Tak dinafikan kenaikan berat badan ketika hamil amat diperlukan. Pun begitu bukanlah dengan kadar melampau atau mendadak sehingga mengundang obesiti.
Kajian mendapati bahawa wanita yang reproduktif terdiri daripada 32% golongan wanita obesiti dan 56% wanita mengalami kegemukan melampau (overweight).
Menurut Dr Mashita Mohamed Kassim, Pakar Sakit Puan (Consultant Obstetric & Gynaecologist (O&G) daripada Hospital Islam Az-Zahrah, Bangi, berat badan yang berlebihan semasa kehamilan dikenalpasti sebagai faktor risiko pelbagai penyakit yang serius semasa dan selepas kehamilan dalam menjalani kursus kehidupan ibu.
Organogenesis berlaku pada awal trimester pertama sebelum ramai wanita mengetahui kehamilannya. Oleh itu, wanita yang mungkin hamil atau yang cuba hamil perlu mengoptimumkan status pemakanan dan metabolik sebelum hamil.
BMI sepatutnya dikira pada perjumpaan pertama antenatal. Jika BMI anda adalah 30kg/m2 atau lebih, kakitangan kesihatan akan memberikan maklumat mengenai risiko yang bakal anda hadapi ketika proses kehamilan dan cara-cara untuk meminimakan risiko-risiko tersebut, dan penjagaan tambahan yang anda perlukan. Berat badan yang berlebihan dengan indeks jisim badan (BMI) yang tinggi membuatkan anda lebih berkemungkinan mengalami beberapa komplikasi.
Berat Normal Ibu Mengandung Yang Ideal
Secara umumnya, boleh ikuti jadual di bawah ini tentang berat normal ibu mengandung sebagai panduan:
Berat sebelum mengandung Berat tambahan yang disyorkan ketika mengandung
Berat yang kurang (BMI di bawah 18.5) 13 – 18kg
Berat normal (BMI 18.5-24.9) 11 – 16kg
Berat yang berlebihan (BMI 25-29.9) 7 – 11kg
Obes (BMI atas 30) 5 – 9kg
Berat badan ibu hamil mengikut trimester.
1. Trimester pertama
Semasa trimester pertama, kebanyakan ibu hamil tidak perlu untuk naikkan berat yang tinggi. Memandangkan ramai ibu hamil mengalami mabuk hamil pada ketika ini, jadi kenaikan berat badan tidaklah perlu dipersoalkan. Bagi tempoh ini, wanita hamil tidak lalu makan, jadi tidak perlu memaksa diri sendiri untuk tambahkan berat badan. Anda hanya perlu menambah di sekitar 2kg semasa trimester pertama ini.
2. Trimester kedua dan ketiga
Apa yang penting ialah penambahan berat badan yang berterusan dan konsisten pada trimester kedua dan ketiga. Setiap bulan anda perlu menambah lebih kurang 1.5kg sehinggalah sampai waktu untuk melahirkan anak.
Risiko kehamilan
Risiko Kepada Ibu
• Keguguran secara berulang (recurrent miscarriages)
• Diabetes semasa mengandung (gestational diabetes)
• Praeklampsia iaitu tekanan darah tinggi semasa mengandung yang merbahaya dan boleh mengakibatkan sawan, strok dan kegagalan organ-organ lain.
• Venous thromboembolism iaitu darah beku pada salur darah yang boleh mengakibatkan kegagalan fungsi pernafasan dan membawa maut
• Kelahiran secara induksi.
• Kelahiran secara pembedahan Caesarean.
• Komplikasi bius.
• Jangkitan pada luka pembedahan caesarean atau episiotomi.
• Kesukaran memulakan penyusuan susu ibu.
Risiko Kepada Bayi
• Stillbirth atau bayi meninggal dalam kandungan.
• Kecacatan kongenital seperti spina bifida dan jantung berlubang
• Kelahiran secara pramatang.
• Macrosomia iaitu bayi bersaiz besar.
• Kematian neonatal.
• Risiko bayi menjadi kanak-kanak obes dan mendapat penyakit metabolik.