“Adakah anak saya speech delay atau memang dia saja tak mahu cakap?” Soalan ini antara yang sering ditanya ibu bapa yang ada anak antara usia 12 bulan hingga 3 tahun.

Nak tahu anak anda ada masalah pertuturan di peringkat awal, Terapis Cara Kerja, Puan Maryam Jamadi memberi tanda-tanda masalah pertuturan yang boleh dikesan dari anak 12 bulan hingga 3 tahun:

12 BULAN:

❌ Anak tidak mengenal nama mereka sendiri.
❌ Anak tidak boleh menyebut 1 atau 2 perkataan bermakna.

15 BULAN:

❌ Anak tidak reti menunjuk pada objek apabila penjaga menyebut nama objek.
❌ Masih tidak menyebut perkataan memerlukan sesuatu, contohnya “Nak”.

18 BULAN:

IKLAN

❌ Anak masih tidak reti mengikut arahan mudah seperti “Ambil botol susu”.
❌ Anak tidak menyebut perkataan “Mama”/”Papa” atau perkataan panggilan yang lain.

Belum Ada Perkataan Mudah Keluar Dari Mulut Anak 2 Tahun, Mak Ayah Kena Alert

2 TAHUN:

❌ Anak masih tidak menunjukkan anggota badan apabila disebut.
❌ Anak tidak menggunakan sekurang-kurangnya 25 perkataan bermakna.

2 TAHUN 6 BULAN:

IKLAN

❌ Anak tidak mengangguk ataupun bersuara apabila ditanya pertanyaan mudah seperti, “Nak susu?”
❌ Anak tidak menggunakan 2 patah perkataan dalam satu ayat seperti, “Nak mandi” walaupun pelat.

3 TAHUN:

❌ Anak tidak menggunakan sekurang-kurangnya 200 perkataan atau membuat ayat menggunakan 3 patah perkataan dalam satu ayat.

Ada satu kajian yang dijalan selama 29 tahun tentang masalah lewat bahasa reseptif (yang difahami) semasa zaman kanak-kanak menyebabkan risiko masalah emosi, tingkahlaku dan sosial apabila dewasa. Kajian ini dilakukan terhadap 6, 941 kanak-kanak berumur 5 tahun yang mempunyai masalah bahasa reseptif, kajian susulan dilakukan selepas 29 tahun.

IKLAN

Hasilnya terbukti kanak-kanak yang mempunyai masalah bahasa reseptif mempunyai risiko lebih tinggi bagi masalah mental apabila mereka berumur 34 tahun berbanding kanak-kanak lain yang tidak mempunyai masalah terlewat. Kanak-kanak lelaki lebih berisiko berbanding perempuan. 

Kebanyakan kes yang saya terima tentang kes lewat bercakap, perkara pertama yang saya akan lakukan adalah penilaian perkembangan. Apa yang mak ayah selalu risau ialah anak lambat cakap, tapi bila lakukan penilaian barulah kebanyakan mak ayah tahu yang anak juga ada terlewat perkembangan lain juga seperti Skil Urus Diri, Skil Motor Halus, Skil Motor Kasar atau Skil Sosial.

Sebab itulah penilaian awal sangatlah penting kerana ada banyak sangat faktor yang perlu dikenalpasti dan diselesaikan sebelum terapis fokus kepada skil pertuturan seperti Reflex, Sensori (memilih makan, gayat, tak fokus, penggeli, terlampau aktif dan sebagainya), Faktor Persekitaran (kurang rangsangan, “overprotective”, tv, gadget dan sebagainya) ataupun faktor masalah perkembangan yang lain.

Maka, untuk menjayakan kes lewat bercakap ada 1001 cara bergantung kepada setiap kes.

Jika mak ayah dapati anak mempunyai tanda-tanda berikut, sila dapatkan bantuan awal supaya intervensi awal dapat dilakukan. Semakin lambat lakukan sesuatu, semakin jauh perkembangan anak. Letakkan target untuk selesaikan masalah perkembangan anak sebelum anak berumur 5 tahun untuk mengelakkan masalah psikososial apabila dewasa kelak.

Bagi mak ayah yang sedang berjuang untuk anak, semoga dipermudahkan segala urusan.

Sumber: Maryam Jamadi (Beyond Home Therapy)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI