Menyusu sedikit kemudian mula menolak payudara ibu. Begitulah selalunya reaksi bayi bila mengalami demam, selesema dan batuk. Tidak mahu menyusu lama dan ada kalanya menolak terus. Keadaan ini boleh menyebabkab kerisauan ibu-ibu kerana bimbang bayi kelaparan dan mengalami kekurangan nutrien untuk tumbesaran dan pulih dari sakit.

Selesema, demam, sakit tekak, batuk, cirit birit atau hidung tersumbat kerap kali membuatnya menolak susu ibu. Dr Ezura Madiana Md Monoto, IBCLC dan Pensyarah & Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan UKM memberikan panduan berguna bagi menyusukan bayi yang sedang sakit.

Bayi Menyusu Sedikit Seolah Tak Berselera Masa Selesema & Demam, Mama Kena Cuba Teknik Ini

 

TERUSKAN BERI SUSU IBU WALAU PUN BAYI MENOLAK

Apabila bayi sedang sakit, adalah disarankan penyusuan susu ibu diteruskan dan lebih kerap agar bayi boleh cepat sembuh dengan mendapat lebih banyak antibodi daripada susu ibu. Terdapat cara-cara tertentu yang boleh dilakukan supaya bayi boleh menyusu dengan selesa.

#1 Hidung tersumbat

Bagi bayi yang mengalami masalah pernafasan seperti hidung tersumbat dan menolak penyusuan, ibu disarankan untuk menyusukan dalam keadaan bayi menegak atau upright position.

Bahagian kepala bayi juga dicadangkan dalam kedudukan yang lebih tinggi daripada biasa ketika menyusu atau keadaan semi-upright position agar dapat mengurangkan simptom hidung tersumbat yang dialami.

Kedudukan menyusu “biological nurturing” di mana ibu berbaring dalam keadaan kepala ibu di kedudukan 45 darjah dan meletakkan bayi di atas dada ibu untuk menyusu turut dapat mengurangkan kesukaran bayi menyusu akibat hidung tersumbat.

Bayi Menyusu Sedikit Seolah Tak Berselera Masa Selesema & Demam, Mama Kena Cuba Teknik Ini

#2 Batuk, sakit tekak dan jangkitan pada telinga

IKLAN

Keadaan batuk, sakit tekak dan jangkitan akan menyebabkan bayi merasa tidak selesa dan sakit di bahagian tersebut, secara tidak langsung bayi akan menolak untuk menyusu secara terus dari payudara ibu.

Ada kalanya bayi akan menyusu dalam tempoh yang singkat dan mungkin kerap. Penolakan ni selalunya hanya bersifat sementara sehingga bayi sembuh. Ibu boleh memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit dan berikan perhatian yang lebih kepada bayi semasa tempoh ini.

Minimumkan pakaian baju ke atas bayi,cukup sekadar lampin dan anda pula boleh mengurangkan pemakaian coli bagi menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan memudahkan bayi kepada akses terus kepada payudara untuk menyusu. Alternatif lain, ibu boleh memberikan susu ibu yang diperah.

Bayi Menyusu Sedikit Seolah Tak Berselera Masa Selesema & Demam, Mama Kena Cuba Teknik Ini

 

#3 Cirit birit dan muntah

Bagi bayi yang diserang acute gastroenteritis atau radang usus yang menyebabkan simptom muntah dan cirit-birit, penyusuan susu ibu perlu diteruskan. Hal ini kerana ia dapat menenangkan bayi yang sedang sakit dan paling mustahak, susu ibu yang mengandungi banyak antibodi berupaya mempercepatkan proses penyembuhan bayi.

IKLAN

Penyusuan perlu diteruskan untuk mengurangkan kadar dehidrasi dalam badan bayi akibat kekurangan air dalam badan disebabkan muntah dan cirit-birit. Di samping itu, susu ibu amat mudah dihadamkan. Walaupun bayi muntah atau cirit-birit sejurus selepas menyusu, masih terdapat kandungan nutrien yang dapat diserap oleh badan si kecil. Namun, sekiranya terdapat tanda-tanda dehidrasi atau bayi langsung tidak dapat menyusu, dapatkan pemeriksaan perubatan lanjut dengan segera.

PERUBAHAN CORAK PENYUSUAN SEMASA BAYI SAKIT

Bagi sesetengah bayi, menyusu secara terus daripada payudara menjadi lebih sukar pada waktu sedang sakit. Hal ini kerana penyusuan terus daripada payudara memerlukan lebih banyak tenaga dan pergerakan mulut yang lebih banyak berbanding diberi susu perahan melalui kaedah lain seperti penggunaan cawan kecil, picagari ataupun Supplemental Nursing System (SNS).

Justeru, ibu bolehlah memberikan susu ibu perahan untuk sementara waktu. Selalunya bayi akan kembali menyusu secara terus daripada payudara apabila dia berasa sihat semula. Penggunaan botol susu perlu dielakkan bagi mengelakkan bayi keliru puting.

Bayi Menyusu Sedikit Seolah Tak Berselera Masa Selesema & Demam, Mama Kena Cuba Teknik Ini

 

SUSU MUNGKIN AKAN MEROSOT SEDIKIT

Susu ibu kerap kali akan mengalami kemerosotan apabila bayi kurang menyusu dan keadaan diri ibu yang penat menjaga anak yang sakit. Ketika bayi jatuh sakit, ibu tentunya merasa risau dan stres dan mungkin juga tidak mendapat tidur yang mencukupi.

IKLAN

Faktor ini boleh menyebabkan susu ibu boleh berkurangan. Ditambah pula jika bayi kurang menyusu atau tidak mahu menyusu secara terus dari payudara ibu. Maka, ibu perlu mengelakkan diri daripada stres.

Cuba tenangkan diri dengan memasang muzik yang mendamaikan ataupun mengalunkan zikrullah yang menenangkan, meletakkan bau-bauan aromaterapi, meminum minuman hangat kegemaran ibu sebelum menyusukan atau memerah susu. Langkah ini boleh merangsang penghasilan dan pengeluaran susu ibu. Secara tidak langsung, ia akan menenangkan bayi yang meragam dan mendorongnya untuk menyusu secara terus dengan ibu.

Bayi Menyusu Sedikit Seolah Tak Berselera Masa Selesema & Demam, Mama Kena Cuba Teknik Ini

MAMA PERLU TERUS PAM/ PERAH 

Sebaik-baiknya ibu cuba untuk meneruskan penyusuan secara terus dan memerah susu sekiranya bayi tidak menyusu dengan kerap seperti sebelumnya. Ini akan mengelakkan masalah seperti bengkak payudara atau saluran susu tersumbat daripada berlaku, selain daripada memastikan penghasilan susu yang konsisten. Apabila bayi kembali menyusu dengan anda, tiada masalah kekurangan susu akan berlaku.

5 sebab penyusuan perlu diteruskan ketika bayi sakit?

  • Susu ibu dijamin kebersihan dan steril
  • Susu ibu mengandungi antibodi yang tinggi yang dapat mempercepatkan proses penyembuhan bayi
  • Susu ibu mudah dihadamkan dan tidak menyebabkan alergi
  • Susu ibu memberikan nutrien, vitamin, mineral dan keperluan air yang cukup untuk bayi kekal hidrat
  • Penyusuan susu ibu merupakan satu kaedah terapi pemulihan yang dapat memberikan pemulihan fizikal dan emosi bayi yang sedang sakit

Bayi Menyusu Sedikit Seolah Tak Berselera Masa Selesema & Demam, Mama Kena Cuba Teknik Ini

 

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI