
Di sebalik runtuhan bangunan dan dentuman bom yang tidak pernah berhenti di bumi Gaza, ada tangisan kecil yang menggamit rasa pilu setiap jiwa bergelar ibu. Tangisan itu datang daripada bayi pramatang Gaza yang sedang bertarung nyawa dalam keadaan serba kekurangan malah tiga daripadanya kini terpaksa berkongsi satu inkubator di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Kompleks Perubatan Nasser, Gaza.
Perjuangan Hidup Bayi Pramatang Gaza
Salah seorang daripada bayi itu ialah Muhammad, bayi lelaki berusia lapan hari. Ibunya, Samah, hanya mampu melihat dari luar tingkap kaca menyaksikan anak kecilnya berjuang untuk terus bernafas. Inkubator yang sepatutnya menempatkan seorang bayi kini menjadi tempat perlindungan untuk tiga nyawa kecil yang masih belum mengenal dunia.

Tubuh Samah yang kurus dan lemah akhirnya rebah di koridor hospital. Tangisannya kedengaran perlahan, namun cukup untuk menggambarkan duka yang tak terungkap. Di sisinya, suaminya Tariq cuba menenangkan, meskipun wajahnya sendiri sarat penderitaan. Di lorong sempit itu, ada ramai ibu lain yang menanti dengan doa dan air mata, menunggu keajaiban untuk anak mereka di bumi Gaza.
Hospital Gaza Dalam Krisis Kemanusiaan
Menurut laporan portal The New Arab, petugas kesihatan di Gaza kini berada di tahap paling genting. Bekalan elektrik dan oksigen terputus, ubat-ubatan habis, dan sistem kesihatan hampir lumpuh sepenuhnya.
“Kami sudah tidak mampu berbuat apa-apa,” kata seorang doktor Palestin, menggambarkan betapa terdesaknya keadaan mereka di hospital yang sesak dan kekurangan kemudahan untuk merawat bayi pramatang Gaza.

Laporan UNICEF Tentang Kelahiran Pramatang di Gaza
Laporan daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan hampir seorang daripada lima bayi di Gaza kini lahir pramatang, berpunca daripada kekurangan rawatan perubatan, pemakanan dan tempat bersalin yang selamat. Lebih menyayat hati, dianggarkan 20,000 kanak-kanak telah terkorban akibat peperangan yang berlarutan sejak Oktober 2023.
Hospital di Gaza kini merekodkan peningkatan ketara kelahiran pramatang 60 peratus daripada jumlah kelahiran, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum serangan bermula. Malah, lebih 130 bayi dilahirkan setiap hari, dan ramai daripadanya dilahirkan melalui pembedahan caesarean tanpa bius atau peralatan yang disterilkan.
Harapan dan Keajaiban di Sebalik Derita
Dalam dunia moden yang serba canggih, sukar dibayangkan masih ada bayi yang perlu berkongsi inkubator untuk terus bernafas. Namun bagi ibu-ibu di Gaza, inilah hakikatnya perjuangan mereka bukan lagi tentang keselesaan, tetapi tentang memastikan anak mereka hidup walau sesaat lagi.
💔 Setiap bayi pramatang Gaza adalah lambang kekuatan. Setiap ibu di sana adalah wira tanpa nama yang terus berharap pada kasih dan keajaiban. Kisah ini menjadi peringatan buat dunia bahawa setiap nyawa kecil di Gaza berhak untuk hidup, dicintai, dan diselamatkan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!











