Tindakan segelintir ibu bapa sanggup memarahi malah memukul anak-anak mereka di tempat awam mungkin ada sebab tertentu. Ada yang berpendapat anak perlu diajar terus agar mereka dapat ingat sampai bila-bila dan tak akan mengulanginya lagi.
Namun sebagai ibu bapa adakah anda terfikir tindakan itu menyebabkan anak akan hilang keyakinan dalam diri mereka? Ingat ya walaupun anak kecil dan tak mampu buat apa-apa mereka sebenarnya ada sikap malu.
Kalau diikutkan biasalah anak-anak kecil ni akan berlari ke hulur hilir, tapi ada cara menasihatinya supaya anak faham apa yang boleh dan tak boleh. Berikut perkongsian dari Certified Parental Coach, Zaid Mohamad apa yang sepatutnya ibu bapa buat tanpa memalukan anak dikhalayak ramai.
- Ibu bapa perlu sedar bahawa dunia ini adalah sebuah “taman permainan” yang besar bagi anak-anak. Oleh itu, tidak perlulah kita terlalu tertekan apabila mereka terlebih “excited” tatkala dibawa ke tempat awam. Biarkanlah mereka berlari dan bermain asalkan tidak membahayakan diri DAN tidak mengganggu orang lain (jika tidak, kita mesti tegur dengan cara berhemah)
- Standard ibu bapa adalah tinggi sedangkan anak-anak tidak mengetahuinya. Oleh itu ibu bapa perlu bijak dalam menyampaikan pesanan sebelum tiba ke lokasi kejadian. Beritahu awal-awal beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan (jangan banyak sangat) dan apakah akibatnya jika ianya dilanggar (cth: balik segera atau ada hukuman lain).
- Anak-anak kecil adalah pakar rundingan terbaik di dunia! Mereka gunakan taktik yang tidak boleh digunakan oleh orang dewasa seperti melembikkan tengkuk, mengelipkan mata dengan comel, dan juga menjerit sekuat hati sambil menangis dan berguling-guling di tengah-tengah shopping mall. Kita perlu bijak berunding dengan mereka – elakkan dari drama, bertegas dan jangan mengalah, alihkan perhatian dan buat perjanjian awal-awal.
- Mereka akan lupa pada perkataan/perbuatan TETAPI mereka akan ingat sampai bila-bila perasaan yang tercipta olehnya. Anak-anak (malah sesiapa pun) akan terlupa akan segala perkataan atau perbuatan kita, tetapi perasaan yang tercipta (bengang, malu, marah) akan dikenang seumur hidup. Jika berterusan, ini akan menjahanamkan kasih-sayang sesama keluarga. Berhati-hatilah….ciptalah kenangan terindah dengan kata-kata dan perbuatan yang terbaik sahaja!
Semoga mendapat sedikit peringatan untuk kita bersama In Sya Allah!
Sumber: Zaid Mohamad