Bayi Yang Berkhatan Awal Lebih Rendah Risiko Mendapat Jangkitan Salur Kencing! Ikuti 2 Lagi Faedah Berkhatan Awal

Share

Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang kulit hujung (muncung) alat kemaluan lelaki. Tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan. Ia juga merupakan tuntutan agama di mana berkhatan adalah satu kewajipan dalam masyarakat Islam. Biasanya berkhatan dilakukan ketika kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun.

Namun, sejak kebelakangan ini, trend sudah berubah apabila kanak-kanak lelaki seawal usia lima tahun telah melalui pengalaman paling bermakna dalam kehidupan seorang lelaki. Malah, ada ibu bapa yang mengkhatankan anak lelaki masing-masing selepas lahir.

Kelebihan berkhatan di awal usia

  1. Senang dirawat

Apabila kanak-kanak melalui pengalaman berkhatan lebih awal, dia mudah melupakan traumanya memandangkan usia masih muda. Kedua, pencegahan penyakit dapat dilakukan lebih awal sebagaimana saranan mencegah lebih baik daripada mengubati. Luka yang dialami oleh kanak-kanak ketika berkhatan juga lebih cepat sembuh.

  1. Kebersihan

Kulit yang berlebihan pada hujung kemaluan mempunyai suhu yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki-baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai smegma. Ia juga merupakan faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Jika serius, keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dan anak anda mungkin mengalami kesukaran untuk membuang air kecil.

  1. Elak jangkitan kuman

Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan salur kencing. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana jika tidak dirawat dan boleh merosakkan fungsi buah pinggang lalu mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan. Berkhatan awal juga dapat mengurangkan risiko keradangan pada alat kemaluan dan kanser.

Kaedah berkhatan

  • Konvensional

Terdapat beberapa jenis kaedah berkhatan secara konvensional. Salah satunya adalah dengan menggunakan alat yang dipanggil cautery. Ia adalah sejenis alat yang menggunakan tenaga elektrik atau kuasa bateri. Ia menghasilkan haba di hujungnya dan boleh digunakan untuk memotong lebihan kulit dan membakar salur darah. Ini menjadikan proses khatan kurang mengalami pendarahan.

Kaedah menggunakan gunting dan mata pisau masih digunakan oleh sebilangan doktor. Dengan kaedah ini, pendarahan diberhentikan menggunakan teknik ligation iaitu diikat menggunakan benang. Kaedah memberhentikan darah dengan cara ini adalah selamat kerana saluran darah besar akan tertutup dengan menggunakan ikatan benang berbanding penggunaan kaedah cautery.

  • Moden

Kini terdapat inovasi yang telah direka untuk mengurangkan risiko-risiko pembedahan berkhatan dengan penggunaan klamp plastik. Kaedah ini tidak memerlukan jahitan dan prosesnya amat cepat dilakukan. Pelbagai jenis klamp ini yang terdapat dalam pasaran seperti Sunathrone, SmartKlamp, AlisKlamp, Tara klamp, Ismail Klamp dan Plastibel.

Kaedah berkhatan dengan menggunakan klamp telah terbukti lebih mudah, kurang pendarahan, kurang risiko jangkitan dan lebih selesa untuk kanak-kanak. Hal ini kerana si kecil boleh terus memakai seluar dan mandi serta bergerak dengan lebih selesa tanpa rasa sakit. Dia juga mudah untuk membuang air kecil dan beristinjak tanpa mencemarkan luka berkhatan.

Untuk makluman, penggunaan kaedah klamp memerlukan doktor berlatih sebelum menjalankan khatan. Oleh yang demikian, anda perlu mendapatkan khidmat doktor terlatih yang berpengalaman melakukan kaedah ini.

Terpulang kepada ibu bapa untuk memilih kaedah terbaik untuk mengkhatankan anak. Apa-apa pun, pastikan kaedah yang dipilih memberikan keselesaan kepada anak yang bakal berkhatan dan pada masa yang sama dapat mengurangkan risiko komplikasi.

Walau apa sahaja keputusan anda, pastikan si anak bersedia untuk dikhatankan. Maklumkan kepadanya tentang kebaikan berkhatan dari awal agar dia mempunyai kefahaman sejak kecil lagi. Ia juga penting bagi memastikan fizikal dan minda anak yang akan dikhatankan sihat untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

Published by
NuFa