Penat juga memikirkan kenapa si kecil asyik menangis pada waktu malam. Untuk ibu bapa yang baru, keadaan ini boleh menimbulkan “stress” kepada anda. Jom ketahui apa penyebab anak anda menangis pada waktu malam.
MENGAPA BAYI MENANGIS DI WAKTU MALAM?
Saya on call pada malam itu di sebuah pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam. Saya sempat memejamkan mata selama dua jam sebelum bilik rehat doktor diketuk.
“Doktor, ada pesakit sedang didaftarkan” suara staff yang mengejutkan saya.
Saya memandang ke jam di tangan. Waktu sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Saya menggeliat dan membasuh muka.
“Doktor, baby saya ni tak berhenti menangis sejak 1.00 pagi tadi. Saya tak tahu nak buat apa. Cuba doktor tolong periksa”
Saya perhatikan bayi itu yang berada di pelukan ibunya. Bayi itu seolah-olah tersenyum melihat saya. Agaknya geli hati melihat saya seakan-akan mamai bila dikejutkan di awal pagi.
“Tapi dia diam sekarang ni…” saya cuba mencari penjelasan. Belum ayat saya habis, suara hebat meletup.
“Ya Allah! Doktor ingat saya ni bohong ke?!” Bentak suaminya yang barangkali kepenatan dan mengantuk tidak dapat tidur semalaman.
“Sabar ya, saya pun tak cukup tidur dan penat. Saya hanya bertanya untuk kepastian, bukan tuduh sesiapa bohong. Saya lihat anak awak ni senyap saja. Itu yang saya agak pelik”
“Kami pun pelik. Dah tiga jam dia meraung di rumah. Bila sampai sini, dia terus diam” terang isterinya.
Saya senyum melihat gelagat ibu bapa muda itu. Mereka dan saya sama-sama penat, mengantuk dan berasa pelik. Ya, saya amat pelik, apabila bayi yang dikatakan menjerit melolong di rumah tiba-tiba diam bilik sampai ke pusat kesihatan.
Mungkin aircond yang menyamankan, mungkin dia seronok melihat saya yang berwajah lucu bila bangun tidur atau mungkin bayi itu telah penat menjerit sepanjang malam.
Ini bukan pertama kali saya menerima bayi yang menangis di tengah malam, bila sampai ke pusat kesihatan, bayi itu senyap dan selesa dipelukan ibunya.
Fenomena bayi yang menangis di tengah malam sebegini kadang kala diterjemahkan dengan pelbagai terjemahan. Ada yang percayai bayi mereka di ‘usik’ oleh makhluk halus. Yang lebih hairan, kalau minda mereka sudah ’dicetak’ dengan pemikiran begitu, mengapa harus dibawa ke perubatan moden pula.
Apakah agaknya punca anak menangis di waktu malam? Apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang sebenarnya bayi ini mahu? Apa yang perlu dilakukan untuk menghentikan mereka menangis? Banyak alasan mengapa mereka menangis. Pakar psychology kanak-kanak memberitahu bahawa bayi sebenarnya cuba berkomunikasi dengan ibu bapanya. Ayat yang mereka gunakan ialah tangisan yang lebih menarik perhatian ibubapa.
Antara sebab mereka menangis di waktu malam kerana MEREKA LAPAR. Bayi yang berumur kurang dari setahun terutamanya kurang dari enam bulan kerap mereka lapar dan perlu disusukan. Ini disebabkan perut mereka yang kecil. Mereka menyusu dengan sedikit tetapi kerap. Mereka harus disusukan setiap 4-6 jam.
Ramai ibubapa yang tidak menyangka bahawa bayi mereka mempunyai perasaan. Bayi bukannya seperi pokok bunga yang hidup tanpa perasaan. Mereka adalah makhluk yang hidup dan berperasaan. Pembentukan emosi mereka di peringkat baru dan sedang dibentuk. Mereka sebenarnya MAHU DIMANJAI. Ibu bapa haruslah mendodoi mereka dan jangan biarkan mereka baring dan disusukan begitu.
Walaupun disusukan dengan susu formula menggunakan botol, namun dakapan ketika menyusukan bayi amat bernilai dari segi psikologi dan pembentukan mental mereka. Mereka akan rasa lebih disayangi dan selamat. Jadi sebelum bayi kita menjerit di tengah malam, pastikan kita memberikan sedikit masa untuk mendakap mereka dan mendodoikan mereka. Apabila bayi sudah menjerit, tidak banyak yang boleh dilakukan lagi untuk meredakan tangisannya.
Pastikan bayi anda tidak tidur sepanjang waktu pada waktu siang. Ada bayi yang di waktu siang akan rehat dan tidur, sementara di waktu malamnya pula MASIH BERTENAGA. Mereka masih mahu bermain sedangkan ibu bapa pula sudah kepenatan kerana bekerja sepanjang hari di tempat kerja.
Untuk membaiki keadaan ini, beritahu pengasuh bayi kita supaya tidak membiarkan mereka terus tidur sepanjang waktu siang. Kalau ada kesempatan, bermain dan bercakap-cakap dengan bayi akan membuatkan mereka letih di sebelah petang. Gelapkan atau suramkan lampu di bilik mereka. Ini akan membuatkan otak mereka tidak berfikir secara aktif. Ramai ibubapa yang berasa tidak selamat membiarkan bayi mereka tidur dalam cahaya yang suram.
Sebenarnya ia adalah selamat selagi kita memastikan tiada barang-barang atau selimut yang boleh menyebabkan mereka susah bernafas. Bayi selalunya akan menangis jika mereka bermasalah dan perlukan perhatian. Lampu yang terang menyebabkan mereka aktif bermain sendirian.
Ramai yang tidak percaya jika saya memberitahu bahawa bayi mereka menangis kerana MEREKA KEPENATAN. Lebih mudah untuk memberitahu bahawa bayi mereka diganggu makhluk halus. Ibu bapa sering menganggap bayi mereka ibarat patung ’babydoll’ yang tidak boleh berasa penat. Bayangkan kalau sepanjang hari ibu bapa bermusafir dari Alor Star ke Johor Bahru dengan berkereta. Jika posisi bayi tidak berubah, tentu otot-otot mereka berasa lenguh. Jika bayi berumur 6 bulan ke atas, mereka boleh diurut perlahan-lahan dengan teknik yang betul. Ini akan menyebabkan bayi akan berasa selesa dan mudah untuk tidur.
Bilik tidur yang gelap sememang membantu untuk otak bayi “turn off”. Walaupun kepenatan, bayi tidak mampu untuk lena jika keadaan bilik mereka terang benderang. Otak mereka akan sentiasa “standby”, dan akan “turn on” bila-bila masa jika ada rangsangan seperti bunyi angin atau bunyi air yang menitik. Perkara yang sama berlaku pada orang dewasa yang tidak dapat lena.
Saya percaya ramai ibubapa yang keliru dengan jeritan bayi. Apabila mereka dikejutkan dari tidur oleh suara teriakan bayi, mereka terus ke dapur dan membuatkan susu untuk bayi mereka. Tanpa menyedari apa yang berlaku, mereka menyumbatkan mulut anak mereka dengan puting botol susu.
Seharusnya ibu bapa haruslah perhatikan persekitaran bayi.
SUHU BILIK di mana kita letakkan bayi juga haruslah diberikan perhatian. Jika suhu bilik terlalu sejuk atau terlalu panas, tentu ianya tidak selesa pada bayi. Bayi mungkin akan berpeluh dan menambahkan ketidakselesaan. Pasangkanlah kipas yang berpusing dengan kelajuan sederhana. Tujuannya agar udara di bilik itu bergerak dan perudaraannya baik. Tidak perlu meletakkan bayi di sebelah kipas kerana apabila bayi terkena udara secara langsung, bayi itu mungkin lebih tidak selesa.
Perhatikan juga LAMPIN BAYI yang mungkin basah dan kotor. Jika lampin tidak ditukarkan, ia kan memberikan kesan kegatalan pada kulit dan menyebabkan bayi akan tidak selesa. Mereka menjerit minta ditukarkan lampin yang basah dan kotor.
Ahli psikologi kanak-kanak juga mengandaikan bayi juga mempunyai mood perasaan. Adakalanya bayi menjadi cerewet dan mudah meradang. Malah mereka mungkin berasa ceria dan mempunyai MOOD YANG BAIK. Ini semua boleh dirangsangkan apabila ibubapa berkomunikasi dengan bayi dengan baik. Bercakap, bercerita, berlawak dengan bayi akan meningkatkan mood mereka. Jika mereka dibiarkan tanpa komunikasi dan interaksi, mood bayi tidak diceriakan dan bayi akan mudah marah dan menangis.
Walau bagaimanapun, MOOD IBU BAPA juga mempengaruhi mood bayi mereka. Ahli psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa ibu yang marah, kecewa, sugul, penat dan murung selalunya bayi akan menangis sekuat hati. Selain itu bayi juga akan menangis lebih lama. Begitu juga ibu mereka mempunyai masalah dengan suami atau terasa diabaikan.
Jadi sebelum bergegas membawa bayi kita ditengah malam berjumpa doktor, elok juga jika kita mempelajari dan mempraktikkan apa yang kita ketahui. Namun punca-punca bayi menangis tadi haruslah dibezakan dengan dua punca yang lain, iaitu COLIC dan demam. Punca-punca ini lebih serius dan memerlukan perhatian, dan harus dibawa berjumpa doktor.
Colic adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan bayi yang menangis di tahap melampau. Ia selalunya bermula dari umur dua minggu hingga 4 bulan. Namun ada bayi yang masih lagi menangis walaupun berumur lebih empat bulan.Mereka menangis sepanjang petang dan kadang kala berlarutan ke malam.
Colic disebabkan oleh pengecutan otot usus menyebabkan rasa senak dan memulas-mulas selepas menyusu bayi. Pakar Pediatrik memberikan teori bahawa ianya disebabkan susu yang tidak dapat dihadamkan. Susu yang tidak dihadamkan menghasilkan lebih banyak gas. Setengah bayi mempunyai alahan pada susu lembu dan kambing. Perut mereka menjadi kembung. Gas yang berada dalam usus tidak dapat menyerap dalam badan, ia harus dikeluarkan. Otot usus mengecut semaksima mungkin agar gas ini dapat dikeluarkan samada sebagai muntah atau kentut/ceret beret.
Banyak ubat yang boleh didapati di farmasi yang membantu mengurangkan colic pada bayi. Antaranya ialah gripe water dan colimix. Namun haruslah bertanyakan kepada farmasi yang bertauliah atau doktor tentang masalah bayi anda sebelum memberikan apa-apa ubat kepadanya.
Mengurut dan mengusap bayi dengan teknik yang betul mampu melegakan bayi.
Caranya ialah dengan melakukan pergerakan yang berulang-ulang aksi seolah-olah bayi sedang menunggang basikal.
Kaki mereka berada di udara dan ‘mengayuh’ dalam keadaan telentang. Pergerakan pasif yang dilakukan oleh ibu bapa mereka sangat membantu bayi merasakan kelegaan.
Mengusap dengan lembut perut bayi akan mengurangkan rasa tidak selesa. Bayi ditiarapkan dan diusap dari belakang terutama kaki dan bahunya. Urutan yang lembut sebegini tidak menggunakan minyak panas, hanya sekadar minyak ’baby oil’ yang melicinkan pergerakan tangan ketika mengurut.
Saya amat mencadangkan ibubapa membeli termometer yang ringkas agar dapat mengukur suhu badan bayi. Ianya akan membantu ibu bapa mengetahui sama ada bayi mereka sedang demam atau tidak. Bayi yang demam adalah antara masalah yang serius dan harus dibawa berjumpa doctor. Demam yang tinggi dan berlarutan boleh memberikan kesan buruk pada bayi.
Jadi perhatikan keadaan bayi sebelum kita membawanya ke pusat kesihatan. Adakalanya bayi akan diam dengan sendirinya tanpa perlu memakan apa-apa ubat.
Sumber: Dr. Zubaidi Hj Ahmad