KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa mulai hari ini, pendaftaran untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat, dan mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai i-Suri dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.
Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif Kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi) Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Pembukaan pendaftaran i-Suri hari ini adalah berikutan pelancaran Insentif Suri Rumah oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018 minggu lepas.
“Individu yang menepati kelayakan dan membuat pendaftaran i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP, seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, Pengeluaran Umur 50, 55 dan 60, Bantuan Hilang Upaya, dan Bantuan Kematian. Ini adalah sebagai tambahan kepada insentif Kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan.”
Menurut statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu, dan 28,116 ibu tunggal dari segmen masyarakat miskin tegar layak menerima insentif Kerajaan tersebut setelah mendaftar untuk i-Suri.
Untuk maklumat lanjut mengenai eKasih, sila hubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di 03-8000 8000, dan untuk penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau kunjungi mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.
Sumber: KWSP