Bayi Usia Sebulan Meninggal Dunia Dipercayai Tersedak Susu. Ibu Sedar Selepas Enam Jam

Share

Seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumah keluarganya di Taman Nusari Bayu 1, Sendayan Seremban, semalam.

Menurut laporan Metro, dalam kejadian jam 6.15 pagi, ibu bayi berkenaan berusia 20-an menyedari bayinya tidak bernafas dengan mukanya menjadi kebiruan di atas katil.

Sumber polis berkata, terdahulu wanita berkenaan menyusukan anaknya dalam posisi mengiring sebelum tertidur, 12.15 tengah malam.

“Apabila terjaga daripada tidur pada 6.15 pagi, wanita itu cuba mengejutkan bayinya namun, dia tidak bergerak dan pemeriksaan kemudian mendapati dia tidak bernafas.

“Dia dan suaminya yang berusia 29 tahun segera membawa anak mereka ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini,” katany.

Kata sumber itu, pemeriksaan dilakukan pakar perubatan HTJ mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan pada tubuh bayi tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah. Bapanya memaklumkan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak mempunyai sebarang penyakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, menurut Kaunselor Laktasi Bertauliah, Noor Fazila Abdul Rahman, beliau menyatakan posisi mengiring untuk menyusukan bayi tak salah.

Bagaimanapun, ibu kena tahu cara yang betul jika benar-benar ingin menggunakan cara itu. Paling penting ibu kena pastikan jenis tilam yang digunakan sama ada tenggelam atau tidak dan juga saiz bayi.

Mungkin bagi bayi yang terlalu kecil posisi mengiring belum sesuai untuknya dan setiap bayi tak sama.

Lagi satu dalam hal ini, bayi yang menyusu dengan susu ibu paling lama akan bertahan dalam tempoh dua jam. Ini kerana susu ibu mudah di hadam dan anak cepat lapar.

Jika selepas dua jam anak tak memberi apa-apa respon, ibu kena periksa bayi dan jangan dibiarkan begitu sahaja.

Penting juga untuk ibu atau penjaga sendawakan bayi walaupun rasa penat atau mengantuk kerana ini cara terbaik untuk memastikan bayi tidak mengalami masalah tersedak susu.

 

 

 

Published by
Wan Amy