Pelakon Abby Abadi memberitahu bahawa bayi lelakinya, Muhammad Danial Firman Faizal yang lahir pramatang masih lagi berada dalam zon kritikal.
Begitupun, Abby, 42, berkata, bayi lelakinya itu menunjukkan progres yang baik apabila dilaporkan sudah mula menunjukkan kenaikan berat badan.
View this post on InstagramA post shared by Mencari redha ALLAH (@abby_abadi112) on
“Beratnya makin naik. 924 gram dah. Minum susu mama pun okay. Alhamdulillah.
“Masih dalam inkubator, masih bernafas menggunakan bantuan mesin. Panjang lagi perjalanannya,” katanya menerusi satu entri yang dikongsikan di Instagram.
Jelas Abby lagi, doktor juga memberitahu, sebarang kemungkinan juga boleh terjadi memandangkan bayinya lahir ketika usia kandungan belum cukup bulan.
“Jumpa doktor pakar baru-baru ni, katanya, baby Danial lahir dalam keadaan yg belum bersedia, jadi dalam usianya yg baru 56 hari, berbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Setelah usaha, hanya doa yang dapat mengubah nasib baby Danial saya. Tawakal hanya pada Allah. Saya dan suami yakin babu Danial saya kuat dan akan balik rumah kurang dua bulan lagi. Insya-Allah,” tulisnya.
Pelakon yang popular dengan drama Gerak Khas itu selamat melahirkan bayi lelaki pada 27 September lalu.
Bagaimanapun bayi tersebut lahir pramatang dengan berat 535 gram sahaja ketika usianya baru enam bulan di dalam kandungan.
Sebelum ini, Abby pernah mengalami keguguran pada 2017 sewaktu usia kandungannya mencecah lima bulan.
Abby mendirikan rumah tangga dengan Faizal Zakaria pada Ogos 2015.
Hasil perkahwinan pertamanya dengan aktor Norman Hakim, Abby dikurniakan tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.
Sumber: ig Abby Abadi & Gempak
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Depresi Yang Awak Alami Takkan Gugat Sayang Kita. Selagi Boleh Saya Bantu.”
Depresi bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Lebih-lebih lagi jika dialami tanpa kita sedari. Penyakit depresi atau kemurungan ini makin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor.
Mungkin ramai juga yang mengganggap bahawa depresi itu sememangnya sama sahaja dengan stress. Tidak sama sekali.
Penyakit ini merupakan penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang hingga menganggu rutin harian.
Perkongsian dari seorang suami, Najmi Nawawi mengenai masalah depresi yang dialami isterinya sehingga sanggup mencederakan diri dan orang serta caranya untuk bantu isteri benar-benar boleh dijadikan panduan bersama.
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Mula fasa ujian
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Isteri meraung, menjerit, pecah pintu bilik dan cuba tikam
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa daddy and mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
#isterikudepresi
Sumber: Najmi Nawawi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pasca Jangkitan Covid-19, Sampai Bila Nak Hilang? Ini Penjelasan Doktor
Pasca jangkitan Covid-19 bukan biasa-biasa. Ramai yang telah sembuh virus ini mengakui kesan pasca jangkitan lebih dahsyat daripada simptom awalnya.
Walaupun rata-rata yang dijangkiti varian Omicron mengalami gejala-gejala ringan dan sederhana dan sembuh tanpa rawatan khusus, tetapi ramai juga yang mengadu mengalami pelbagai gejala lain seperti batuk, sakit tekak dan sukar bernafas selepas sembuh.
Menurut Dr. Mohd Shaiful Ehsan seperti dikongsi dalam The Malaysian Medical Gazette, negara kita sememangnya masih dibebani dengan pandemik COVID-19.
Meskipun kebanyakan pesakit mengalami gejala-gejala ringan dan sederhana, dan sembuh tanpa rawatan khusus, namun tidak semua pesakit sembuh sepenuhya dalam tempoh yang sama.
Ini lebih ketara bagi pesakit yang mengalami jangkitan COVID-19 yang teruk seperti kegagalan fungsi organ dan memerlukan rawatan rapi di hospital. Kajian menunjukkan pesakit masih mengalami pelbagai gejala setelah jangkitan akut yang teruk.
Gejala selepas pasca jangkitan COVID-19
Secara umumnya, sebahagian besar pesakit pasca jangkitan COVID-19 akan mengalami beberapa gejala ringan mahupun ada yang terus bebas dari sebarang gejala. Gejala tersebut ada kalanya tidak khusus dan mungkin juga tidak berkaitan dengan gejala asal COVID-19. Ianya juga boleh berubah-ubah mengikut masa.
Antara gejala-gejala pasca jangkitan yang boleh terjadi termasuklah: bunyi desing di telinga, sakit telinga, sakit tekak, kurang deria rasa atau bau, sesak nafas, batuk – batuk, dada sempit, sakit dada, berdebar – debar, sakit perut, loya, cirit birit, kurang selera makan, keletihan, demam, sakit-sakit badan, sakit sendi, ruam-ruam kulit, sakit kepala, pening kepala, gangguan tidur, kemurungan mahupun merasa cemas.
Gejala-gejala ini boleh berterusan selama tiga sehingga enam bulan selepas jangkitan akut COVID-19. Ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada pihak pesakit mahupun pihak warga kesihatan dalam menilai gejala-gejala ini samada merupakan penyakit yang lain atau pun merupakan kesan lama dari jangkitan COVID-19. Namun begitu, kebanyakan gejala selepas pasca jangkitan COVID-19 ini hadir dalam sekumpulan gejala dan bukannya satu gejala semata-mata.
Apa yang perlu dilakukan?
Pemantauan berkala oleh pihak kesihatan terhadap pesakit pasca COVID-19 ini sangat penting untuk menilai gejala pesakit ini secara menyeluruh. Matlamat utama pemantauan ini adalah untuk mengenalpasti sekiranya berulang kembali jangkitan COVID-19 dan menjalankan ujian COVID-19 sekiranya perlu.
Untuk pesakit yang tidak memenuhi kriteria jangkitan semula COVID-19 dan tidak disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lain melalui penilaian menyeluruh, rawatan simptomatik boleh diberikan untuk mengawal gejala yang ada. Pesakit juga boleh melakukan pemantauan kendiri di rumah.
Pesakit ini seperti juga pesakit yang lain, perlu dirujuk segera ke hospital jika mengalami sebarang tanda-tanda berbahaya seperti sukar bernafas, kurang kandungan oksigen dalam badan, sakit dada yang tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, sebarang gejala saraf dan apa jua kecelaruan kognitif pemikiran.
Pesakit ini juga sekiranya mengalami sebarang komplikasi juga perlu dirujuk untuk dirawat dengan segera oleh jabatan berkaitan.
Secara umumnya, tiada jangkaan jelas berkenaan sejauh mana jangkitan COVID-19 akan memberi kesan dalam jangka masa panjang kepada pesakit, termasuklah ketika pasca jangkitan.
Walau bagaimanapun, kebarangkalian gejala berterusan selepas jangkitan COVID-19 ini boleh berlaku di mana pemantauan kendiri, pemakaian pelitup muka, mengelakkan kawasan sesak, penjagaan kebersihan dan pengambilan vaksin perlulah diutamakan.
Persoalan tentang komplikasi popular waktu mengandung dan baby baru lahir akan dihuraikan oleh Pakar Perunding O&G, Dr Maiza Tusimin dan Pakar Pediatrik, Dr Hairin Anisa dalam Talk To Doctor Bersama Moms To BeDaftar di SINI
Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Pengalaman Luar Biasa, Hebatnya Kuasa Doa” Hampir Dibedah, Yatt Hamzah Bersalin Anak Lelaki Secara Normal!
Akhirnya selepas beberapa hari berada di wad untuk melahirkan bayi keenamnya, Yatt Hamzah selamat melahirkan bayi lelaki pertamanya pada Sabtu lalu.
Berkongsi cerita mengenai kelahiran anak keenamnya, Yatt terpaksa dikejar ke hospital dan di induce bagi memudahkan kelahirannya gara-gara air ketubannya yang semakin berkurang.
Hampir tiga hari berada di wad, akhirnya pada Sabtu lalu, Yatt selamat melahirkan bayi lelaki pertamanya. Menariknya kata Yatt, dia hampir-hampir terpaksa di bedah namun doanya tak pernah putus pada Allah dan dia bersyukur dapat bersalin secara normal.
“Jam 11 malam semalam hampir-hampir masuk ke OT untuk dibedah (caesarean), dengan kuasa YG MAHA BESAR, pada saat-saat akhir, dapat juga melahirkan secara normal genap jam 11.16 malam, 3 July 2021 (Sabtu), setelah hampir 3 hari di wad. Pengalaman yang luar biasa, hebatnya kuasa doa. Allahuakhbar,” kongsi Yatt menerusi Instagramnya.
Malah kata Yatt lagi, dia amat bersyukur kerana akhirnya Allah mengurniakannya rezeki untuk punya anak lelaki.
“Alhamdulillah Bonda ini telah selamat melahirkan anak ke 6 (1 di Syurga), inilah anak lelaki pertama Bonda.
“Satu-satunya anak lelaki. Terima kasih semua keluarga, sahabat-sahabat dan followers Bonda yang baik hati telah mendoakan keselamatan baby dan Bonda. Allah sahaja yang tahu betapa bersyukur dan leganya hati ini.
Paling utama doa suami @zulfadhli_khiruddin.
Genap 1 hari usia Baby Boy Bonda ni pada jam 11.16 malam ini. Alhamdulillah.. Syukur Alhamdulillah. Doakan juga Baby terus sihat dan jadi anak yang Soleh, Pejuang Agama.
In shaa Allah nanti Bonda akan share perjalanan di Labour Room dan betapa besarnya KUASA DOA. Tapi sekarang Bonda dan baby nak rehat dulu ya.
SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH ALLAHUAKBAR,” tulis Yatt.
Satu perjalanan kelahiran yang cukup indah. Dan tahniah juga kepada Yatt dan suami atas kelahiran bayi keenam yang cukup bermakna.
Terdahulu, Yatt mendirikan rumah tangga bersama juruvideo, Mohammad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016. Pasangan ini dikurniakan dengan empat orang cahaya mata, Suci Humaira Iqima, Suci Hayfa Medina, Suci Hawa Zulaikha serta seorang bayi lelaki.
Melalui perkahwinan terdahulunya, Yatt turut mempunyai seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @yatthamzah_suci
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI