Apa yang kita tanam, itulah yang anak akan tuai! Kelembutan kasih sayang tidak bermaksud tidak boleh memarahi. Kita sebagai ibu bapa perlu mempelajari bagaimana memarahi, mendisiplin dan menghukum anak-anak dengan kelembutan kasih sayang.
Ini adalah skil yang sangat perlu ibu bapa hari ini kuasai. Kerana skil ini tidak begitu dipamerkan oleh ramai ibu bapa zaman dahulu. Ini bukan disengajakan tetapi kebanyakan mereka kurang memahami kesan kekerasan cara.
Tanpa kita sedar dan tanpa mereka mahukan, ianya meninggal kesan kepada hati. Inilah diantara sebab mengapa ramai orang kurang bertimbang rasa hari ini. Ini amat ternyata di laman sosial ini. Contohnya, bila sesuatu perkara yang diviralkan, banyak keji, maki dan kata-kata tidak senonoh di lemparkan. Ini menunjukkan situasi hati dan perasaan mereka yang membuat komen itu.
“Penulisan Ibu ini BUKAN mahu menyalahkan ibu bapa dahulu yang sangat kita kasihi dan hormati. Ia adalah untuk kita boleh mempelajari dari kesilapan mereka dan membetulkannya di dalam keibubapaan kita supaya mereka juga mendapat hasanahnya.
Ibu bapa kita sentiasa mahu kita menjadi lebih hebat daripada mereka. Termasuklah di dalam perihal mendidik anak-anak.”
Sesuatu yang perlu ingat kita hanya dapat memberi apa yang kita ada. Bila ada kasih sayang dan timbang rasa, maka itulah yang terpamer di dalam kelakuan kita. Bila hati penuh dengan sakit, marah dan geram, maka ianya akan terpercik kuat atau sikit di dalam perlakuan kita. Apatah lagi di laman sosial, tidak ada siapa pun yang tahu dan kenal, maka mudahlah kata-kata kurang senonoh itu diizinkan keluar tanpa kawalan.
Bila Ibu membaca komen-komen begitu, hati Ibu penuh kasihan terhadap mereka. Terdetik di hati, apakah yang menyebabkan hati mereka itu penuh dengan perkara tidak elok begitu. Apakah yang telah mereka lalui semasa kecil dan besar terutama semasa mereka membesar. Kerana ia memberi kesan jangka panjang yang membentuk akhlak.
Jika kita membiarkan perkara begini berterusan, kita akan suatu masa mempunyai dunia yang penuh dengan keganasan perbuatan dan percakapan.
Sumber: Ibu Rose