Biasanya selagi stok ubat belum habis, ibu bapa akan gunakan semula jika waktu kecemasan. Persoalannya macam mana nak tahu ubat itu masih elok atau tak sebelum nak diberikan pada anak.

Jika diteliti pada botol memanglah tarikh luput lambat lagi tapi adakah ia masih boleh digunakan dengan selamat. Berikut adalah perkongsian Pegawai Farmasi, Fahmi Hassan untuk panduan semua ibu bapa.

BERAPA LAMA BOLEH SIMPAN UBAT?

Saya sering menerima soalan dari orang awam berkaitan berapa lama ubat-ubatan boleh disimpan di rumah. Soalan ini walaupun nampak mudah sebenarnya memerlukan kepada penjelasan yang terperinci kerana terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan tarikh luput sesuatu ubat-ubatan berubah.

Berapa Lama Ubat Yang Di Simpan Dalam Peti Sejuk Boleh Bagi Pada Anak? Ini Jawapannya

Secara amnya, ubat-ubatan di dalam BEKAS ASAL (sama ada blister tablet atau botol yang belum dibuka) akan berada di dalam kondisi yang baik sehingga tarikh luput ubat JIKA IA DISIMPAN MENGIKUT ATURAN YANG DITETAPKAN OLEH PENGILANG.

IKLAN

SEBAGAI PANDUAN UMUM, BERIKUT ADALAH CARA SIMPAN UBAT YANG BETUL

  1. Baca label pada bungkusan ubat dengan teliti.
  2. Sekiranya perlu disimpan pada suhu bilik, simpan di tempat yang redup dan kering (15-30 darjah selsius).
  3. Sekiranya perlu pada suhu 2-8 darjah selsius, simpan di dalam peti sejuk (bukan ruangan sejuk beku).
  4. Simpan di tempat yang tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak.
  5. Elakkan dari menyimpan ubat di tempat yang terdedah dengan sinaran matahari secara langsung.
  6. Jangan simpan ubat di dalam kereta.
  7. Asingkan ubat makan atau minum dengan ubat untuk kegunaan luaran.

BAGAIMANA PULA DENGAN UBAT YANG TELAH DIBUKA?

Ada sesetengah ubat yang mempunyai tarikh luput tersendiri selepas dibuka. Maklumat ini boleh diperolehi melalui label ubat-ubatan. Contohnya; terdapat ubat yang berlabel ‘discard 30 days after opening’ yang bermaksud buang selepas 30 hari botol dibuka. Bagi ubat-ubatan yang berlabel seperti ini, tarikh luput adalah jelas.

IKLAN

Berapa Lama Ubat Yang Di Simpan Dalam Peti Sejuk Boleh Bagi Pada Anak? Ini Jawapannya

Namun begitu terdapat banyak produk yang tidak menyatakan tempoh ketahanan setelah dibuka. Mengikut pengalaman saya sendiri, saya pernah menghubungi beberapa syarikat farmaseutikal mengenai jangkamasa ubat mereka boleh bertahan sekiranya botol asal telah dibuka (ubat cecair) atau ubat-ubatan dikeluarkan dari bekas asal.

Jawapan yang diterima adalah mereka tidak membuat kajian tentang perkara tersebut dan kestabilan produk selepas dibuka tidak dapat dipastikan.

IKLAN

Oleh itu, saya suka menasihatkan orang ramai supaya membuang baki ubat-ubatan terutamanya di dalam bentuk sirap yang telah dibuka. Jangan simpan ubat-ubatan tersebut di dalam peti sejuk dengan tanggapan ia akan tahan lebih lama sekiranya disimpan pada suhu rendah. Penyimpanan pada suhu dan keadaan yang tidak sesuai akan menyebabkan stabiliti ubat berubah.

Namun begitu, hasil carian saya, terdapat beberapa garis panduan berkaitan penyimpanan ubat yang digunapakai di peringkat antarabangsa. Kebanyakan garis panduan ini dihasilkan daripada kajian-kajian kecil dan bukannya kajian rasmi dari syarikat pengeluaran.

Satu garis panduan yang saya nampak agak jelas dan praktikal adalah yang dikeluarkan oleh National Health Services, United Kingdom. Ringkasan garis panduan tersebut adalah seperti yang tertera pada jadual dalam gambar.

PERKARA PENTING YANG PERLU DIAMBIL PERHATIAN

  1. Tarikh luput produk seperti yang tertulis pada label perlu dipatuhi terlebih dahulu.
  2. Cara simpanan ubat perlu mematuhi syarat yang ditetapkan bagi setiap jenis produk.
  3. Semak bau, warna, keadaan fizikal dan rasa ubat. Sekiranya telah berubah, buang ubat tersebut.
  4. Tulis tarikh ubat dibuka.

Saya ingin mengingatkan bahawa nasihat profesional dari saya selaku seorang pegawai farmasi adalah untuk tidak menyimpan baki dari ubat-ubatan terutama berbentuk sirap. Simpan ubat yang belum dibuka sekiranya perlu menyimpan bekalan ubat untuk kecemasan dirumah. Penulisan saya ini tidak mewakili praktis atau panduan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: Fahmi Hassan

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI