Selebriti dan pengacara Sarimah Ibrahim berkongsi perasaan gemuruhnya untuk melahirkan bayi perempuan pada bila-bila masa.
Dalam kenyataan dimuat naik di laman sosialnya, Sarimah berkata, perasaan yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan ia mengatasi segala pengalaman pernah dilalui sebelum ini.
“Saya pernah mengacarakan rancangan berskala besar secara langsung di hadapan jutaan manusia di seluruh Asia. Saya pernah melakukan terjun udara tanpa pasangan.
“Saya juga pernah membelah kayu dengan tangan sewaktu melakukan sukan karate dan bersaing dengan lelaki yang jauh lebih besar.
Baca [Selama 10 Tahun Berdua & Hadap Soalan Orang, Hadirnya Aaira Tanda Cinta Kami]
“Saya juga sudah melakukan selam skuba sedalam 45 meter dengan manta ray menutupi cahaya matahari. Tetapi sekarang dalam usia mencecah 41 tahun, saya akan melahirkan manusia ke dunia,” katanya.
Katanya, perasaannya kini jauh lebih hebat berbanding kehebatan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, dia kini sudah pun bersiap sedia dengan menyediakan segala keperluan yang diperlukan sebagai bakal ibu apabila dimasukkan ke hospital bersalin nanti.
Sebelum ini juga Sarimah menyatakan dia berharap dapat melahirkan puterinya itu secara normal dan berdoa urusannya nanti dipermudahkan.
“Sepanjang kehamilan, bayi saya sentiasa mengiring dan posisi itu langsung tidak berubah. Kalau posisinya masih sama, berkemungkinan besar saya terpaksa melahirkannya secara pembedahan,” katanya yang turut aktif melakukan senaman sepanjang kehamilannya.
Sarimah berkata, diharapkan kelahiran puterinya ini lancar kerana semua tak sabar. Maklumlah dalam keluarganya ramai lelaki. Berita gembira itu begitu dinantikan kerana selama ini dia banyak dikelilingi lelaki.
Sarimah pada 1 Februari lalu mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Pelakon berdarah kacukan Melayu-Irish itu mendirikan rumah tangga dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie pada 2 April 2015.
Sumber: Metro & Ig Sarimah Ibrahim