Bab memilih nama anak, suami isteri pasti teruja. Tak kisahlah anak yang pertama atau yang nombor berapa sekalipun masing-masing nak berikan nama yang sedap di dengar dan baik maksudnya. Bukan itu saja, ada juga yang suka gabungan nama.
Tak kisah nama itu moden, klasik atau ciptaan sendiri atau diambil daripada perkataan-perkataan indah dalam bahasa tertentu semestinya semua nak yang elok kan?
Pemberian nama kepada anak seharusnya mempunyai makna yang baik. Hal ini kerana nama itu bakal ‘digalas’ oleh si kecil. Malah ada juga yang mengatakan nama pilihan itu adalah ‘doa’ kepada si pemiliknya.
Walau apa pun nama pilihan anda, pastikan ia yang terbaik buat si kecil yang bakal dilahirkan dalam masa terdekat ini. Untuk membantu anda mendapatkan pilihan nama yang terbaik, jom baca aspek-aspek yang perlu dititikberatkan ini.
1. Nama trending
Ramai ibu bapa teruja untuk memberikan nama bakal anaknya dengan nama yang sedang trending pada masa kehamilannya itu.
Dah namanya popular, jadi ia bukanlah sesuatu yang menyenangkan apabila akan ada ramai kanak-kanak yang mempunyai nama yang sama.
Apabila anak anda ini berada di alam persekolahan nanti, akan timbul kesulitan kepada pihak sekolah dan gurunya apabila terpaksa memanggil nama penuh (termasuk nama bapa) kerana mungkin ada lebih daripada satu orang memiliki nama itu.
2. Maksud dalam pelbagai bahasa
Selalunya orang Melayu meletakkan nama yang diambil daripada bahasa Arab. Ada juga yang di ambil daripada bahasa lain.
Jika mahu mengambil nama daripada bahasa Arab, tanyakan pendapat daripada orang yang mahir berbahasa Arab terlebih dahulu. Langkah ini perlu dilakukan bagi memastikan maksud nama itu adalah yang baik dan bukan sebaliknya.
Dalam masa yang sama, anda boleh gunakan carian di Internet untuk mengetahui maksud nama pilihan dalam pelbagai bahasa lain. Manalah tahu maksid nama itu dalam bahasa Arab indah tetapi sebaliknya pula dalam bahasa lain.
3. Ejaan dan sebutan
Jika boleh, pastikan ejaan nama pilihan adalah sama dengan cara anda menyebutnya. Ia memudahkan anda dan diri anak itu sendiri juga kelak.
Tidak perlulah anda menggunakan ejaan yang berbelit-belit untuk disebut mahupun dieja dan ditulis. Bukankah nanti menyusahkan anda sendiri mahupun orang lain. Paling penting ingat tentang anak yang bakal ‘membawa’ nama itu seumur hidupnya.
Bayangkan kesusahan yang bakal dilaluinya apabila perlu behadapan dengan situasi menulis borang atau ketika menulis butiran diri di kertas peperiksaan.
4. Nama panggilan
Hindari diri daripada memilih nama yang mempunyai suku kata yang pelik sehingga boleh menyebabkan ia menjadi bahan ejekan kawan-kawan anak anda. Pasti ia boleh mengganggu tahap keyakinan diri anda. Kasihan dia.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)