Berat Capai 6 Kilogram, Gigi Mula Keluar. Ainul Terus Membesar Dengan Sihat

Share

Tahun 2020 nampaknya terus memberi kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga Ainul Mardhiah apabila bayi kesayangan rakyat Malaysia ini telah menunjukkan perubahan yang baik sepanjang masa selepas berjaya dalam pembedahan tahun lalu.

Menurut Ahmad Safiuddin, dalam seminggu ini, gusi atas Ainul mulai bengkak. Mungkin nak tumbuh gigi lagi. Sebelum ini, katanya, dua giginya sudah tumbuh di bahagian bawah.

Berat dah capai 6 kilogram

Ahmad Safiuddin, 25, berkata perubahan itu dikesan kerana air liur di mulut anak perempuan kesayangannya itu kerap mengalir sehingga ada ketika menyebabkan Ainul Mardiah berasa tidak selesa.

Bagaimanapun, katanya, Ainul Mardhiah yang kini memiliki berat badan enam kilogram pada usianya 16 bulan tetap aktif dan lasak, serta memberi reaksi positif setiap kali namanya dipanggil.

“Setiap bulan, rutin kami sekeluarga adalah seperti biasa iaitu membuat pemeriksaan kesihatan berkala di Hospital Melaka untuk memantau perkembangan hasil pembedahan yang dilakukan di United Kingdom (UK), tahun lalu.

“Pemeriksaan ini termasuk menjalani Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Alhamdulillah selepas enam bulan pembedahan berlangsung, perkembangannya cukup baik.

“Kami bersyukur kerana doktor pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan turun ke Hospital Melaka setiap bulan, sekali gus memberi kesempatan untuk turut memantau perkembangan Ainul yang masih tetap memakai oksigen,” katanya ketika dihubungi BH.

Ditanya bagaimana sambutan dan perhatian diterima Ainul Mardhiah terutama ketika berada di hospital, Ahmad Safiuddin berkata, sebagai ‘bayi kesayangan rakyat Malaysia’ Ainul Mardhiah memang mengundang perhatian umum yang ingin melihat perkembangannya serta untuk merakamkan gambar.

Buat rawatan fisioterapi secara intensif

Katanya, dalam keadaan sekarang perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah cukup baik dan perlu dipantau secara menyeluruh dalam tempoh enam bulan lagi.

“Setiap Khamis, kami juga menjemput juru fisioterapi untuk datang ke rumah bagi membolehkan Ainul menjalani rawatan secara intensif untuk proses tumbesarannya.

“Dalam keadaan sekarang pun, dia memang cukup aktif dan akan menggapai apa sahaja termasuk wayar yang ada di badannya,” katanya tergelak.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, UK pada 10 Jun tahun lalu.

Bayi itu pernah menjalani MRI di hospital terbabit sebelum pembedahan berkenaan.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Sumber: Berita Harian; ig Ahmad Safiuddin & Nurul Erwani

Published by
Wan Amy