggigit dia pasti tidak akan dapat menyusu lagi.
KENAPA PERLU ELAK MENJERIT?
Tidak salah untuk ibu menunjukkan reaksi apabila bayi menggigit. Tetapi cukup dengan “ouch” sahaja. Ini kerana jika anda menjerit terlalu kuat di khuatiri anak akan terkejut dan menjadi fobia seterusnya enggan menyusu lagi (Nursing strikes).
Ini kerana, tindakan ini boleh menjadi cara yang terbaik untuk mengelakkan perkara tersebut berulang atau memburukkan lagi keadaan.
5 SARANAN KEPADA IBU YANG SELALU ‘DIGIGIT’ SEMASA MENYUSU
Menurut Noor Fazila , terdapat kes yang pernah dikendalikannya di mana ada ibu yang hampir putus asa. Ia terutama apabila gigitan bayi itu menyebabkan puting luka hingga mengundang masalah lain seperti bengkak susu dan duktus susu tersumbat.
Bukan semua bayi gemar menggigit ibu, jadi untuk ibu yang berdepan dengan masalah ini dan jika ianya berulang kali berlaku beliau memberikan lima saranan ini.
1.Pastikan anak sentiasa menyusu dengan pelekapan yang betul.
2.Beri perhatian kepada anak pastikan sentiasa bersembang, pandanglah mata anak dan elakkan melakukan aktiviti lain sewaktu menyusukan anak.
3.Jika anak sering kali menggigit, sentiasa bersedia dengan meletakkan jari kelilingking anda di tepi mulutnya supaya apabila dia mula hendak mengigit anda boleh menghentikannya dengan jari kelingking tersebut. Ini kerana, bila bayi menggigit jari kelingking dia tidak dapat menggigit puting anda.
4.Elakkan menarik keluar puting terus dari mulutnya ketika anak menggigit kerana tindakan ini akan membuatkan puting mudah terluka sebaliknya keluarkan dengan cara meletakkan jari kelilingking anda di tepi mulut anak.
5.Jadikan penyusuan suatu sesi yang menggembirakan. Jadi anak akan menikmatinya dengan gembira tanpa menyakitkan ibu.