Beli Bekas Plastik, Tengok No Kodnya. Tak Semua Sesuai Simpan & Panaskan Makanan

Share

Ramai kaum ibu cukup ‘berhantu’ kalau boleh masuk kedai yang menjual pelbagai barangan rumah pada harga murah. Ibaratnya bawa RM50 dalam beg, keluar dapat berplastik-plastik barangannya.

Namun ada tanggapan orang, barang yang dijual kurang berkualiti dan sesetengah barangan plastiknya boleh memudaratkan kesihatan. Bagi menjawab persoalan dan tanggapan ini, Ahli Kimia, Dr Fatimah Salim ada jawapannya.

Saya secara peribadi, masuk saja kedai serbaneka yang harga murah ni. Bukan apa, saya suka kepelbagaian barang yang dijual, ada yang saya beli juga. Barangan yang murah kita maklumlah ada baik dan buruknya. Namun jika kita pandai membeli dengan membandingkan harga dan jenis barangan, untung sebenarnya. Ada barangan sama yang jauh lebih murah daripada kedai lain.

Cuma nak pesan, barangan yang melibatkan penyimpanan makanan harus lebih berhati-hati. Contoh barangan plastik berwarna hitam yang mungkin diperbuat daripada plastik kitar semula. Barangan murah dikaitkan dengan kitar semula komponen plastik barangan elektronik seperti keyboard, komputer dan sebagainya.

Kajian menunjukkan terdapat potensi bocoran (leaked) bahan-bahan kimia seperti cadmium, chromium, mercury, antimony… ke dalam makanan yang dimasak, disamping bahan penebat api berbromin terutamanya apabila dipanaskan melebihi suhu 70 degree Celcius. Interaksi dengan masakan berminyak, berasid dan bergaram tinggi juga meningkatkan risiko bocoran bahan-bahan kimia tersebut.

Bukannya tidak boleh guna, cuma ELAKKAN penggunaan plastik jenis sebegini pada suhu panas.

ARTIKEL MENARIK [Tengah Marah Cepat-Cepatlah Peluk Anak, Hati Kembali Tenang, Emosi Anak Pun Makin Stabil]

Berkongsi mengenai barangan plastik, mari ulangkaji mengenai label Resin Identification Code (RIC) yang digunakan pada barangan plastik supaya kita lebih cakna.

Cuba perhati barangan plastik anda. Perasan tak adanya nombor 1 hingga 7 yang biasanya berada dalam kurungan segitiga (rujuk gambar di bawah). Sebenarnya ianya adalah kod rujukan yang bertujuan untuk mengklasifikasikan jenis bahan kimia polimer binaan aka material untuk bekas plastik berkenaan.

YA. Kod ini bertujuan untuk memudahkan proses pengumpulan semula bekas yang mempunyai bahan binaan yang sama untuk dikitar semula (recycled).

Untuk kod resin No.7 agak unik kerana ianya mengumpulkan pelbagai bahan binaan yang bukan dalam kategori utama No.1-6. Untuk lebih terperinci, boleh rujuk senarai dalam gambar di bawah.

Bekas berkod resin No.3 iaitu yang diperbuat daripada bahan kimia polimer vinyl chloride (PVC) boleh membocorkan (leaked) bahan kimia phthalates yang mana telah dikaitkan dengan masalah sistem peranakan dan tumbesaran.

Bekas berkod No.7 terutamanya yang diperbuat daripada bahan kimia polimer carbonate (PC) boleh membocorkan bisphenol A (BPA) yang mana telah dikaitkan dengan pembesaran prostat dan gangguan sistem peranakan pada bayi dan kanak-kanak, juga kanser payudara, diabetis, kegemukan, penyakit berkaitan jantung.

Bekas berkod resin No.6 pula boleh membocorkan styrene iaitu bahan kimia penyebab kanser (kasinogenik). Ini juga sebab kenapa kini pembungkus polystyrene tidak dibenarkan untuk membungkus makanan, apa lagi untuk makanan panas.

LAGI ARTIKEL MENARIK [Anak Tidur Berdengkur, Dalam Setahun Kerap Sakit Tekak, Mungkin Tonsil. Rawat Segera!]

Sebenarnya isu keselamatan barangan plastik ini pada dos yang kita terdedah setiap hari masih lagi menjadi perdebatan. Setakat ini, FDA hanya mengharamkan penggunaan bahan ber BPA dalam produk botol bayi. Yang lain masih lagi dikategorikan sebagai selamat kerana jumlah bahan kimia pemberi risiko yang boleh terbocor dan masuk dalam badan kita (melalui makan, minum, terhidu atau aplikasi pada kulit) adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan pendedahan luar. Dan sistem sistem badan kita mampu mengeluarkannya secara semulajadi.

Usah risau, FDA bukan suka-suka keluarkan keputusan. Ianya dibuat berdasarkan timbang tara beribu kajian klinikal tentang keselamatan barangan plastik ini. Jika pengeluar mengikut garis panduan pembuatan dan kita pula menggunakannya dengan betul, ianya selamat. Maka, gunakanlah bekas-bekas ini sesuai dengan TUJUANNYA agar keselamatannya terjamin.

Nota kaki: Kod pada bekas plastik ini BUKAN petanda berapa kali ianya boleh dikitar semula ya. Semoga bermanfaat.

Kredit: ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy