“Kena kuarantin dua hari.” Itu yang dikongsikan oleh pelakon, Shakilla Khoriri yang baru-baru ini menjalani ujian saringan wabak Coranavirus atau COVID-19 selepas mengalami demam panas dan batuk-batuk.
Terdahulu Shakilla bersama suami, penyampai radio Fizi Ali dan anak mereka, Ameena Sofia bercuti di Eropah lebih dua bulan lalu.
“Sekembali dari bercuti di Eropah, saya dan anak bergilir-gilir demam. Sekejap demam dan sekejap baik.
“Kemudian saya ada juga penuhi beberapa komitmen lain selepas itu. Awalnya saya sangka ia berlaku disebabkan perubahan cuaca dan sebagainya.
“Kemudian suhu badan naik ditambah dengan batuk. Terfikir, simptom-simptom (wabak Coronavirus) seperti ada.
“Saya ambil inisitif ke hospital dan doktor menasihatkan saya untuk jalinan ujian saringan.
“Saya ada beritahu tekak seperti ada luka gara-gara batuk.
“Ketika ujian, doktor ada bertanya sama ada saya ada ke luar negara dan sebagainya. Saya beritahu kami sekeluarga ke Eropah Januari lalu dan saya ada ke Pahang juga selepas itu.
“Ketika itu badan saya panas dan ada ketikanya mengigil.
“Darah saya juga turut diambil bagi mengesan punca, termasuk melakukan pemeriksaan di bahagian tekak, hidung dan telinga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Mayya Baby di Ruang, Shah Alam.
Bagaimanapun sejurus ujian dilakukan, Shakilla menarik nafas lega apabila dia disahkan bebas dari wabak berkenaan.
“Alhamdulillah saya disahkan negatif coranavirus. Akan tetapi saya perlu menjalani kuarantin di rumah selama dua hari.
“Ketika itu pun saya elakkan dari bersentuhan dengan anak untuk keselamatannya,” jelasnya yang kini kian mengutamakan soal kebersihan serta penjagaan diri sekeluarga.
Terdahulu menerusi instagram, Shakilla berkongsi mengenai hal yang sama beberapa hari lalu.
Sambil memanjat rasa syukur dia turut menyatakan mengenai nikmat kesihatan yang dikurniakan Yang Maha Esa.
Betullah duit tak boleh beli SIHAT. Nikmat waktu sihat ini sangat-sangat berharga cuma kita tak sedar. Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Kesihatan yang baik, perjalanan yang baik dan pertemuan yang baik.
10/3/20 – Negatif COVID-19. Syukur, alhamdulillah. Terima Kasih Allah,” tulis Shakilla.
Sumber: Media Hiburan & Ig Shakilla Khoriri