Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu sememangnya membawa khabar gembira kepada rakyat Malaysia, terutamanya buat para ibu dan ayah. Tahun ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai pelepasan cukai baharu yang memberi kelegaan besar kepada keluarga muda daripada yuran taska, perlindungan anak, sehinggalah kesihatan dan rawatan anak istimewa.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan kos sara hidup yang meningkat, setiap inisiatif sebegini memberi makna mendalam buat ibu bapa yang berusaha memastikan kesejahteraan keluarga terus terjaga. Berikut 5 pelepasan cukai baharu yang wajib diketahui semua ibu ayah bagi tahun taksiran 2026 nanti.
1. Galak Rakyat Melancong Dalam Negara
Tahun Melawat Malaysia 2026 kini lebih bermakna buat seisi keluarga! Kerajaan memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
Langkah ini bukan sahaja membantu merancakkan semula industri pelancongan tempatan, tetapi juga menggalakkan keluarga mengambil peluang bercuti bersama sambil mengenali keindahan negara sendiri. Ibu ayah boleh jadikan percutian ini sebagai masa berkualiti bersama anak-anak tanpa rasa bersalah terhadap bajet keluarga.
2. Semua Jenis Vaksin Kini Layak Dapat Pelepasan
Kesihatan anak-anak menjadi keutamaan. Mulai tahun taksiran 2026, semua jenis vaksin yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) — termasuk vaksin tambahan seperti Influenza, HPV, Rotavirus atau Chickenpox — kini boleh dituntut sebagai pelepasan cukai individu.
Ads
foto via pexels
Ini bermakna ibu ayah tidak lagi terhad kepada vaksin tertentu sahaja, malah boleh memastikan anak menerima perlindungan imunisasi lengkap sambil mendapat manfaat cukai yang setimpal.
3. Insurans & Takaful Nyawa Kini Meliputi Anak-Anak
Berita baik untuk semua keluarga! Pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful kini diperluas kepada anak-anak.
Langkah ini amat membantu ibu ayah menyediakan perlindungan kewangan menyeluruh buat seisi keluarga. Selain memberi ketenangan fikiran, ia juga membantu mengurangkan tekanan kewangan dalam jangka masa panjang.
Ads
4. Intervensi Awal & Rawatan Pemulihan Anak OKU
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun ke bawah, kerajaan menambah baik sokongan melalui kenaikan pelepasan cukai daripada RM6,000 kepada RM10,000.
Pelepasan ini meliputi kos pemeriksaan, pengesanan awal, program intervensi dan rawatan pemulihan. Ia merupakan satu langkah besar ke arah memperkasakan anak-anak istimewa agar mereka mendapat peluang rawatan terbaik serta menyokong perkembangan potensi mereka sejak kecil.
5. Pelepasan Yuran Taska & Tadika Diperluas Hingga 12 Tahun
Inilah berita yang paling dinantikan oleh ramai ibu bekerja! Kerajaan mengekalkan pelepasan cukai sebanyak RM3,000 untuk yuran pusat jagaan, taska, transit dan tadika, namun dengan penambahbaikan yang sangat membantu — had umur anak dinaikkan kepada 12 tahun.
Ads
Langkah ini memberi lebih ramai ibu bapa peluang menikmati manfaat tersebut, terutama bagi mereka yang masih menghantar anak ke pusat transit selepas waktu sekolah.
Kesimpulan: Lega, Gembira & Lebih Terjamin
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 benar-benar berpihak kepada ibu ayah Malaysia. Ia bukan sekadar memberi kelegaan kewangan, tetapi juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sebenar keluarga masa kini.
Dari aspek penjagaan anak, kesihatan, pendidikan awal hingga kesejahteraan keluarga, semuanya diberi perhatian dalam belanjawan kali ini.
💡 Tip Pa&Ma:
Pastikan ibu ayah menyimpan semua resit berkaitan vaksin, yuran taska, insurans atau rawatan anak untuk memudahkan tuntutan cukai nanti. Setiap dokumen kecil itu boleh jadi penyelamat besar buat bajet keluarga!
Belanjawan 2026 kali ini bukan sekadar angka, tetapi satu harapan baharu untuk setiap keluarga agar dapat hidup lebih selesa, sihat dan bahagia bersama anak-anak tersayang. ❤️
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak memandu dan menunggang tanpa lesen, jangan normalisasikan budaya begini. Di jalan raya Malaysia, bukan sesuatu yang luar biasa melihat remaja bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen atau memandu kereta tanpa kelayakan yang sah.
Anak Memandu Dan Menunggang Tanpa Lesen, Jangan Normalisasikan Budaya Begini
Ia seakan menjadi satu budaya yang semakin diterima oleh masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar. Malah, ada ibu bapa yang dengan rela hati membenarkan anak-anak mereka memandu sebelum umur yang dibenarkan, seolah-olah ia perkara biasa.
Tapi sampai bila kita nak terus tutup mata? Sampai bila kita nak biarkan mentaliti “tak apa, semua orang buat” ini berleluasa?
Statistik kemalangan jalan raya sudah cukup membuktikan bahawa anak-anak bawah umur yang memandu atau menunggang tanpa lesen bukan sekadar isu remeh, tetapi ancaman nyawa yang serius.
MENURUT LAPORAN INSTITUT PENYELIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA MALAYSIA (MIROS), GOLONGAN REMAJA ANTARA YANG PALING RAMAI TERLIBAT DALAM KEMALANGAN MAUT, TERUTAMANYA MEREKA YANG MENUNGGANG MOTOSIKAL.
Mereka tidak cukup matang untuk memahami risiko di jalan raya. Kemahiran mereka masih belum cukup untuk mengawal kenderaan dalam situasi kecemasan. Ini bukan soal kecekapan sahaja, tetapi juga soal kebertanggungjawaban. Lesen memandu bukan sekadar sekeping kad, ia simbol latihan, pemahaman undang-undang, dan disiplin di jalan raya.
Peranan Ibu Bapa: Jangan Jadi Pendorong
Tidak dinafikan, sesetengah ibu bapa memberikan kebenaran kerana keperluan. Mungkin kerana anak perlu ke sekolah, ke kedai, atau membantu keluarga. Namun, keperluan bukan alasan untuk mengabaikan keselamatan mereka.
Bila ibu bapa membiarkan anak-anak memandu atau menunggang tanpa lesen, mereka sebenarnya sedang mengajar anak-anak bahawa melanggar undang-undang itu boleh diterima. Jika hari ini mereka dibiasakan dengan kesalahan kecil, esok lusa mereka tidak akan takut untuk melanggar kesalahan yang lebih besar.
Masyarakat Juga Perlu Ambil Peduli
Jangan tunggu sehingga ada kemalangan berlaku di depan mata baru kita mahu bersuara. Jika nampak anak jiran atau saudara mara yang masih bersekolah menunggang motosikal tanpa lesen, tegurlah. Jika nampak ibu bapa dengan bangga membenarkan anak mereka membawa kereta sebelum cukup umur, nasihatkan mereka.
Ini bukan soal menjaga tepi kain orang, tetapi soal tanggungjawab bersama. Keselamatan di jalan raya bukan hanya melibatkan individu, tetapi semua pengguna jalan raya.
Penegasan Undang-Undang
Undang-undang sudah ada, tetapi penguatkuasaan perlu lebih tegas. Hukuman terhadap ibu bapa yang membiarkan anak mereka memandu tanpa lesen harus dipertingkatkan. Pihak berkuasa juga perlu lebih agresif dalam menangani isu ini, bukan sekadar menunggu operasi atau sekatan jalan raya semata-mata.
Selain hukuman, pendidikan juga perlu diperkuatkan. Kempen kesedaran harus digiatkan di sekolah dan dalam komuniti supaya semua pihak memahami risiko serta tanggungjawab mereka.
Normalisasi anak-anak memandu dan menunggang tanpa lesen harus dihentikan segera. Jangan biarkan ia menjadi satu warisan yang kita turunkan kepada generasi seterusnya. Kita mahu anak-anak membesar dengan selamat, bertanggungjawab, dan menghormati undang-undang.
Nyawa bukan perkara yang boleh diuji atau dipandang ringan. Jangan tunggu sehingga terlambat untuk berubah.
Jangan marah kalau isteri kuat makan atau suka sangat kirim makanan pada suami. Ada masanya selera makan itu datang tanpa dipinta. Mungkin sebab letih sangat dan mahu kurangkan stres, makan adalah cara yang terbaik.
Sesekali cuba suami duduk di rumah dan ambil alih tugas harian isteri. Itulah yang dilakukan oleh suami ini, Mohd Khairul Azuan. Katanya letih buat kerja suri rumah dan mengasuh anak seorang. Fahamlah dia kenapa seronok sangat bila isteri bila dibelikan makanan oleh suami.
Puas Hati Tengok Isteri Bawa Balik Makanan!
Penat jadi suri rumah. Saya baru jaga Umar sorang pun dah penat habis.
Tapi penat semua hilang bila wife balik kerja bawak balik makanan yang banyak. Nasi beriani takde dalam gambar 😂 Pastu dah balik rumah siap hidang lagi kat kita.
Begini rupanya perasaan isteri yang jadi suri rumah bila suami bawa balik makanan atau bawa makan luar. Hilang penat. Bukan penat jaga anak atau rumah sebenarnya tapi penat hadap dalaman rumah je seharian.
Sebab tu lah kadang-kadang ada wanita yang sampai kena refer psychiatrist sebab tekanan hidup. Anak 4-5 orang kecik-kecik. Suami ingat senang kot jaga. Try sehari dua.
Dah seharian saya jaga sorang anak kat rumah ni baru tahu penatnya suri rumah. Saya rela kerja penat siang malam cari duit dari teruskan kerja ni.
Mulia kerja suri rumah. Dan tak pelik isteri yang kita kahwini dulu lembut suara lembut macam Nora Danish, sekarang dah jadi Bandi Amuk.
Sekian. Nak makan jap.
Biar isteri mahupun suami, sebenarnya kedua-duanya mempunyai tanggung jawab yang berat. Setiap seorangnya mempunyai peranan tersendiri untuk memastikan hidup berkeluarga kekal harmoni berpanjangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita kemalangan Kota Tinggi yang meragut nyawa sepasang suami isteri benar-benar meruntun hati masyarakat apabila bayi mereka yang baru berusia enam bulan terselamat tetapi menjadi yatim piatu dalam sekelip mata. Tragedi yang berlaku di Kilometer 54.5, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi itu mengingatkan kita bahawa hidup boleh berubah secara drastik tanpa diduga.
Peristiwa yang berlaku pada Ahad tersebut membuat ramai tersentak, terutama apabila memikirkan nasib si kecil yang masih belum mengenal dunia dan kini perlu membesar tanpa kasih sayang kedua-dua ibu bapanya.
Pasangan Maut Di Lokasi Kejadian, Bayi Terselamat Dalam Car Seat
Mangsa yang maut ialah Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isterinya Nur Fatihah Othman, 28. Mereka disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori Hino.
Bayi mereka, Nur Laylaa Batrysha, hanya berusia enam bulan. Ketika kejadian, si kecil berada dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (car seat), yang dilaporkan menyelamatkan nyawanya walaupun mengalami kecederaan di kepala. Kini, dia sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) dan dilaporkan stabil.
Bagaimana Kemalangan Berlaku?
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.30 petang. Nahas yang menjadi tumpuan dalam kes kemalangan Kota Tinggi ini melibatkan tiga kenderaan Perodua Myvi, Lori Hino bermuatan kosong dan Toyota Vios.
Siasatan awal mendapati Myvi yang dipandu mangsa lelaki berusia 24 tahun itu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori sawit. Impak kuat menyebabkan serpihan kenderaan turut mengenai Toyota Vios di laluan sama.
Pemandu lori berusia 47 tahun mengalami kecederaan ringan manakala pemandu Toyota Vios berusia 46 tahun turut cedera. Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Car Seat Selamatkan Nyawa – Peringatan Penting Buat Semua Ibu Ayah
Dalam kesedihan tragedi kemalangan Kota Tinggi ini, satu perkara penting yang wajar diberi perhatian ialah peranan car seat dalam menyelamatkan nyawa bayi. Penggunaannya bukan sekadar pilihan, tetapi keperluan wajib bagi keselamatan anak kecil ketika berada di jalan raya.
Car seat yang dipasang dengan betul:
Mengurangkan risiko kecederaan parah
Mengelakkan bayi tercampak atau terhentak kuat
Memberi perlindungan optimum kepada kepala, tengkuk dan tulang belakang
Ini peringatan tegas buat semua ibu ayah — walaupun perjalanan dekat, pastikan anak sentiasa berada dalam car seat yang sesuai dan dipasang mengikut panduan keselamatan.
Doa & Harapan Buat Nur Laylaa Batrysha
Kehilangan kedua-dua ibu bapa pada usia sebegini kecil bukan sesuatu yang mampu difahami oleh bayi. Namun, keluarga terdekat telah menyatakan kesediaan menjaga Nur Laylaa Batrysha dengan penuh kasih sayang. Ramai warga net juga menyatakan rasa simpati, doa dan sokongan agar si kecil membesar dalam persekitaran penuh kasih sayang.
Harapan kita semua, semoga anak kecil ini diberikan kekuatan sepanjang membesar tanpa ibu ayah di sisi dan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT. Dalam masa yang sama, tragedi ini menjadi pengajaran besar tentang pentingnya keselamatan jalan raya dan peranan car seat dalam menyelamatkan nyawa, sebagaimana yang terbukti dalam insiden kemalangan Kota Tinggi ini.
Salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga arwah pasangan ini ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan semoga si kecil terus menerima perhatian dan kasih sayang daripada mereka yang menjaganya.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.