Ada sesetengah ibu yang memulakan penyusuan sebelum ini dan lepas dari tempoh dua tahun mula berkira-kira untuk mula nak bercerai susu (wean off) dengan anak.
Bagaimanapun ibu-ibu kena faham tentang satu perkara. Penyusuan susu ibu, berjaya dalam penyusuan penuh atau bercerai susu – semua ini adalah satu proses yang panjang. Bukan perkara yang boleh terus jadi atau berjaya dalam sehari dua sahaja.
Perlu ingat penyusuan susu ibu adalah satu perjalanan yang sangat indah antara ibu dan anak. Sayang sekali sekiranya ia diakhiri dengan cara yang traumatis begitu bagi anak kecil.
Saya pasti kita juga tidak suka jika sesuatu yang kita sukakan dirampas dengan sekelip mata dan secara traumatis. Pasti jika boleh, kita akan meminta waktu untuk menerima hal tersebut secara perlahan-lahan supaya dapat membiasakan diri. Begitu juga dengan si kecil. Hormatilah perasaan dan jiwa manja mereka. Jangan diakhiri sesuatu yang indah bagi mereka dengan cara begitu.
Cerai susu atau “wean off” adalah satu proses. Ia boleh jadi satu proses yang cepat atau memakan masa berbulan-bulan.
Apabila ibu memutuskan untuk bercerai susu atau wean off, jangan sesekali sengaja menawarkan si kecil untuk menyusu tanpa diminta.
Jika si kecil tak ingat, ibu pun terus saja leka kan dia lagi. Ingat, ini adalah langkah pertama yang paling penting!
Alihkan perhatian anak sehingga mereka lupa seketika dengan permintaan mereka tadi.
Ingat! Bercerai susu merupakan satu proses yang mengambil masa. Jadi, dengan mengalihkan perhatian atau lengahkan penyusuan, mungkin dari 10 kali penyusuan akan berkurang ke 8 kali. Kemudian turun lagi ke 6 kali sahaja dan seterusnya sehingga anak dapat bercerai susu.
Ibu juga tak boleh kalau anak tak menyusu langsung secara tiba-tiba. Nanti boleh terjadi bengkak payudara pula.
Apabila waktu malam pula, yang selalunya si kecil akan mula nak ‘mengempeng’ untuk menyusu, ibu boleh cuba buat “time out” atau hadkan masa penyusuan anak.
Contohnya, kata pada si kecik “Adik boleh menyusu tapi untuk 5 minit saja ya. Lepas 5 minit kita berhenti menyusu, okay? Kalau adik okay, baru ibu bagi…”
Dan bila nak dekat dengan 5 minit tu.. kata pada anak, “Okay, ibu kira sampai 20 lepas tu kita berhenti menyusu ya. Ibu tarik perlahan-lahan dari adik ya. Adik tak boleh marah ibu tau. Adik kan dah janji tadi.”
Mungkin kali pertama tidak berjaya. Tidak mengapa. Teruskan mencuba lagi sehingga berjaya.
Pada bila-bila masa sahaja, samada waktu makan, waktu bermain, waktu lengang bersama-sama, cuba banyakkan bercakap dengan anak yang mereka perlu berhenti menyusu. Cuba pahamkan mereka dengan alasan seperti mereka sudah besar.
Jangan beranggapan mereka tidak paham. Bercakap lah dengan lembut dengan mereka, ulang dan ulang.
Bila anak tidur, semasa separa sedar, cuba urut dan usap dahi mereka sambil berkata-kata apa yang ibu mahu sampaikan.
Ulang berkali-kali dan lakukan terturut-turut setiap malam. Kaedah bercakap dengan anak ketika minda separa sedar adalah salah satu teknik yang banyak dipraktikkan untuk membantu mengawal cara pemikiran anak.
Sumber: Dr Nurhaya Lactation Center
Kredit Gambar: Google