Bercerita menggunakan buku cerita kepada anak adalah salah satu cara mudah untuk mendidik anak-anak. Perlu tahu bahawa melalui penceritaan anak-anak akan berimaginasi dan bertanya dengan pelbagai soalan.
Jika anak sejak kecil, ibu bapa membiasakan dengan membacakan buku cerita, tanpa disedari ia membantu anak mengenal huruf dan nombor. Sebenarnya banyak faedah yang diperolehi melalui membacakan buku cerita kepada anak-anak.
Apa yang dikongsikan oleh Pengetua Genius Aulad Saujana Utama, Puan Ashikin Hashim ini diharap menjadi panduan kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak menjadi seorang yang cemerlang.
Kebaikan Bercerita Kepada Anak-Anak
Tahukah anda bahawa bercerita itu banyak kebaikan dan faedahnya kepada anak-anak. Cubalah ajak mereka duduk di sebelah dan di ribaan anda, pasti sahaja mereka tidak sabar mendengar cerita hebat anda. Mereka akan mula berimaginasi dan mula bertanya pelbagai soalan. Bercerita dapat mengalirkan emosi dan perasaan kepada yang mendengarnya.
Bercerita dalam melatih skil pendengaran mereka dengan lebih baik lagi.
Pengalaman saya, bercerita memudahkan saya untuk mengawal mereka. Mengapa saya katakan begitu? Sebagai contohnya, jika saya mahu pergi membeli belah bersama anak-anak, saya mahu mereka berkelakuan baik ketika di kompleks membeli belah nanti. Bagaimana saya ingin sampaikan mesej tersebut? Tentulah dengan bercerita. Saya sudah praktikkan dan ianya sangat berkesan.
Lapangkan waktu anda untuk duduk bersama mereka. Usah biarkan gajet mengambil alih tugas anda sebagai ibu dan bapa. Waktu muda mereka ini hanya datang sekali sahaja. Maka manfaatkan sebaiknya.
Sumber:ashikin-hashim.blogspot.my