Ibu ayah, tolong berhenti bagi anak makan jajan kerana boleh menyebabkan otak mengecil dan ganggu kepintaran mereka! Tanpa sedar, niat kita bagi anak makan makanan ringan seperti gula-gula, coklat, keropok dan sebagainya untuk gembirakan mereka boleh menjadi racun kepada diri mereka sendiri.
Perkongsian dari Dr. Rizal Abu Bakar, Pensyarah di UNIMAS yang juga Pengasas Otak Cerdik Otak Cerdas (OCOC) yang banyak buat kajian tentang otak manusia ini patut diberi PERHATIAN oleh semua ibu bapa demi kebaikan dan kesihatan anak anda.
MAKANAN RINGAN DAN OTAK
Usai solat jumaat hari ini saya mengambil jalan lain dari kebiasaan. Laluan ini perlu melintasi sekolah. Kelihatan di kiri kanan sekolah penuh dengan pondok-pondok segera serta penjaja bergerak menjual makanan ringan.
Pondok-pondok yang uzur dan penjaja bergerak ini menjadi tumpuan pelajar-pelajar sekolah. Kelihatan di dalam dan bahagian depannya bergantungan makanan ringan pelbagai jenis dan jenama.
Di dalam kantin pun makanan yang hampir sama disajikan. Bagi penjual, ianya adalah hasil berganda. Bagi pelajar ianya menjanjikan nikmat segera.
Saya selalu berpesan pada anak-anak untuk hindari dari mengambil makanan ringan. Tiada khasiat. Penuh dengan lemak, rasa masin dan manis.
Penuh kalori.
Bagaimana makanan ringan beri kesan pada otak?
Saya ceritakan pada anak-anak dengan menunjukkan gambar-gambar otak serta kesan apa yang akan berlaku andainya mereka mengambil makanan ringan dan minuman berkarbonat, minuman dalam tin dan kotak.
Saya lanjutkan perkhabaran keburukan makanan ringan dengan mengatakan pada mereka makanan ringan boleh menyebabkan otak mengecil. Ya! Otak boleh mengecil.
Ramai yang sayangkan anak-anak tapi ramai juga tidak sedar bahawa mereka menjadi peracun bersiri pada otak anak-anak.
Maksudnya? Merekalah menjadi tukang beli racun-racun ini dan menyuapkan ke mulut anak-anak.
Kenapa begitu? Makanan ringan yang kita beli atau benarkan anak-anak mengambilnya menjadi penyebab kepada tempat takungan memori di dalam otak yang bernama hippocampus mengecil.
Patutlah susah belajar
Hippocampus adalah pusat pembelajaran perkara-perkara baru di dalam otak.
Kalau tempat takungan memori mengecil, otak keseluruhannya mengecil, hantarlah ke mana-mana pusat tusiyen atau seminar untuk memandaikan dan mematangkan anak-anak, nescaya ianya hanya sia-sia.
Kita juga mengeluh kenapa anak tidak pandai. Habis semua seminar dijajah. Semua pusat tuisyen tersohor di singgah tapi anak-anak masih tidak berubah.
Jadi, bagaimana mahu mengatasi perkara ini? Jalan ringkasnya ialah:
1. Jauhi makanan dan minuman ringan.
2. Perhati dan teliti apa yang anak-anak makan.
3. Bekalkan maklumat makanan alternatif yang sihat untuk otak pada anak-anak.
4. Sediakan makanan alternatif yang sihat untuk otak kepada anak-anak.
5. Kita juga perlu tukar kepada makanan yang sihat untuk otak.
Kalau sayangkan anak, jaga otak mereka. Anak-anak yang mengambil makanan ringan 50% lebih tinggi terdedah kepada penyakit mental seperti, kemurungan, skizophrenia, Attention Deficit Hyper Disorder (ADHD) dan Kecelaruan Bipolar.
Oleh itu jauhkanlah anak-anak dari makan makanan ringan.
Sumber: Dr. Rizal Abu Bakar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Anak Umur 2 Tahun Tantrum, Ayah Jangan Marah Tapi Kena Sabar Dan Pujuk Si Kecil
Sukar nak faham perangai anak umur 2 tahun terutama bila mereka tantrum. Tapi ayah terutamanya jangan cepat marah sebaliknya kena sabar dan pujuk si kecil.
“Kenapa tak dengar cakap papa ni. Kan papa suruh diam. Jangan nangis lagi. Degil ya!” marah si ayah pada anaknya berusia 2 tahun yang buat perangai lepas tu sengaja menangis kuat-kuat.
Mesti ramai ayah yang bersikap begini kan? Menggunakan kuasa veto seorang ayah untuk mengawal si anak yang baru berusia tak lebih 3 tahun daripada berbuat nakal. Kekerapan si kecil buat perangai dan kuat mengamuk, benar-benar menguji kesabaran ayah. Tapi puas dimarah dan dipukul, anak tetap tak makan saman. Betulkah cara didikan tersebut?
Dia agak terkejut kerana selama hari ini dia menyangkakan anaknya yang dulu baik dan mendengar kata, sudah mula degil dan macam biadap pun ada katanya.
Ibu katakan kepadanya, “Tak, itu bukan degil ke biadap dan buruk akhlak. Anak itu sedang melalui fasa Individuating iaitu fasa yang menegapkan kewujudannya. Fasa di mana dia mahu menyatakan dia juga punyai hak memilih. Fasa ini perlu dikendalikan dengan baik, jika tidak ianya akan memberi kesan buruk bila anak itu besar nanti”
Nampak bulat mata si ayah-ayah tu. Soalannya yang seterusnya pula; “sampai bila fasa ni Ibu?” Ibu menerangkan bahawa fasa ini boleh jadi sekejap jer iaitu hingga anak 3 tahun jika ibu bapa dan orang yang mendidiknya bijak mengendalikan fasa ini dengan baik.
Jangan cepat melabel anak itu dengan label yang buruk sebab itu akan membawa kepada identiti diri anak itu dan pada usia 3 tahun, anak itu akan mengambil identiti yang sering diulang terhadap dirinya. Contoh, ‘budak degil, hiperaktif, jahat, nakal dan segala yang sewaktu dengan itu!
“Tak boleh marah ke Ibu?” tanyanya lagi…” marah berpatutanlah jika perlu sangat api perlu faham anak pada usia ini belum faham pun.
Jika ada benda bahaya ambil sahaja dia dari situ dan tunjukkan benda yang selamat. Jika dia meronta, pegang jer dan sooth him, jangan kita pulak sama nak naik berang. Memang anak pada usia ini akan menangis bila disekat anginnya. So, just expect that without thinking anak itu degil atau anda ayah atau ibu yang bodoh.
It is just a phase so chill a little bit.
“Zaman dulu mak ayah tak pun sibuk akan fasa ni? Ada juga yang berkata begitu.” sambungnya lagi. Jawapan Ibu, “siapa kata?”
“Sayang ingat ke macamana sabar emak ayah kamu mendidik? Mungkin ingat sikit-sikit ayah dukung atas bahu bawak pergi tengok burung, buah etc. Itu bukankah cara si ayah mengalihkan pandangan supaya sayang tak menunjukkan tantrum. Emak ayah dulu pun tahu dan ramai di antara mereka sangat sabar. Mereka sering berkata…ala budak…kan? ada jugalah yang tak tahu dan tak sabar. Itulah yang anak-anak mereka kemudiannya ada masalah emosi sikit dan mungkin banyak. Nak pilih contoh yang mana?” tanya Ibu kepada yang bertanya tadi.
Termenung jugalah para ayah muda yang prihatin tu. Kata-kata akhir seorang tu… “Eh, banyak kena tahu ni….besar tanggung-jawab ni.” Nanti Ibu cerita lagi boleh?” Ibu mengangguk bersyukur.
Ibu senyum bersyukur dalam hati Ibu mendoakan mereka. Inilah contoh para ayah yang sentiasa mahu memperbaiki diri demi kesejahteraan anak-anak dan isteri dan mereka ini tahu peranan besar mereka mendidik dan membentuk Ummah.
Faham fasa anak kecil
Pada usia dua tahun atau lebih atau kurang sikit, merupakan masa yang paling mencabar ibu bapa. Seperti yang Ibu selalu katakan sebelum ini. Jika bijak ibu bapa kendalikan perangai anak-anak kecil itu semasa ini, InsyaAllah, akan lebih mudah menguruskan mereka bila sudah remaja nanti.
Tantrum yang sering ditunjukkan anak-anak kecil masa ini adalah cetusan-cetusan perasaan, rasa tidak selesa atau tak puas hati. Kadang-kadang tu, hanya sebab tak pandai makan dengan sudu pun dah boleh menyebabkan mereka mengamuk.
Kenapa?
Sebab pada usia ini dia nak buat macam orang dewasa tapi motor skil belum mahir. Itulah yang menyebabkan dia kecewa. Malah dia ingat dia dah dewasa pun.
Relaks, jangan cepat nak melenting bila dia jatuhkan sudu ke, apa ke. Kita pun jatuhkan sudu dan buat macam tak pandai makan dengan sudu juga…pasti dia terheran and tantrum terhenti.
Pada usia ini anak-anak hanya ada Attention dia belum ada Intention (niat).
Pada usia ini anak-anak tidak ada niat buat sesuatu kerana sesuatu. Contohnya, dia tidak menangis sebab nak beri ayah-mama pening! Dia tiada niat begitu pun!
Bila kita faham akan perkara ini, maka untuk menghalang anak-anak dari terus mengamuk kerana hendakkan barang atau nak menghalang anak dari pergi ke tempat yang bahaya. Wujudkan sesuatu yang akan menarik perhatiannya dengan LEBIH lagi.
Mengapa tak elok kita marah terlebih pada mereka bila mereka show tantrum?
Sebab anak-anak kecil ni memang tak faham lagi dan bila kita marah terlebih, yang akan jadi adalah mereka menjadi lebih degil atau takut macam kura-kura masukkan kepalanya. Oleh itu bila dia dah usia besar sikit, maka kedegilan yang ketara akan menjadi-jadi atau penakut dan tak confident yang teruk akan melanda anak itu. Penat nak tarik dia nak belajar ke, nak buat apa-apa ke.
Jangan risau bila kita layan dengan baik anak itu tetap tantrum. Bila dia nak menangis dan tantrum, kita beri dia peluang asal jangan membahayakan diri. Kita boleh duduk dekat dengannya, atau bawa dia ke tempat lain dan basahkan mukanya sambil sebut “Ayah faham sayang letih…ni ayah dukung and peluk!”
Wahai ayah-ayah semua, gentlemen dan amazingnya anda jika anda bersabar begini. You show a higher level of leadership dan anak itu akan belajar akhlakmu.
Orang akan kata kita manjakan anak. Itu orang yang tak faham mengenai perkembangan kanak-kanak! Kita tak perlu ikut kata-kata mereka. Bayangkan anak tu baru 2 tahun, kecil tu, dah nak ditengking dan dipukul bagai hanya kerana dia menangis kerana letih atau kecewa toys kena rampas ke. Sepatutnya, kita bimbing dia macamana nak kendalikan frustration dia dan bukan kita pulak yang frustrated dengan anak kita yang comel tu.
Ibu mendoakan agar sayang semua akan bertambah bijak dan sabar mendidik anak-anak.
Sumber: iburose.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Menangis Ibu Ayah Boleh Naik Angin. Nak Biar Atau Pujuk? Guna Teknik Ini Ikut Kesesuaian
Anak menangis, nak biar atau pujuk? Semua ibu ayah akan menghadapi situasi ini cuma yang membezakan macam mana kita menyelesaikannya. Ada banyak sangat pendapat terutamanya di media sosial. Ada yang kata:
“Biarkan je anak menangis, biar dia belajar mengawal emosi sendiri dan bagus untuk paru-paru”
“Jangan biar anak menangis sebab akan menyebabkan masalah perkembangan di masa akan datang”
“Anak menangis terus angkat, mak ayah secara tak langsung spoil anak”
Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi berkongsi pendapatnya. Setiap kali Kelas Merangsang Perkembangan Anak, mesti akan ada soalan tentang anak menangis. Jadi, disini saya nak kongsikan tentang topik anak menangis.
1. ABAIKAN “ORANG KATA”
Benda pertama adalah mindset mak ayah, kalau kita serabut bila anak menangis. Anak lagilah serabut.
Anak yang selalu menangis tak semestinya disebabkan mak ayah “tak pandai jaga anak” kerana setiap keperluan dan perkembangan berbeza. Terutamanya anak yang umur 3 tahun ke bawah yang tak mahir sangat untuk luahkan perasaan mereka. Saya pasti semua mak ayah inginkan apa yang terbaik untuk anak. Kadang-kadang, kita terlalu sangat fikirkan apa orang kata sehinggakan kita dah lukakan perasaan anak kita.
Jangan takut orang kata apa, tetapi lebihkan fokus kepada keadaan yang sedang berlaku.
2. KENALPASTI UMUR DAN TAHAP PERKEMBANGAN ANAK
Cara mengatasi dan memujuk anak adalah sangat berbeza mengikut umur dan tahap perkembangan. Sebab itu, sangat penting untuk mak ayah kenal anak dan memahami betul-betul tahap perkembangan anak.
UMUR 0-6 BULAN
– Tak reti manipulasi mak ayah.
– Meluahkan perasaan dan “bercakap” dengan cara menangis.
– Menangis apabila keperluannya tak tercapai.
– Tak akan berhenti menangis selagi tidak di layan.
– Berhenti disebabkan sudah penat menangis.
Ada kajian menunjukkan 1 daripada 10 bayi menangis lebih 3 jam sehari. Bayi pula ada banyak kategori, bayi kategori “high need” akan lebih banyak menangis dalam sehari. Selagi tak capai keperluannya, selagi itu dia akan menangis. Keperluan bayi pula bukan sahaja kenyang, sihat dan kering tetapi keperluan nak peluk dan dodoi pun termasuk juga. Ada bayi yang letak sahaja boleh tertidur sendiri, ada bayi yang dah dodoi pun susah tidur.
Menurut Paediatrician Dr. Armeet Singh, semasa anak 4-6 bulan adalah waktu kritikal untuk mak ayah dapatkan “special bonding” dengan bayi. Maka, mak ayah WAJIB elakkan bayi menangis lama kerana waktu ini anak sedang belajar sayang dengan orang yang selalu “tolong” semasa mereka menangis. Semakin anak percaya mak ayah, semakin kurang dia menangis. Anak yang kerap dibiarkan menangis semasa ini mungkin mempunyai masalah untuk mempunyai “bonding” dengan mak ayah di masa akan datang.
UMUR 6 – 18 BULAN
– Dah mula belajar memanipulasi mak ayah dengan menggunakan tangisan.
– Mempunyai masalah “separation anxiety” iaitu resah apabila terpisah.
– Menangis apabila berjauhan.
– Rasa tidak selamat dengan tempat, barang atau orang yang tidak dikenali.
Waktu ini memang fasa anak sedang belajar untuk hidup dan mengenalpasti yang mana selamat dan tidak selamat. Banyak menangis disebabkan takut dengan benda baru atau sebab berjauhan dengan mak ayah. Anak ingat yang mak ayah akan hilang selamanya jika dia tak nampak disebabkan masalah dengan”object permanence” terutamanya semasa bawah 8 bulan.
Sewaktu ini mak ayah dah boleh tinggalkan anak menangis sebentar untuk mengajar anak yang kita tak hilang pun jika kita pergi ke tandas sekejap. Kemahiran “object permanence” ini akan mula develop semasa 4-7 bulan dan akan betul-betul ada apabila bayi umur 8 atau 9 bulan.
ANAK UMUR 18 BULAN – 3 TAHUN
– Keliru dengan emosi sendiri.
– Fasa autonomi, perasaan konfiden untuk melakukan sesuatu dengan sendiri dan kebolehan buat sesuatu atau fikir tentang diri sendiri.
– Sedang belajar mengurus emosi yang pelbagai, (marah, sedih, cemburu, malu, kecewa dll).
Ini adalah waktu yang paling mencabar dan kritikal untuk anak belajar mengurus emosi sendiri. Anak yang mengalami masalah lewat perkembangan bahasa selalunya akan mempunyai masalah tingkahlaku. Masalah tingkahlaku menyebabkan anak lagi kerap menangis. Semakin anak membesar, semakin mereka kurang menangis kerana dapat meluahkan perasaan dengan kata-kata.
3. KENALPASTI PENYEBAB
– Lapar?
– Haus?
– Sakit?
– Diaper basah?
– Baju tak selesa?
– Sejuk/panas?
– Bising?
– Silau?
Periksa dan analisa satu persatu, jika semua tak ada masalah. Cuba peluk dan dukung anak, kalau anak diam dari menangis bermakna mereka perlukan pelukan dan perhatian mak ayah kerana pelukan juga salah satu keperluan sensori anak terutamanya semasa bawah 3 tahun.
Kalau dah buat semua benda tapi anak tetap menangis, mungkin ada perkara yang mereka sendiri tak tahu atau melibatkan kecelaruan emosi mereka sendiri.
4. KECELARUAN EMOSI
Ingat kita sahaja ada masalah emosi, anak juga ada terutamanya semasa 18 bulan – 3 tahun. Ada masa yang kita buat semua cara untuk pujuk anak menangis tetapi semua tak jalan. Makin kita pujuk, makin teruk anak menangis sambil tutup mata.
Jika mak ayah menghadapi waktu ini, cara yang terbaik adalah tinggalkan anak menangis sekejap sambil kita pun tenangkan emosi sambil fikir dan analisa punca anak menangis teruk. Bila anak dah mula menangis perlahan dan mula buka mata serta pandang sekeliling barulah mak ayah datang kepada anak dan peluk.
Mengatasi anak mengamuk waktu ini sangat memerlukan kemahiran menganalisa mak ayah. Sama ada anak menangis disebabkan oleh perkara yang boleh diatasi atau yang tidak dapat diatasi:
A) Boleh diterima dan diatasi
– Nak urus diri sendiri (pakai baju, buka seluar, makan minum sendiri)
– Nak pergi ke tempat yang boleh diterima dan selamat.
– Main mainan yang susah.
– Nak memanjat atau main di tanggga.
B) Tidak boleh diatasi
– Makan atau minum makanan yang tidak sesuai (air bikarbonat, sup pedas, air panas, ubat mak ayah).
– Pergi tempat yang bahaya atau tak sesuai (naik tangga rumah orang lain, jalan raya)
Jika anak menangis disebab A, cara terbaik adalah mak ayah latih skil-skil penting anak sambil beri sokongan pada anak. Semakin cepat anak pandai buat sendiri, semakin kurang episod menangis anak. Kalau anak menangis disebabkan nak memanjat, banyakkan bawa anak pergi memanjat di taman.
Jika anak menangis disebabkan B, tak ada cara lain selain alihkan perhatian anak atau tinggalkan anak menangis sebentar sambil terangkan kenapa anak tak boleh pergi atau makan apa yang dia nak.
Jangan sesekali, anak menangis kita marah mereka menangis sebab menangis tak salah. Inilah satu-satunya cara anak untuk lepaskan perasaan mereka. Anggaplah anak seperti diri kita sendiri yang terperangkap di dalam badan budak kecil yang tersesat di planet lain dan bahasa lain.
Bila kita letakkan mindset sebegini, pasti kita kurang stress bila mengurus anak menangis. Emosi mak ayah sangat memainkan peranan terhadap perkembangan emosi anak. Kalau kita mahu anak belajar mengurus emosi sendiri, pastikan kita pandai dahulu uruskan emosi.
TEKNIK “CRY IT ALL”
Jika mak ayah dah baca sampai habis, agak-agak berapa lama jangka masa kita biarkan anak menangis?
– 1 minit, 5 minit, 10 minit, 30 minit?
Tak ada
Semuanya bergantung kepada perkembangan anak dan kenapa anak menangis. Setiap personaliti anak berbeza sejak mereka 4 bulan lagi. Berdasarkan pengalaman menterapikan beribu kanak-kanak, saya setuju dengan kenyataan ini kerana memang ada anak yang memang “tahan menangis” sehingga berjam-jam. Teknik “cry it out” tak berkesan untuk semua anak. Tak kiralah nak ajar anak tidur sendiri, nak bercerai susu ataupun mengasingkan tempat tidur.
Saya sendiri pernah cuba lakukan teknik ini kepada anak saya sendiri kononnya untuk “mengajar” anak saya tidur sendiri dan saya menyesal. Hasilnya anak saya tetap tak dapat tidur, tahan menangis 1 jam dan emosinya terganggu serta dia jadi sangat sensitif disebabkan emosinya tercedera. Ambil masa lebih kurang seminggu untuk pulihkan emosinya.
Ada masa yang kita mak ayah sendiri tahu adakah anak kita bersedia atau tidak. Jangan terlampau terikutkan orang. Tenunglah mata anak dan tataplah muka anak, adakah anak bersedia?
Jika anak kerap sangat menangis dan mak ayah pernah terfikir untuk cederakan anak, sila dapatkan bantuan profesional. Saya percaya tak semua orang mampu mendengar tangisan anak kerana deria auditori setiap orang berbeza. Jangan malu-malu untuk minta tolong pasangan, keluarga atau profesional untuk membantu.
Sumber: Maryam Jamadi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Stress Anak Orang Cepat, Anak Kita Lambat. Rangsang Lagi & Galakkan Mencuba
Ada dalam sesetengah situasi anak lambat dalam beberapa perkara. Ibu ayah tenang, jangan mudah membandingkan kalau anak lambat. Yang penting jangan berhenti rangsang.
Setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk kehidupan anak mereka. Bagi mengukur tahap perkembangan seorang anak, kebanyakan ibu bapa akan membandingkan anak mereka dengan anak individu lain. Namun begitu, ia merupakan tindakan yang tidak wajar kerana perkembangan setiap anak adalah berbeza mengikut individu. Ada kanak-kanak yang cepat belajar dan menunjukkan kebolehan mereka dalam sesuatu perkara dan ada juga yang agak lambat. Mereka yang agak lambat ini boleh dikategorikan sebagai ‘late bloomers’.
Apakah itu ‘late bloomers’?
‘Late bloomers’ merujuk kepada seseorang individu yang agak lambat dalam menunjukkan kebolehan dan bakat mereka dalam sesuatu perkara. Kanak-kanak ‘late bloomers’ kebiasaannya akan terlihat sebagai kanak-kanak yang lemah dalam pelajaran di sekolah dan agak terkebelakang dalam aspek kebolehan atau bakat. Namun begitu, kanak-kanak ini akan terserlah bakatnya yang tersendiri mereka apabila mencapai usia dewasa satu hari nanti.
Apakah faktor yang mengakibatkan anak ‘late bloomers’?
‘Late bloomers’ bukanlah satu kondisi atau penyakit mental yang berbahaya buat kanak-kanak. Ia tidak disebabkan oleh infeksi, keturunan atau jangkitan. Sebaliknya, ia hanyalah satu keadaan di mana anak anda menjadi sedikit lambat berbanding kanak-kanak lain. Ia disebabkan oleh beberapa faktor luaran, antaranya:
1. Belum bersedia berkongsi kebolehan semulajadi
Setiap individu mempunyai kebolehan atau ‘forte’ yang tersendiri seperti menulis, menyanyi, menari dan lain-lain. Bakat ini sememangnya lahir dengan diri sendiri dan merupakan anugerah.
Kanak-kanak ‘late bloomers’ juga mempunyai bakat ini cuma mereka mungkin terlalu malu atau berhati-hati untuk menonjolkannya. Mereka cenderung untuk mengkaji dan memperhalusi bakat tersendiri mereka terlebih dahulu sebelum berkongsi dengan individu lain.
2. Adik-beradik
Seorang abang atau kakak kepada anak ‘late bloomers’ mungkin akan menjadi faktor kepada kondisi ini. Kebanyakan adik-beradik yang lebih tua akan menganggap dan melayan adik kesayangan mereka seperti seorang anak kecil yang tidak berdaya dengan melakukan semua perkara untuk mereka. Ini akan menjadi punca adik mereka tidak langsung mencuba untuk melakukan apa-apa perkara sendiri lalu menyebabkan keadaan ‘late bloomers’ ini.
Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mengingatkan adik-beradik yang lebih tua untuk membiarkan adik kecil mereka lebih berani untuk mencuba melakukan sesuatu perkara baru seperti merangkak, berdiri, berjalan atau bercakap.
3. Lahir pra matang
Secara logiknya, bayi yang lahir pra matang sememangnya memerlukan masa yang lebih lama berbanding bayi yang normal untuk membesar. Sebagai contoh, bayi yang lahir awal tiga bulan tidak boleh dibandingkan dengan bayi berusia 3 bulan kerana mereka tidak mengalami perkembangan yang sama. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu risau kerana bayi pra matang akan mula membesar secara normal apabila mereka mencecah usia sekitar 2 tahun.
4. Kurang pertolongan daripada ibu bapa
Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu anak-anak membesar. Jika seorang anak kurang mendapatkan pertolongan daripada ibu bapa, mereka mungkin akan menjadi seorang anak ‘late bloomers’.
Sebagai contoh, ibu bapa perlu membantu bayi kesayangan mereka belajar merangkak. Letakkan bayi secara meniarap untuk membiasakan mereka dengan posisi itu. Ibu bapa juga boleh meletakkan umpan di hadapan bayi.
Umpan itu seperti permainan untuk memberi galakan dan dorongan kepada bayi. Dengan ini, bayi anda mungkin akan dapat membesar seiring dengan kanak-kanak normal yang lain.
Adakah ibu bapa perlu risau jika anak anda seorang ‘late bloomers’?
Tidak, anda sama sekali tidak perlu risau dengannya. Ini kerana ‘late bloomers’ bukanlah satu kondisi atau penyakit berkaitan mental berbahaya yang boleh memudaratkan anak anda. Ia cuma satu keadaan di mana anak anda sedikit lambat untuk menunjukkan kebolehan atau bakat mereka kepada individu lain.
Jangan sesekali membanding-bandingkan mereka dengan anak individu lain yang cemerlang di sekolah dalam pelbagai aspek seperti pelajaran, sukan dan lain-lain. Anak ‘late bloomers’ bukanlah seorang yang gagal dalam aspek-aspek itu, cuma mereka memerlukan lebih masa untuk berkembang sepenuhnya dan mencapai potensi terbaik mereka.
Mesti beri dorongan
Sebaliknya, anda sebagai ibu bapa yang prihatin perlu memberi segala bentuk semangat, galakan, dorongan dalam setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak anda seperti merangkak, berdiri, berjalan, bercakap dan seterusnya.
Sokong dan gilap setiap kebolehan mereka yang anda dapat kesan seawal usia mereka lagi agar mereka rasa dilindungi dan dihargai oleh ibu bapa kesayangan mereka. Paling penting, sentiasa berikan motivasi kepada mereka seawal usia bayi sehinggalah mereka dewasa untuk menjadi individu yang berjaya pada masa hadapan.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI