Soalan:
Saya mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 11 bulan. Sekarang saya memberi bubur nasi kepadanya, dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Pada waktu yang lain, saya beri dia minum susu.
Masalahnya, anak saya seolah-olah tidak cukup makan dua kali sehari. Dia akan menangis dan mengganggu saya ketika makan. Apabila saya menyuap makanan kepadanya, dia berhenti menangis. Mungkin dia lapar.
Saya ingin tahu, apakah makanan sampingan yang sesuai untuk bayi berusia 11 bulan seperti anak saya?
Jawapan:
Pada usia begini, anda boleh memberinya makanan pejal atau separa pejal sebanyak tiga kali sehari. Buah-buahan yang bersesuaian pun boleh diberikan.
Jus juga merupakan alternatif lazim, namun harus diberikan menggunakan cawan dan bukannya melalui botol susu. Jus boleh diberikan dengan kuantiti terhad.
Terlalu banyak jus boleh menjejaskan selera makan dan makanan berkhasiat lain serta memungkinkan terjadinya cirit-birit, kembung dan kemerosotan gigi. Dalam masa yang sama, jus yang diberikan hendaklah yang dipasteur untuk mengelakkan kewujudan bakteria serta bebas daripada gula tambahan.
Anda juga boleh memperkenalkan makanan lain seperti biskut, sayur mahupun makanan yang dipotong. Bayi yang berusia antara lapan atau sembilan bulan sudah boleh memegang dan memasukkan makanan ke dalam mulut. Walau bagaimanapun, jenis makanan dan saiz makanan tersebut perlu sesuai untuk membolehkan anak kecil anda memperoleh pengalaman baru.