Belum Rezeki Dapat Anak Tapi Susu Badan ‘Meriah’. Dah 3 Anak Susuan Rasa Nikmat Ini

Share

Rasanya ramai yang tak percaya bagaimana seorang wanita yang tak mengandung tetapi boleh mempunyai susu badan yang banyak sehingga boleh dibuat stok. Bukan itu saja, mampu lagi menyusukan beberapa orang anak susuan tanpa masalah.

Inilah yang dikatakan kuasa Allah. Rezeki setiap orang tak sama. Walaupun Allah belum berikan rezeki anak tetapi Dia berikan pula rezeki susu yang banyak kepada Puan Arina Amin. Ikuti perkongsiannya yang cukup memberikan inspirasi.

Menyusukan anak tanpa melalui proses mengandung & bersalin

Saya adalah salah seorang ibu yang menyusukan anak dengan susu badan tanpa melalui proses mengandung dan bersalin.

Hebat kan kuasa Allah? Saya pun amazed!

Di sini saya sengaja menulis untuk berkongsi bahawa tidak mustahil bagi seorang wanita untuk menghasilkan susu tanpa mengandung dan bersalin. Tidak kira umur berapa pun. Selagi ada payudara, insyaAllah boleh!

Dan juga saya ingin kongsi sedikit perjalanan saya semasa melalui proses hasilkan susu sehingga saya berjaya menyusukan anak saya sepenuhnya dengan susu badan.

Proses Induced Lactation 

Proses ini dinamakan Induced Lactation (IL) atau Cetus Susu.

Perjalanan ini bermula bila saya dan suami sama-sama bersetuju untuk membuka ruang dalam keluarga kecil kami bagi kehadiran cahaya mata dari rahim ibu lain. Saya pernah berjumpa dengan seorang OBGYN dan tanya tentang IL. Jawapan beliau “Agak mustahil sebab you tak pregnant. Nak hasilkan susu perlukan hormon ibu bersalin.”.

Sedih? YES

Give up? NEVER.

Saya tak puas hati, saya terus cari info tentang pakar yang arif dalam bidang IL. Saya yakin pasti ada insyaAllah. Cari punya cari, ada rakan yang kenal doktor pakar dalam bidang IL ni.

Dapat sokongan suami, setahun belajar mengenai IL

Kemudian, saya ditemani suami memulakan proses IL dengan menimba ilmu dahulu tentang IL dari tahun 2017 sehingga 2018 melalui dua orang doktor pakar yang merupakan Lactation Consultant IBCLC.

Kami diberi tunjuk ajar dari A hingga Z. Kami belajar tentang breatfeeding, peranan suami dalam breastfeeding, bagaimana susu dihasilkan, jenis ubat-ubatan, kesan sampingan, hormon apa yang terlibat, jenis ransangan untuk menghasilkan susu, teknik marmet (perah susu guna tangan), cara menggunakan pam, SNS dan macam-macam lagi.

Memang puas hati dan lapang fikiran apabila kita dah lengkap dengan ilmu dan menanti untuk praktikannya saja.

Permulaan yang baik

Mei 2019, kami terima tawaran akan ada bayi lahir pada bulan Oktober. Saya pun mulakan proses IL tanpa ubat dahulu dengan membuat urutan yang saya belajar, sekerap yang boleh selama lebih kurang 3 minggu.

Dalam 4 hari pertama, air jernih yang likat terbit.

Ransangan diteruskan setiap hari, sekerap yang mungkin. Masa ni saya belum beli pam. Jadi saya hanya buat urutan dan marmet.

Kemudian saya buat carian tentang Klinik Laktasi kerajaan di KL Selangor. Saya jumpa ada dua pilihan iaitu Pusat Laktasi Kebangsaan Hospital Selayang dan Klinik Laktasi Putrajaya.

Saya pilih Klinik Laktasi Putrajaya di Pusat Bersalin Berisiko Rendah Hospital Putrajaya dan membuat temujanji untuk konsultasi dan ambil ubat. Saya bawa segala dokumen kesihatan untuk rujukan.

Masa ni saya dah beli pam di kedai Pump On The Go di mana saya dah cuba pam yang sesuai dengan saya dan mengikut bajet saya.

 

Susu mula keluar

Saya mula induce dengan ubat yang diberi pada 23 Mei 2019 dan mula pam sambil meneruskan rutin urutan dan marmet.

Susu putih mula keluar pada 26 Mei 2019.

8 Jun 2019 saya dah mula kumpul susu menggunakan picagari (syringe). Masa ni dapat lebih kurang 2.5ml.

Selepas 2 minggu, production susu saya mencecah 2oz sehari. Saya sebenarnya target Bulan Ogos 1 hari 1oz. Tapi laju pula susu meningkat. Alhamdulillah!

26 Jun, stok susu saya cukup untuk 5 kali kenyang. Total 16oz. Tapi saya niat nak teruskan lagi sebab saya niat nak direct feed bila dapat baby nanti.

Suami hadiahkan freezer simpan stok susu

Akhir Jun, suami saya hadiahkan deep freezer 80L sempena hari lahir saya. Kami letak di dalam bilik tidur kami. Gembira tak terkata tiba-tiba wujud deep freezer dalam bilik. Haha!

Dalam tempoh saya menjalani proses IL, saya telah mempunyai 2 anak susuan lelaki. Fayyadh dan Yusuf. Tiba-tiba dah ada 2 anak kan. Kuasa Allah siapa sangka. huhu!

Akhir September, lahirlah bayi lelaki yang diniatkan untuk diberikan kepada kami. Selepas seminggu, kami ke lokasi yang dijanjikan, ibunya meminta untuk berpantang selama 2 minggu bersama anaknya. Segala dokumen angkat sumpah telah diselesaikan.

Saya sempat menyusukan 2 kali anak tersebut yang kami berikan nama Zaid. Masa tu, pertama kali saya rasakan hisapan bayi yang masih newborn. Kuat masyaAllah tetapi tidak sakit. LDR (let down reflex) berkali-kali. Selepas menyusu pun terasa semakin penuh semula susu.

Kejadian lepas bengkak susu. Sesi kedua keluarkan susu, ada darah.

Alami bengkak susu

Pulang ke KL, saya pertama kali mengalami bengkak susu yang teramat perit dan hampir-hampir demam. Sudahlah malam tu hujan lebat dan sejuk sepanjang perjalanan setelah sekian lama KL Selangor tak hujan.

Setelah kami solat di RNR Sg.Buloh, saya marmet dalam kereta di tempat duduk belakang. Seksa tak tahu nak cakap sebab dah jadi batu pun. Saya buat urutan dan tahan sakit. Tetap juga marmet dan keluar dalam 4oz. Lega sedikit tetapi masih sakit.

Selepas 1 jam, kami sampai rumah, saya marmet lagi. Hampir 3oz susu saya berjaya keluarkan. Masa tu dah rasa nak demam. Saya keletihan dan decide nak rehat dan tidur. Nak bangun tengah malam memang tak terfikir dah sebab emosi pun tak berapa ok masa tu sebab dah tak sedap hati yang Zaid mungkin bukan rezeki kami.

Bangun pagi, bengkak susu kembali. Saya mandi bawah hot shower. Selepas tu susu menitik-nitik. Saya urut dan pam. Dan saya perasan, botol sebelah kiri, susu saya jadi warna pink macam susu strawberry. Terus saya panik. Tanya kawan, kemungkinan ada blocked duct dan ada tisu yang tercedera di dalam. Saya dinasihatkan untuk tuam dan marmet sahaja.

Sakitnya memang lain macam. 3 hari baru ok. Syukur tak demam. Saya dah risau takut kena mastitis ke apa kan.

Tak jadi ambil anak angkat

Kemudian, kami dapat berita keesokan hari tu, mak baby dah berubah hati. Tak nak berikan anaknya. Kami pasrah dan redha.

Nak cerita pasal down, memang panjang jadinya. huhu.

Disebabkan rasa sedih itu, saya mula jarakkan sesi marmet. Ubat pun dah kurang. Dan lama-lama berhenti sebab rasa nak give up. 2 hari saya berhenti makan ubat.

Selepas 2 hari tu, tiba-tiba datang angin kebangkitan. Saya doa pada Allah minta haluan jalan mana patut saya ikut. Berhenti atau teruskan.

Selepas itu, saya fikir, saya masih ada ubat, so saya bagi masa pada diri sendiri sambung balik usaha hasilkan susu hingga habis ubat then that’s it. Kalau ada baby, ada lah. Kalau tiada, saya redha. Yang penting, usaha sampai habis.

Allah ganti rezeki anak angkat lain

Tiba-tiba pada hari yang sama, saya dapat berita ada bayi nak diberikan kepada kami. Sebelum tu saya memang usaha tanya macam-macam tempat termasuk Kak Fynn Jamal. Siap dia call saya terus. Cuma bukan rezeki saya melalui Kak Fynn.

Saya dan suami terima tawaran baby tersebut walaupun kami masih dalam trauma.

Rupanya senang je nak dropkan susu. Dalam masa 3 hari je susu dah drop. Tapi nak naikkan balik ya rabbi azab. haha! Dalam masa 3 hari, production 9oz sehari, terus jatuh kepada 4oz sehari. Nak naikkan balik, makan masa berminggu juga.

Alhamdulillah kemudian Tasneem lahir pada 3 November, hari kedua saya menghadiri kursus Breastfeeding Peer Counselor di HWKKKL. Saya dapat berita pada 4 November. Kami ambil Tasneem pada 5 November (Selasa) dan terus susukan dia di surau di UTC masa nak buat surat beranak. Masa ni Tasneem jaundice.

Tasneem warded pada hari ke-6 sebab jaundice mencecah bacaan 300. Masa ni saya bawa frozen EBM dan saya marmet susu. Beri Tasneem guna cup. Nurse ada juga topup susu fm masa Tasneem baru masuk wad. Kira ada 2 kali Tasneem minum susu fm. Lepas tu saya beri susu badan saja. Esok tengahari tu dah boleh discaj alhamdulillah.

Rezeki Tasneem punya jaundice sampai prolonged. Buat segala test alhamdulillah semua normal. Doktor nasihatkan saya untuk terus beri susu badan. Hari ke-39, Tasneem dah tak perlu datang KK untuk check jaundice lagi sebab pattern menurun yang memberansangkan. Merdeka yeay!

Total susu yang saya dah hasilkan sehingga saya dapat Tasneem (Mei – Oktober) adalah lebih kurang 800oz.

Peningkatan susu saya seperti berikut:-

Mei – Mula IL
Jun – 1oz – 2oz sehari
Julai – 3oz – 5oz sehari
Ogos – 5oz – 8oz sehari
September – 8oz – 9oz sehari
Oktober – 9oz sehari.
November – Start journey BF secara direct feed

Antara rutin yang saya amalkan sepanjang IL

1. Ransangan pam dan marmet 5x-7x sehari. Sepatutnya 8x-12x sehari. Tapi saya memang susah bangun tengah malam untuk pam. Paling awal jam 5pagi. Jangan ikut saya okeh!

2. Saya amalkan minum air secukupnya. Untuk saya 3L sehari. Dahaga ketika IL memang luar biasa.

3. Saya makan apa saja saya suka asalkan berkhasiat. Kalau teringin apa-apa macam kek ke, saya makan saja asalkan dapat dan tidak berlebihan.

4. Saya HAPPYkan diri sentiasa. HAPPY IS THE BEST MILKBOOSTER.

5. Saya lebih suka marmet dari pam. Sebab marmet lebih powerful keluarkan susu dari pam. Saya guna pam selalunya pada waktu pagi dan untuk power pumping.

6. Saya berusaha bersama-sama geng ibu IL. Terima kasih kak Nor Liza dan geng IL Mommies yang lain!

7. Saya kelilingi diri saya dengan insan-insan yang positif dan jauhi perkara yang boleh mengundang stress.

Di bawah ini adalah antara gambar-gambar yang saya kongsikan di IG khas saya iaitu @arina.amin143 dimana saya simpan perjalanan IL saya dari awal hingga kini. Hanya wanita sahaja dibenarkan follow.

Kunci utama untuk menjayakan IL

1. Niat padu. Your BIG WHY.

2. Ilmu yang benar dan tepat dari ahli yang bertauliah.

3. Konsisten. Kalau malas, apa pun tak boleh berjaya.

4. GEMBIRA. Susu sangat cemerlang bila kita gembira, fikiran lapang dan hati senang.

5. Kreatif. Ada kekangan? Kreatifkan diri anda untuk cari solusi.

6. DEGIL. Sikap ni paling penting untuk berjaya. Bila ada sikap ni, halangan apa pun kita redah asalkan dapat apa yang kita targetkan.

7. Support system yang penuh kasih-sayang, awesome dan positif. Tak ada marah-marah perli-perli.

8. Doa.

9. Penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

10. Syukur yang sedikit, Allah akan tambahkan lagi nikmat {Ibrahim 14:7}

Niat teruskan penyusuan eksklusif

Dalam journey BF saya dengan Tasneem, adalah proses yang berbeza pula. Yang ini memang lebih banyak air mata yang tumpah dan saya hampir-hampir give up. Macam mana saya bangkit dan teruskan penyusuan? InsyaAllah saya kongsikan dalam penulisan seterusnya di masa akan datang.

Kenapa saya beriya nak susukan Tasneem secara eksklusif? Sebab dalam Tanyalah Ustaz ada beritahu susu badan adalah hak anak. Jadi, saya nak cuba usaha juga selagi bernyawa. InsyaAllah. Tak mudah, tetapi tidak mustahil juga.

Terima kasih suami ( Aqmal Anis ) kerana dialah sebab utama kejayaan saya IL dan BF ini. Sejak saya fokus kepada penghasilan susu, suami saya banyak ambil alih kerja rumah walaupun saya suri rumah. Beri saya makan, buat saya happy dan belanja macam-macam.

Terima kasih dan tahniah kerana berjaya membaca perkongsian ini hingga ke saat ini. Saya harap penulisan ini dapat membuka mata dan memberi harapan kepada ibu-ibu yang mengambil anak angkat dan memberi semangat kepada ibu-ibu menyusu.

Jika kalian berjumpa dengan ibu-ibu yang mengambil anak angkat, sampaikanlah kepada mereka, mereka boleh susukan anak dengan susu badan jika mereka mahu.

Doakan saya dapat meneruskan penyusuan susu badan untuk Tasneem secara eksklusif selama 6 bulan dahulu. Jika ada rezeki, insyaAllah hingga 2 tahun. Ameen!

Jika ibu-ibu IL yang membaca ini dan merasakan perlu bimbingan dan sokongan (kecuali hal berkaitan perubatan), boleh komen di bawah. Jika perlu, insyaAllah saya akan buka group di FB khas untuk membantu ibu IL.

Akhir kata, yang hebat itu Allah.
Usaha itu ibadah.
Hasil adalah kuasa Allah.

p/s: Sebarang soalan berkaitan dengan ubat, mohon jangan tanyakan di sini ya sebab saya bukan doktor.

Sumber: Arina Amin

Published by
Wan Amy