Bayi perempuan 28 bulan koma, doktor-doktor muda mogok. Seorang bayi perempuan berusia 28 bulan masih koma selepas dinafikan rawatan kecemasan oleh lebih 10 hospital di kawasan metropolitan Seoul. Gangguan sistem perubatan berterusan berlaku kerana doktor-doktor muda melancarkan mogok.
Bayi Perempuan 28 Bulan Koma, Doktor-doktor Muda Mogok
Agensi berita Yonhap melaporkan tragedi itu bermula pada pukul 8.40 malam, 4 Ogos apabila bayi yang tinggal di Goyang, di barat laut Seoul menghadapi kekejangan febril dan dilaporkan kepada perkhidmatan kecemasan 119, menurut pegawai di Ibu Pejabat Bomba dan Bencana utara Gyeonggi.
Pasukan penyelamat menghubungi unit kecemasan 11 hospital di Seoul dan sekitar Wilayah Gyeonggi tetapi kesemuanya enggan menerima bayi itu dengan alasan kekurangan kakitangan perubatan.
Bayi itu akhirnya dimasukkan ke hospital ke-12 yang dihubungi oleh pasukan penyelamat, Hospital Universiti Inha di Incheon, 32km di barat Seoul, lebih sejam kemudian pada hari kejadian.
Bayi itu masih sedar semasa dimasukkan ke hospital walaupun terdapat gejala kekejangan tubuh tetapi kemudian koma dan masih belum sedarkan diri lagi, kata pegawai itu.
“Kami berjaya mendapatkan sebuah hospital di Incheon yang sanggup untuk merawatnya selepas berulang kali gagal mendapatkan unit kecemasan, ” kata seorang pegawai sambil menambah bayi itu sedang dirawat dalam keadaan tidak sedar diri di sebuah hospital di Seoul.
Air mata seorang ibu gugur bila menyedari anaknya sendiri terperangkap dalam penderitaan yang tidak terucap. Anak yang dulunya periang, kini lebih banyak mengurung diri, murung, malah mencederakan diri sendiri akibat tidak tahan menjadi mangsa buli.
Inilah realiti hitam yang didedahkan, betapa buli bukan sekadar gurauan kasar tetapi mampu merosakkan jiwa seorang remaja.
Menurut laporan Harian Metro, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi menceritakan detik pilu apabila anak perempuannya yang masih di bangku Tingkatan Dua di Hulu Langat berubah secara drastik sejak berpindah sekolah Julai lalu.
“Saya tak tahu pun dia dibuli, dia tak pernah berkongsi cuma banyak berkurung dalam bilik.
“Saya perasan dia banyak asingkan diri, saya hanya tahu dia rupa-rupanya murung akibat dibuli sebelum cuti sekolah, itu pun bila adiknya beritahu kakak lukis gambar mengerikan.”
Katanya lagi, anak mengalami tekanan akibat diejek lantaran penampilan giginya agak ke depan (jongang dan dipulaukan rakan-rakannya di sekolah.
Nurul Afeeza yang juga ibu tunggal berkata,yang meluahkan rasa kesalnya itu sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu terbabit.
Katanya, beliau sudah berjumpa dengan guru kaunseling dan guru disiplin, namun tindakan buli terhadap anaknya masih berlarutan.
“Sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima…”
“Saya mengadu kepada guru disiplin yang ada murid tarik rambutnya dan ejek, kejadian ini baru lagi, 12 September lalu. Saya juga maklumkan anak saya lukis gambar yang mengerikan, malangnya cikgu seperti tak ambil serius.
“Cikgu cuma beritahu minta anak saya pergi sekolah tapi tak dibenarkan jumpa murid (yang buli) disebabkan ada SOP, sedangkan anak saya dibuli sebegini, tak ada pula ikut SOP, sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima,” katanya.
Adik perempuan sebulan tak ke sekolah, trauma dipukul dan disepak
Foto hiasan
Situasi sama turut menimpa pelajar lain. Ada yang tidak ke sekolah hampir sebulan kerana trauma selepas ditarik tudung, ditumbuk dengan tumbler kaca dan ditendang belakang badan. Keluarga mendakwa apabila perkara itu dimaklumkan kepada guru, pihak sekolah lebih memihak kepada pembuli, bukannya mangsa.
kakak kepada seorang lagi mangsa buli berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Wan Norasyirah, 24, berkata adik perempuannya mengadu tudung ditarik, muka dipukul dengan tumbler kaca dan disepak di bahagian belakang badan.
“Saya dan keluarga belum sempat buat laporan polis kerana adik baru beritahu insiden dibuli di sekolah, lama dia pendam seorang. Nak gali cerita daripada dia sangat susah sebab dia tak nak berkongsi.
“Bila maklumkan pada cikgu yang dia disepak terajang, adik maklumkan cikgu memihak kepada si pembuli dan dia langsung tak diberikan peluang untuk membela diri.
“Malah, dalam keadaan sekarang adik saya yang dah sebulan tak hadir sekolah, tak ada cikgu yang mencari atau cuba hubungi kami. Bila kami tanya sekolah, mereka hanya maklumkan sepatutnya ibu bapa yang beritahu sekolah (jika tak hadir),” katanya.
Mereka rahsiakan, minta anak saya tandatangan surat tak berlaku buli di sekolah
Lebih mengejutkan, seorang lagi bapa, Mohd Izham Zakri, mendakwa anak lelakinya ditampar rakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Malah, anaknya turut menghadapi kes buli fizikal dan buli siber membabitkan beberapa guru di sekolah.
Lebih mengecewakan, pihak sekolah didakwa menyembunyikan perkara itu dengan meminta anaknya menandatangani surat kononnya tiada insiden buli berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa.
Foto hiasan
“Anak saya aktif dalam sukan malah mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak hingga ke peringkat negeri. Apa yang saya kesalkan, cikgu tahu anak saya dibuli dari 2023 sampai sekarang tapi saya tak diberitahu.
“Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Malah, ada guru pula yang buat laporan polis ke atas saya, kononnya saya campur tangan hal sekolah,” katanya yang memberitahu sudah membuat laporan polis dan melalui SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam).
Beliau kini hanya berharap Kementerian Pendidikan serta Pejabat Pendidikan Daerah segera campur tangan sebelum lebih ramai anak-anak lain menjadi korban dalam diam.
Sekiranya anda banyak melayari Tiktok, pasti pernah terlihat video tular dari akaun @jafnyelias yang suka berkongsi kebaikan. Banyak orang yang telah dibantu oleh pemuda ini termasuklah peniaga kecil, golongan susah dan sebagainya.
Salah satu video yang meruntun hati warganet adalah ketika pemilik akaun ini berjumpa dengan seorang ayah yang menemani anak-anaknya bermain di taman permainan.
Di dalam video tersebut dapat dilihat ramai kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan tersebut.
“Seronok tengok budak-budak main. Tapi di sebalik keriangan petang ni terselit perkara sedih yang aku lihat..”
Menurutnya, dia tersentuh apabila mendengar permintaan seorang anak kecil yang mahu bermain bubble yang ada dijual di situ. Ayahnya hanya diam sambil melihat ke arah penjual bubble tersebut.
“Dalam hati aku terfikir mungkin ayah tak cukup duit.”
Tidak menunggu lama, dia terus menghampiri si ayah dan anak-anaknya untuk belanja mereka bermain bubble. Menerima pelawaan tersebut dan mereka segera mendapatkan bubble yang diingini anak kecil itu.
Bukan sahaja dibelikan untuk si adik tetapi untuk adik-beradiknya yang lain. Jelas keterujaan mereka apabila mendapat peluang untuk bermain bubble tersebut.
“Alhamdulillah dapat bahagiakan family ni walaupun hanya seketika.”
Semua yang menonton video tersebut berasa sayu dan turut mendoakan agar pemilik akuan Tiktok itu sentiasa dimurahkan rezek;
Kadang-kadang rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk, bila ada lebih maka hulurkanlah bantuan kepada mereka yang memerlukan. Mungkin asbab kebaikan kita itu, rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita akan menjadi berlipat kali ganda. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan lindungan-Nya.
Nahas jalan raya, Ayer Keroh, Melaka, dua beradik belum tahu ibu bapa sudah tiada. Dua kanak-kanak yatim piatu yang masih menerima rawatan di Hospital Melaka belum dimaklumkan mengenai pemergian ibu bapa mereka dalam kemalangan meragut tujuh nyawa itu.
Nahas Jalan Raya, Ayer Keroh, Melaka
Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, masih di unit rawatan rapi (ICU) manakala adiknya Nur Sofea Humaira, 4, telah ditempatkan di wad biasa hospital sama.
Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, saat ini adalah lebih penting untuk menjaga emosi kanak-kanak itu lebih-lebih lagi mereka dalam keadaan kesakitan.
Hee Sem (kiri) meluangkan masa melawat Sofea Humaira yang telah menjalani pembedahan pada pagi Rabu.
Dua Beradik Belum Tahu Ibu Bapa Sudah Tiada
Menurutnya, Nur Sofea baru sahaja selesai menjalani pembedahan susulan paha retak pada pagi Rabu, manakala Muhammad Uwais Al-Qarni yang berada di ICU masih menunggu masa untuk menjalani pembedahan.
“MEREKA BELUM TAHU LAGI (PEMERGIAN IBU BAPA) WALAUPUN MEREKA SEDAR KERANA KITA TAK MAHU MENGANGGU EMOSI MEREKA.
“Kita tak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah,” katanya.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata, kesemua penumpang bas warga Singapura yang cedera telah dibenarkan pulang.
Ujarnya, selain dua beradik terbabit, seorang lagi pemandu lori membawa muatan pakaian terpakai dan tercedera dalam kemalangan itu masih dirawat di Hospital Melaka.
“Pemandu berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU setelah mengakami cedera parah terutamanya di bahagian kaki,” ujarnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, pada Isnin.
Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; bersama penumpang iaitu isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isteri Fauziah Jaafar, 69.
Turut maut pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang merupakan warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Foton dan bas pelancong yang membawa 27 penumpang dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan manakala kenderaan MPV Toyota Estima sebuah treler jenis Nissan dan Perodua Bezza menuju ke arah utara.
Hee Sem (tengah) ketika melawat anak yatim piatu itu di Hospital Melaka, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 telah tercabut dan berada di atas jalan di lorong tengah.
Katanya, bagaimanapun bas pelancongan yang tiba di tempat kejadian telah terlanggar tayar tersebut lalu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar penghadang jalan dan bertembung dengan kereta Perodua Bezza serta Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga itu.
“Akibat kemalangan itu, tujuh mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Melaka dan Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Kisah benar penuh emosi tentang arwah Muhammad Amir, seorang ayah penyayang yang meninggal ketika mengambil susu anaknya. Isteri arwah berkongsi luahan hati dan gambar terakhir, termasuk baju uniform penuh tumpahan susu anak yang menyentuh hati ramai pembaca.