Apa sebenarnya bentan dari sudut sains? Elok diketahui punca-punca bentan ini supaya tidak terikut pantang larang karut.
Perkataan bentan selalu berlegar dalam masyarakat terutama sekali bagi wanita selepas bersalin dan kanak-kanak berkhatan. Penjelasan ini merungkai apa sebenarnya bentan dari sudut sains.
“Siapa suruh langgar pantang??! Kan dah BENTAN !!”
Bentan sering dikaitkan dengan wanita selepas bersalin. Bentan juga turut dikaitkan dengan kanak-kanak yang berkhatan. Dalam masyarakat Melayu, bentan dipercayai sebagai akibat melanggar pantang-larang selepas bersalin.
Antara contoh pantang-larang selepas bersalin ialah :
Berjalan dengan langkah yang kecil.
Berpantang dari beberapa jenis makanan seperti timun, buah-buahan dan sayuran yang dikatakan sejuk.
Ikat rambut tinggi-tinggi, tidur menggunakan tujuh bantal
Tidak keluar rumah selama 40 hari.
Ads
Apakah yang dimaksudkan dengan bentan?
Dari aspek perubatan, bentan adalah komplikasi akibat jangkitan kuman yang dialami selepas proses kelahiran bayi.
Antara gejalanya ialah : Demam, badan berasa lemah / seram sejuk, pening, loya, sakit sendi, tumpah darah, keluar cecair berbau busuk dari faraj, sakit pada bahagian peranakan, sakit pada bahagian luka kelahiran dan jantung yang berdegup kencang.
Terdapat pelbagai sumber jangkitan yang boleh berlaku pada wanita semasa proses berpantang:
1) Jangkitan pada luka tempat kelahiran
Ia boleh berlaku pada luka bahagian faraj jika pembedahan secara normal atau menggunakan vacuum atau forceps. Jangkitan juga boleh berlaku pada luka pembedahan bagi kelahiran secara Caesarean.
2) Jangkitan pada payudara (mastitis)
Dalam masyarakat Melayu, ia lebih dikenali sebagai bengkak susu. Ia boleh terjadi akibat saluran susu yang tersumbat atau rekahan pada puting buah dada yang tidak dirawat.
Ads
3) Jangkitan pada salur peranakan.
Ia boleh berlaku jika terdapat sisa daripada proses kelahiran (product of conception) yang tertinggal dalam saluran peranakan contohnya bahagian daripada uri. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit perut, sakit pada ari-ari dan menyebabkan tumpah darah.
4) Jangkitan pada saluran kencing.
Ini boleh berlaku jika wanita tersebut kurang minum air semasa berpantang. Pengambilan air yang cukup adalah penting untuk proses pelawasan kencing.
Mengikut pantang-larang orang-orang lama, wanita berpantang perlu menghadkan pengambilan air bagi mengelakkan muka menjadi sembap atau kaki bengkak. Tetapi, perlu diingatkan di sini, jika terdapat simptom muka, badan atau kaki menjadi sembap, wanita tersebut perlu diperiksa untuk penyakit darah tinggi. Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan sawan atau stroke.
Ads
Selain itu, jangkitan pada saluran kencing boleh berlaku jika penjagaan kebersihan faraj diabaikan. Faraj perlu kerap dibersihkan dan kerap menukar tuala wanita.
5) Jangkitan salur pernafasan
Ini boleh berlaku sebagai komplikasi dari prosedur bius (anaesthesia) semasa pembedahan Caesarean. Antara simptomnya ialah batuk, sesak nafas, pernafasan kencang atau sakit dada.
6) Sebab-sebab lain yang tidak berkaitan dengan kelahiran
Jangkitan juga boleh berlaku pada bahagian tubuh yang lain, yang tidak terlibat semasa proses kelahiran. Contohnya akibat gusi bengkak, jangkitan dalam telinga dan cengkam kuku yang bernanah.
Sebagai peringatan utama , bentan adalah salah satu cara tubuh berkomunikasi untuk meminta bantuan dan rawatan . Ia tidak perlu diabaikan atau hanya dipandang mudah sebagai “akibat melanggar pantang”. Dapatkan rawatan dari klinik dan hospital berhampiran dengan segera!
Anak pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam yang baru dilahirkan empat hari lalu ditahan di wad. Para peminat memberikan sokongan dan mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan.
Rebecca yang berkongsi posting berupa gambar dan video anak kelimanya menggenggam tangan beliau dan enggan melepaskan.
Beliau juga berkongsi di IG story susu perahan yang dibekalkan kepada bayinya.
SOKONGAN DAN DOA DARI SAHABAT & PEMINAT
Para sahabat dan peminat mendoakan agar dipermudahkan urusan beliau dan kesembuhan bayinya. Ramai yang turut berkongsi cerita dan semangat kepada beliau.
Sejak turun temurun lagi orang dulu-dulu sangat menitikberatkan amalan berpantang termasuklah makanan ketika berpantang. Sehingga kini amalan ini masih diteruskan, namun ada sesetengah individu merasakan tiada masalah untuk tidak berpantang dalam pemakanan.
Sejauh manakah berpantang makanan perlu untuk anda? Ikuti perkongsian daripada Dr Fatimah Salim, Makmal Makanan (MaMa).
LAKSA & KUETIAW PANTANG?
Merujuk kepada ss pertanyaan ahli MaMa mengenai memakan laksa yang digantikan dengan mee kue tiaw oleh ibu dalam pantang lepas bersalin.
Isu makanan untuk orang ‘pantang selepas bersalin’ ini sebenarnya sangat sensetif. Boleh buat gaduh kalau masing-masing menegakkan pandangan. Dalam masyarat Melayu, ada dua jenis komen yang biasa kita jumpa iaitu
“ko makanlah, nanti esok-esok ko dah tua baru menyesal”.
atau
“ikut badan masing-masing. Saya makan setakat ni okay je walaupun baru dua hari lepas pantang.”
Umumnya untuk individu yang berubah proses kimia badannya seperti ibu yang baru lepas bersalin, kesesuain apa juga jenis makanan adalah bergantung kepada tahap penerimaan badan individu. TIADA makanan yang patut dielakkan. Selagi tidak membawa mudarat, boleh dimakan dan ini termasuklah kuah laksa tidak kira mi-nya adalah laksa, kuetiaw, mihun atau nasi. Ini kerana bahan asas kepada kesemua mi ini adalah kanji yang berasal daripada tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi.
Mari teruskan baca rungkaian saya mengenai kaitan makanan dengan ‘angin’ dalam pantang yang sering diutarakan.
Baiklah.
Kanji terdiri daripada rantaian polimer karbohidrat kompleks iaitu amylose dan amylopectin. Struktur molekul amylose agak PADAT kerana ianya terbentuk daripada rantaian mendatar molekul-molekul kecil glukosa (aka gula) dan setiap rantaian ini terikat antara satu sama lain secara helix melalui ikatan hydrogen (bayangkan tali yang dipintal).
Manakala struktur molekul amylopectin pula agak LONGGAR kerana rantaian molekul-molekul glukosanya ada yang bercabang. Maka, struktur helix yang terbentuk antara rantaiannya akan lebih longgar daripada amylose. Perbezaan pada struktur kedua molekul kanji ini menyebabkan amylopectin lebih mudah larut dalam air jika dibandingkan dengan amylose. Pun begitu, pengecaian (disintegration) molekul-molekul glukosa pada struktur amylose dan amylopectin adalah unik dan berlaku bergantung kepada suhu.
Semakin tinggi suhu, semakan longgar ikatan hidrogen dalam struktur helix molekul amylose dan amylopectin. Ini akan memudahkan molekul-molekul air menyusup masuk membentuk ikatan hidrogen antara rantaian molekul-molekul glukosa tadi. Keadaan ini akan menyebabkan kanji mengembang membentuk gelatin atau dikenali sebagai proses pengelatinan kanji.
Tekstur gelatin yang diperolehi adalah bergantung kepada jumlah kanji jenis amylose dan amylopectin yang wujud dalam formulasi mi. Jika amylose yang akan banyak, tekstur gelatin akan lebih lembut dan legap. Manakala jika amylopectin yang banyak, tekstur mi akan lebih kembang dan likat. Proses pengelatinan ini penting untuk melemahkan ikatan hidrogen antara rantaian molekul glukosa pada kedua struktur kanji. Ini akan memudahkan enzim dalam sistem penghadaman menguraikan kedua kanji ini kepada molekul kecil glukosa agar mudah diserap ke oleh usus kecil ke dalam badan.
Pun begitu, proses pembuatan mi yang mana dimasak dan disejukkan semula juga mempengaruhi struktur molekul amylose dan amylopectin yang mana akan mengalami proses penyusunan semula struktur rantaian helixnya menjadi lebih padat daripada struktur yang asal. Proses ini dikenali dengan retrogradation. Ini akan menukarkan sifat kedua kanji ini kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk diurai oleh enzim pencernaan.
Maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh beribu jenis bakteria yang terdapat dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas-gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.
Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’. Harus diingat ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada dalam badan. Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain.
Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’.
Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (Self-healing). Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.
Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut. Ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin. Ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semulajadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.
Terdapat juga individu yang TIDAK mengalami masalah ‘angin’ ini disebabkan mereka memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus besar yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.
Kenapa waktu pantang (lepas bersalin) biasanya menjadi penekanan untuk penjagaan makan dan minum?
Sebenarnya tahap kesihatan wanita lepas bersalin adalah bergantung kepada perubahan kimia dalam badan atau lebih dikenali dengan perubahan physiology bagi mengadaptasi kandungan dan kelahiran baby. Dan hal ini adalah normal.
Sehingga hari ini, tiada siapa yang betul-betul pasti sepenuhnya kenapa sesetengah individu mengalami alahan yang teruk dan sesetengah orang tidak semasa mengandung. Namun, teori yang paling popular dikaitkan ialah dengan tindakbalas badan individu terhadap bahan kimia (hormon) yang dihasilkan semasa mengandung iaitu human chorionic gonadotropin (hCG).
Selepas bersalin juga, bahan-bahan kimia (seperti hormon) dalam badan tidak berada di dalam keseimbangan kerana “proses pemulihan” yang diutamakan, penyesuaian fungsi badan selepas melahirkan (physiological changes after giving birth) atau mungkin juga disebabkan oleh berlakunya tindakbalas disebabkan ketercampuran darah anak ke dalam darah ibu yang tidak sama jenis (maternal-fetal transfusion reaction) semasa proses kelahiran. Dan adaptasi perubahan badan juga bergantung kepada genetik, keaktifan badan dan peningkatan usia.
Disebabkan ini, badan MUNGKIN menjadi lebih sensitif terhadap makanan atau minuman, seterusnya membawa kepada komplikasi lain. Maka, usahlah memperlekehkan jika terdapat individu yang bertegas dengan amalan pantang mereka (baca: TIDAK KERTERLALUAN). Namun, tidak semua orang akan mengalami masalah yang sama kerana sistem badan setiap individu adalah berbeza.
Disamping itu, kesan placebo juga mungkin berlaku kepada mereka yang baru bersalin ini. Kesan placebo ialah keadaan di mana bahan kimia sedia ada otak menjalankan peranan mengikut apa yang kita fikirkan. Contohnya bilamana makanan atau minuman itu telah lama ‘dimomokkan’ boleh menyebabkan ‘angin’ semasa pantang, bilamana kita percaya, maka bahan kimia badan akan bertindak mengikut kepercayaan ini, dan mencetuskan kesan ‘angin’ itu. Orang Putih cakap “you are what you think.” Orang Sabah bilang “dari kau saja tu.” Maka, fikir yang baik-baik saja. Usah menurut tanpa asas.
Saya secara peribadi, pernah berpengalaman dengan ‘angin’ dari kanji ini selepas sebulan bersalin anak ke-2. Setelah meneliti pengambilan makanan dalam tempoh berkenaan, penyebabnya ialah kuetiaw goreng masak sendiri. Pengalaman luar biasa seakan contraction bersalin membuatkan saya memahami ‘angin’ terperangkap dalam usus ini.
Pengalaman adik saya pula yang baru bersalin anak pertama di mana suhu sejuk daripada pendingin hawa menyebabkan dia demam, mengigil dan pengsan. Namun, setelah beberapa hari dia secara perlahan membiasakan diri dengan suhu rendah pendingin hawa, akhirnya badannya boleh beradaptasi. Kami sememangnya tidak mengamalkan cara pantang yang ketat, kami makan semua makanan sihat seperti biasa, namun kami berhati-hati dengan pengambilan makanan kami disebabkan mungkin genetiknya begitu. Kami biasanya cuba sedikit dulu, jika badan boleh terima, kami makan saja. Malahan air berais batu juga kami minum.
Suka diingatkan bahawa mempraktikkan amalan ‘pantang’ kena juga mempunyai ilmu dan pengalaman yang wajar. Janganlah mentidakkan semua jenis makanan kerana badan memerlukan nutrisi yang cukup sepanjang proses pemulihan. Pengambilan air kosong yang cukup juga sangat penting (baca: jangan catu air minuman). Fahami ‘bahasa’ tubuh anda dan teliti dalam pengambilan makanan dan minuman jika anda seorang yang mudah sakit atau mudah terkesan dengan makanan. Usah pukul rata.
NOTA: Mengamalkan ‘pantang’ ini tidak semestinya untuk wanita yang baru lepas bersalin saja. Mana-mana individu (termasuk lelaki juga) yang sakit dan perlu memulihkan badan perlu berpantang. Proses kimia badan kita berubah disebabkan banyak faktor termasuklah usia, sebab itu ada makanan yang kita boleh makan semasa muda namun apabila meningkat usia menjadi sensetif kepada badan. Maka, berpantanglah ikut keperluan ‘semasa’ badan.
Hidung berbau busuk dan kerap berdarah kena hati-hati kerana ia mungkin mengundang bahaya kepada hidung anda. Jika dibiarkan pesakita akan mengalami masalah hidung berterusan. Masalah ini sebenarnya dikenali sebagai ‘rhinolith’.
Dr Ezairy M.Sallih, Pakar Bedah Telinga, Hidung & Tekak, Surgeri Kepala & Leher, memaklumkan seorang pesakit berusia 23 tahun datang dengan aduan hidung kiri yang kerap berdarah dan berbau busuk.
Walaupun tidak menunjukkan tanda-tanda biasa resdung atau kanser, pemeriksaan lanjut mendapati sesuatu yang tidak disangka. Mari kita selami lebih dalam kisah ini dan fahami tentang penyakit yang mungkin ramai tahu iaitu rhinolith.
HIDUNG KERAP BERDARAH DAN BERBAU BUSUK
Menurut Dr Ezairy, pesakit berusia 23 tahun mengalami masalah hidung kiri yang kerap berdarah dan berbau busuk, meskipun telah mencuba pelbagai jenis ubat.
Walaupun tiada tanda-tanda resdung seperti bersin atau gatal hidung, dan leher tidak menunjukkan sebarang pembengkakan yang mungkin mencadangkan kanser, pesakit tersebut masih mengalami masalah hidung yang berterusan.
Pemeriksaan doktor menggunakan nasal endoscope mendapati hidung kiri pesakit hampir tertutup dengan kotoran hitam berbau. Setelah pembersihan dilakukan, doktor menemui sesuatu yang mengejutkan – pesakit tersebut disahkan menghidap penyakit rhinolith.
“Saya periksa hidung beliau. Saya gunakan nasal endoscope bersama skrin tv, hidung kirinya sudah hampir tertutup. Ada kotoran hitam berbau di situ. Perlahan-lahan saya bersihkan hidung beliau, sehingga saya menjumpai sesuatu yang tidak saya sangka.”
“Kawan-kawan.. jika anda ada tanda dan gejala seperti ini, anda mungkin bukan mengalami resdung, ia juga mungkin bukan disebabkan kanser. Tetapi ia mungkin sejenis penyakit dipanggil sebagai ‘rhinolith’.”
“Apa itu rhinolith? Rhinolith ini berlaku di dalam hidung apabila sesuatu objek atau apa-apa pun foreign body duduk lama dalam hidung akhirnya akan membentuk sebatian seperti batu rhinolith. Pesakit akan mengalami gejala hidung berbau, mengeluarkan cecair, sesetengah kes boleh mengakibatkan jangkitan!”
Doktor mengingatkan orang ramai yang mempunyai gejala serupa untuk tidak mengabaikan tanda-tanda tersebut kerana ia mungkin bukan resdung atau kanser, tetapi rhinolith.