Hanya sempat menjaganya 14 hari, ibu ayah ini reda satu-satunya anak perempuan dalam keluarga pergi buat selama-lamanya.
Baru-baru ini Pa&Ma melaporkan mengenai bayi perempuan berusia 14 hari, Nur Annissa Zaki yang menghidap holoprosencephaly atau otak di luar tempurung kepala. Bayi istimewa ini meninggal dunia semalam.
Artikel berkaitan: Annissa Bayi Ajaib. Dilahir Tanpa Tempurung Kepala & Otak Di Luar, Kini Masih Bertahan
ANNISSA ALAMI MASALAH PERNAFASAN
Annissa yang dijangka bertahan selama hidup dua, atau tiga hari kuat bertahan dengan keadaannya.
Mengimbas kembali situasi pemergiaan Allahyarham, ibunya, Norwati Saad, 35, berkata, Nur Annissa dikejarkan ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati dia mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 3.50 petang tadi.
“Malam tadi, Nur Annissa tidak menunjukkan tanda-tanda sakit tetapi pagi tadi saya terkejut mendapati nafasnya semakin laju dan terus bawanya ke hospital.
“Selepas diberi bantuan oksigen dan minum susu melalui tiub, keadaannya masih sama sebelum doktor mengesahkan anak saya meninggal dunia pukul 3.50 petang,” katanya.
IBU SEDIH TAPI REDA
Norwati berkata, meskipun sedih dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu, dia reda dengan ketentuan Ilahi.
“Kami reda dengan ketentuan ALLAH dan ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan keselamatan dan kesihatan anak kami sejak dua minggu lalu.
“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah kami di Kampung Kuala Linggi, Alor Gajah sebelum dijangka dikebumikan malam ini selepas solat Isyak,” katanya.
ANNISSA BERTAHAN WALAU PUN DIJANGKAKAN HAYAT TIDAK LAMA
Annissa dilahirkan tiada tempurung kepala, selain turut mengalami lelangit sumbing serta memiliki enam jari pada tangan kanan.
Ibunya berkata ketika usia kandungan tujuh bulan, doktor menasihatinya untuk menggugurkan kandungan selepas laporan imbasan ultrasound mendapati terdapat kecacatan di bahagian kepala anaknya selain memaklumkan jangka hayat anaknya itu tidak lama.
Bagaimanapun Norwati dan suami, Zaki Rosly, 40, mengambil keputusan untuk meneruskan kandungan dan berserah kepada ALLAH SWT.
Sumber: sinarharian.com.my