Berbengkung memberikan banyak manfaat kepada ibu selepas bersalin. Ibu-ibu jangan mengelat rutin ini semasa berpantang!

Rutin berpantang berbengkung yang juga dikenali sebagai berbarut ini dilakukan oleh wanita sejak berzaman kerana terbukti memberikan banyak manfaat kepada wanita selepas bersalin.

Menurut juruterapi berpengalaman Noraziati Ahmad dari Urban Women Spa, wanita tidak sepatutnya mengabaikan rutin berpantang selepas bersalin. Kini banyak jenis bengkung terdapat di pasaran dan tidak menjadi alasan untuk melengah-lengahkannya. Pilihlah yang mana sesuai dengan rutin berpantang dan praktikaliti kepada anda.

IKLAN

Lebih labuh kain bengkung maka lebih baik kerana jika lebih panjang ia akan membantu meliputi daripada bahagian bawah payudara sehingga ke paha untuk kesan yang lebih optimum.

BILA BOLEH MULA BERBENGKUNG?
Berbengkung bagi wanita selepas bersalin normal dilakukan tiga hari selepas bersalin. Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean pula, bolehlah mula memakai bengkung bertali dua minggu selepas bersalin tetapi dilonggarkan pada bahagian atas parut bedah.

IKLAN

Bagaimana pun semasa ibu ketika di dalam wad selepas bersalin sudah boleh mula memakai bengkung lembut berpelekat sebagai langkah awal mengelakkan perut menggeleber dan ibu lebih selesa.

IKLAN

Menurut Noraziati, dalam rutin berpantang harian, berbengkung dilakukan selepas selesai mandi herba, berurut dan bertungku. Selepas berbengkung, lazimnya ibu akan diberikan jamu kencur untuk pemulihan dalaman.

11 MANFAAT BERBENGKUNG
1. Bengkung mengampu bahagian perut. Ibu rasa lebih selesa untuk bergerak selepas bersalin terutama sekali semasa di hospital.
2. Lazimnya wanita selepas bersalin perutnya tidak segera mengempis. Berbengkung mengelakkan perut menggeleber dan lama-kelamaan akan mengempiskan. Jika diamalkan dengan disiplin pemakanan yang sihat, ibu boleh mendapatkan bentuk badan yang ramping dan perut kempis.
3. Mengelakkan perut ibu dimasuki angin. Angin ini jika tidak dibendung dipercayai boleh menyebabkan meroyan.
4. Menggalakkan pengecutan rahim.
5. Memecahkan lemak.
6. Meletakkan kembali batu merian pada tempatnya iaitu di antara pusat dan ari-ari.
7. Menggalakkan pengeluaran darah nifas terutama sekali darah yang berketul.
8. Memudarkan parut regangan pada perut (jika dipakai bersama dengan herba barut).
9. Merapatkan kembali tulang rusuk dan pelvis yang mengembang semasa hamil.
10. Membantu ibu memperbaiki postur badan.
11. Dipercayai boleh mengelakkan sakit belakang kepada ibu dalam jangka masa panjang.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI