Pernahkah anda lihat bayi yang baru lahir? Kulit mereka diselubungi dengan rambut yang dikenali sebagai lanugo.

Berhati-Hati Kalau Tubuh Bayi Baru Lahir Ditumbuhi Rambut Halus, Ada Yang Bahaya!

Jika anda tidak tahu akan lanugo, pasti anda tertanya-tanya, bahayakah rambut tersebut?

Lanugo adalah rambut halus yang boleh tumbuh di merata badan terutamanya pada bahagian belakang, bahu, lengan dan dahi bayi.

Ia mempunyai fungsi khas bagi melindungi bayi ketika di dalam kandungan.

Kawasan badan yang tidak mempunyai folikel rambut seperti bibir, tapak tangan dan kaki tidak mengalami pertumbuhan lanugo.

Kebanyakan bayi yang mempunyai lanugo adalah mereka yang mengalami kelahiran pramatang.

Pun begitu, bayi yang lahir matang juga boleh dilahirkan dengan lanugo. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau. Ia bukanlah satu petanda masalah kesihatan.

Berhati-Hati Kalau Tubuh Bayi Baru Lahir Ditumbuhi Rambut Halus, Ada Yang Bahaya!

Bukan sekadar perhiasan, ini rupanya fungsi lanugo

Banyak kajian telah dijalankan bagi memahami fungsi lanugo dan bagaimana ia berupaya untuk melindungi janin di dalam kandungan.

Antaranya adalah:

IKLAN

-Melindungi kulit: Oleh sebab air ketuban boleh mempengaruhi keadaan kulit bayi, cecair vernix caseosa (cecair putih pekat) bertindak sebagai pelindung utama. Namun, ia tidak berupaya untuk melekat pada permukaan kulit bayi. Lanugo merupakan struktur anatomi yang memegang cecair vernix bagi melindungi kulit bayi.

-Mengawal suhu badan bayi: Pada fasa awal kehamilan, lanugo merupakan struktur utama yang mengawal suhu badan bayi sebelum lapisan lemak terbentuk dan mengambil alih fungsi tersebut.


-Merangsang tumbesaran dan perkembangan bayi: Terdapat kajian yang menunjukkan keupayaan lanugo untuk merangsang rembesan hormon bagi mengurangkan stres dan menggalakkan proses tumbesaran dalam badan.

Pembentukan lanugo kebiasaannya berlaku pada sekitar minggu ke 16 hingga 20. Jumlah rambut halus tersebut berada pada tahap yang paling tinggi apabila bayi mencecah usia 28 minggu.

Setelah ibu hamil memasuki trimester ketiga, lanugo akan gugur perlahan-lahan. Semakin dekat dengan tarikh matang kehamilan, semakin kuranglah lanugo pada permukaan kulit bayi.

Tatkala bayi dilahirkan, jumlah lanugo tinggal sedikit dan lama-kelamaan, semuanya gugur. Oleh sebab itulah, jika anda lihat bayi yang lahir lewat (lebih daripada 42 minggu), kulit mereka lebih berkedut.

Ia berikutan pendedahan secara langsung kulit kepada air ketuban. Tanpa lanugo, cecair vernix tidak boleh melindungi kulit bayi.

IKLAN

Rambut tersebut akan digantikan dengan rambut yang lebih halus kelak. Ia dikenali sebagai rambut vellus.

Setiap bayi mempunyai jumlah lanugo yang berbeza selepas lahir. Bukan semua bayi lahir dengan lanugo. Walaupun normal bagi bayi lahir dengannya, ia tidak bermakna bayi yang tidak mempunyai lanugo itu tidak normal.

Terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dan ia mempengaruhi rupa bayi yang baru lahir. Secara amnya, ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor usia kandungan ketika bayi dilahirkan dan warna kulit (genetik).

Faktor usia
Bayi yang lahir pramatang cenderung untuk mempunyai jumlah rambut lanugo yang lebih banyak. Oleh sebab lanugo mula gugur pada minggu ke 28, bayi yang lahir sebelum tempoh itu mempunyai jumlah lanugo yang lebih banyak. Namun, seperti bayi lain, rambut tersebut akan gugur kelak.

Bagi bayi yang lahir matang (lahir di antara minggu ke 37 hingga 42), segelintir akan mempunyai lanugo (dalam lingkungan 30%).
Bayi yang lahir lebih daripada 42 minggu kebiasaannya tiada lanugo yang menyelubungi badan.

Faktor warna kulit
Mereka yang berkulit cerah cenderung untuk mempunyai lanugo yang berwarna pudar. Ia sukar untuk dilihat.

Bayi yang berkulit gelap lebih jelas kelihatan lanugonya. Warna hitam pada lanugo akan lebih menonjolkan rambut halus tersebut semasa mereka dilahirkan.

IKLAN

Ke mana perginya lanugo yang gugur semasa di dalam kandungan ibu?

Anda mungkin tertanya-tanya, ke mana perginya lanugo setelah ia gugur daripada badan bayi. Oleh sebab ia mula gugur seawal minggu ke 28, kebanyakan lanugo yang gugur berada di dalam air ketuban ibu.

Air ketuban itu akan diminum oleh bayi maka lanugo akan memasuki sistem pencernaan bayi. Jadi, secara teknikalnya, kita boleh anggap, bayi akan makan lanugo tersebut.

Ia akan menjadi sebahagian daripada mekonium (najis pertama bayi) apabila ia dilahirkan kelak.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa rambut lanugo yang tumbuh selepas sebulan bayi dilahirkan boleh menjadi tanda kepada penyakit berbahaya.

Antaranya adalah:

Malnutrisi teruk. Apabila badan tidak mempunyai bekalan lemak yang cukup, lanugo akan tumbuh bagi melindungi bayi daripada kesejukan.
Keadaan kesihatan yang serius seperti kanser, masalah metabolik dan masalah berkaitan dengan sistem endokrin.

Hipertrikosis Lanuginosa. Pertumbuhan lanugo secara berlebihan. Ia merupakan masalah genetik yang jarang didiagnosis.

Jangan terkejut jika bayi baru lahir tidak ‘sebersih’ berbanding dengan apa yang sering ditonjolkan di kaca televisyen.

Lanugo merupakan struktur anatomi penting buat bayi di dalam kandungan. Namun, jika pertumbuhan lanugo berlaku selepas bayi berusia 1 bulan, ia mungkin petanda masalah kesihatan serius. Justeru, jangan abaikan temujanji anda dengan doktor.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI