Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 39, dikurniakan anak kembar perempuan beberapa hari lalu.
Menerusi laporan Harian Metro, dia bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan rezeki walaupun dirinya dan isteri tidak mempunyai sejarah kembar.
Isterinya, Natalia Mustafa Kamal selamat melahirkan bayi seberat 3.15 kilogram (kg) dan 2.7 kg di sebuah pusat perubatan di Damansara.
Bayi pertama dilahirkan pada jam 1.33 petang dan bayi kedua jam 1.34 petang.
Tiada Keturunan Kembar
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abd Jamil berkata, itu adalah rezeki dan kurniaan Allah SWT walaupun dia dan isteri termasuk keluarga tidak mempunyai sejarah kembar.
“Dalam keluarga kami memang tidak ada kembar. Kembar kami adalah yang pertama dan saya anggap rezeki yang tidak terhingga. Alhamdulillah, Allah berikan dua terus selepas tujuh tahun menanti kelahiran anak kedua. Ramai cakap kami menggunakan teknik IVF, tapi tidak. Ini kehamilan secara semula jadi,” katanya.
Zed yang juga pelakon berkata, sepanjang kehamilan isteri, dia menjaga rapi termasuk pemakanan dan pengambilan ubat bagi mengelak sebarang komplikasi.
Pada masa sama, Zed juga menasihati isterinya untuk tidak berkongsi perkara itu di laman sosial sehinggalah dia selamat bersalin.
“Ketika pemeriksaan awal di klinik, doktor tak cakap pun kembar. Mungkin sebab yang lagi satu tidak dapat dikesan. Selepas usia kandungan tiga bulan, kami ke hospital pula.
“Terkejut apabila diberitahu berlaku pendarahan kecil yang memungkinkan seorang lagi bayi lagi tidak boleh bertahan. Saya bertanya maksud ‘lagi seorang’ dan doktor beritahu isteri hamil bayi kembar.
“Waktu itu memang teruja dan sangat gembira. Saya menjaganya dengan baik termasuk pemakanan dan pengambilan ubat yang disyorkan doktor. Saya juga tak bagi isteri muat naik di Instagram dan biar sampai jadi. Ini bagi mengelakkan kecewa jika berlaku sebaliknya.
“Alhamdulillah, sepanjang kehamilan isteri dan bayi dalam kandungan sihat hinggalah selamat dilahirkan semalam,” katanya.
Zed berkata, dia juga menemani isteri dari awal hingga selesai proses pembedahan.
Zed dan Natalia mendirikan rumah tangga pada 29 April 2011 dan dikurniakan anak lelaki, Ryan Ziqry yang kini berusia tujuh tahun.
Sumber: Metro