Bedak Sejuk Campuran Beras Pulut, Kunyit & Kulit Kayu Manis, Mama Yang Ada Masalah Kulit Boleh Cuba
Bagi mama yang mengalami masalah kulit seperti jerawat dan kulit kusam, bolehlah cuba ramuan bedak sejuk yang menggunakan beras pulut, kunyit dan kulit kayu manis. Bedak sejuk memang sejak dari dahulu lagi menjadi amalan nenek moyang kita. Ia mampu merawat kulit wajah berjerawat di samping menjadikan kulit wajah lebih halus dan anjal.
Jerawat memang boleh dikatakan ‘musuh’ utama kulit wajah. Sesiapa sahaja yang mengalami masalah jerawat pasti akan berasa kurang keyakinan diri. Apabila jerawat mula menghinggapi kulit wajah, solekan setebal mana pun tidak mampu menyembunyikannya.
Apa kata anda cuba bedak sejuk versi cara cepat dan mudah. Hanya menggunakan tiga bahan sahaja. Boleh buat untuk stok dan kemudian simpan dalam peti sejuk. Tidak sesuai simpan di luar, bimbang berbau atau pun berkulat.
BAHAN-BAHAN:
Beras pulut
Kunyit hidup
Kulit kayu manis
CARA-CARA MEMBUAT:
1. Basuh beras pulut dan rendamkan semalaman atau sejam (ikut mana kita suka)
2. Buang kulit kunyit (kuantiti kunyit ikut kesesuaian dengan beras pulut)
3. Kisar kering beras pulut bersama kunyit (jangan dicampur dengan air)
4. Campurkan kulit kayu manis. Jangan terlalu banyak. Takut panas muka. Boleh guna setengah sudu kecil. Kemudian kaccau hingga sebati.
5. Kulit kayu manis ikut suka sama ada hendak tumbuk atau pakai serbuk yang sedia jual di kedai.
6. Simpan di dalam bekas. Tutup rapat dan simpan dalam peti sejuk. Barulah tahan lama
7. Apabila hendak pakai, ambil sedikit, barulah campur dengan sedikit air.
BERIKUT LANGKAH DEMI LANGKAH MEMBUAT BEDAK SEJUK VERSI CEPAT DAN MUDAH:
Kisar semua bahan dengan kaedah kisar kering ikaitu tanpa dicampur dengan air.
Simpan di dalam bekas yang tertutup dan kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.
Ambil sedikit untuk digunakan.
Campurkan dengan sedikit air.
Sapukan rata pada seluruh kulit wajah.
Sebenarnya kita boleh mempelbagaikan ikut kesesuaian kulit muka kita. Ada orang suka campur madu dan asam jawa. Boleh jugak buat masker dengan putih telur. Dan tiga bahan ini juga kita boleh olah buat skrub badan juga.
Apa yang menarik tentang bedak sejuk kunyit + kulit kayu manis ini? Sebenarnya ia boleh membantu untuk mengecutkan jerawat, menegangkan kulit wajah dan menghilangkan gatal-gatal resdung pada kulit muka.
Kunyit memiliki sifat antikeradangan dan antioksidan yang penting untuk mengubati masalah kulit. Menggunakan kunyit sebagai pupur wajah bukan saja dapat meredakan keradangan akibat jerawat, malah mampu mengecutkan jerawat dan mengurangkan kemunculannya.
Sumber kredit: Hanie Inara via Masak Apa Hari Ini (MAHN)