Didik anak faham tentang solat sejak dalam kandungan boleh membantu ibu untuk beribadah dengan tenang. Pada permulaanya mungkin bayi akan merenggek, tapi bila mereka mula membesar, mereka akan faham dan mudah melakukan ibadah.
Masa mengandung anak sulung, selalu ibu angkat ingatkan jaga adab, jaga akhlak, jaga ibadah. Hikmah ibu mengandung hampir tiada darah haid, lebih banyak ruang untuk tadabbur al quran, mampu solat sunat lebih banyak dari kebiasaan.
Antara pesan ibu angkat yang masih saya ingat.
1. Solat awal waktu. Bila nak solat, beritahu pada anak dalam kandungan yang kita mahu solat.
2. Melazimi wuduk. Kalau tidak mampu mandi wajib seawal yang boleh, segerakan ambil wuduk supaya tidak tidur tanpa wuduk.
3. Jangan tidur tanpa pakaian. Syaitan suka. Paling tidak, selimutlah.
Bila sudah habis nifas, solat yang pertama saya laksanakan selepas bersalin, saya letakkan bayi di sisi sejadah. Saya amalkan sampai anak sudah besar.
– Kalau anak tidur, saya letak saja toto nipis atau tilam bayi. Paling tidak kalau dia jaga, nampak saya sedang solat.
-Kadang berjaya, kadang kecundang. Ya, kita berurusan dengan bayi.
Setelah lama tak ada bayi, sekarang mulakan rutin solat bersama bayi semula.
Lelaki yang hebat adalah lelaki yang mampu angkat takbir, bukan angkat berat. Wahai Tuhan kami, Jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang beriman dan bertakwa!
Ads
Bila Ummi suruh solat Subuh, dan mengadu sejuk. Wahai Tuhan kami Jadikanlah solat sebagai kerehatan buat kami.
Hiba juga hati bila abang yang sulung dah boleh jadi imam untuk ummi dan adik-adik. Kadang kala jadi imam untuk abi juga. Balik sekolah, penuh riang gembira maklumkan.
“Ummi, hari ni Abang Amir jadi imam solat Asar di sekolah.”
Ads
Tiba-tiba rasa baru semalam mengilu parut luka torehan pisau semasa pembedahan untuk keluarkan beliau. Allah jualah sebaik-baik Penjaga.
Latih kepimpinan anak-anak lelaki melalui solat dengan memberi kepercayaan pada mereka menjadi imam dalam solat.
Ramai sahabat sedang menanti kelahiran bayi. Semoga rahmat Allah sentiasa kalian peluk erat-erat.
Kandungan pertama mungkin waktu ibadah sangat luas. Bila kandungan semakin banyak, dah ada anak yang perlu perhatian mungkin terasa kurang waktu untuk ibadah. Jangan sedih, ibadah bukan pada banyaknya helaian al quran yang kita baca. Menyantuni anak-anak juga ibadah.
Beruntunglah para ibu yang sentiasa Allah rezekikan ibadah setiap waktu!
Ummu Amir. Sungguh, solat mampu jadi waktu untuk rehat.
Anak kecil dan bayi (terutamanya) memang tak dapat dipisahkan dengan penggunaan tungku/tuam. Bayi baru lahir perlu ditungku untuk hangatkan badan bayi selepas mandi, kurangkan kembung perut atau angin dalam badan dan juga elakkan angin pasang (bagi anak lelaki).
Berdasarkan perkongsian Puan Yatie Eimra dia ada berkongsikan cara untuk membuat tungku ekspres dengan bahan yang ada di rumah sahaja dan berkesan untuk merawat kembung perut bayi dan juga ibu dalam pantang.
Ikuti perkongsiannya:
Anak saya ada masalah sawan nangis akibat terlalu kerap kembung perut sejak dari lahir. Bekalan minyak telon dan tungku bayi memang wajib ada. Masuk 7 bulan baru kurang sakit perutnya. Selama tu jugaklah tungku bayi tak tinggal..
Baru-baru ni masa anak kena cirit birit akibat tonsillitis (hampir 2 minggu), saya buatkan tungku bayi ekspres ni untuk kurangkan kembung perut dan hangatkan badan anak. Almaklum lah, cirit birit ni kalau badan sejuk, lagi menjadi-jadi sakit perutnya. Tungku ni mudah disediakan dan time-time terdesak, memang guna tungku ni je.
Macam-macam bahan orang buat tungku bayi ni. Tapi yang selalu saya buat 2 je bahan utama. Herba-herba lain boleh digunakan sebagai tambahan supaya tungku lebih efektif.
2 Bahan Utama:
Semua bahan-bahan yang dinyatakan kat atas ni boleh serap dam simpan haba apabila dipanaskan. Bahan-bahan ni berfungsi kekalkan suhu panas tungku bayi agar tahan lebih lama. Jadi memudahkan kerja ib-ibu dan tak perlu kerap sangat panaskan balik tungku.
Boleh gunakan pasir pantai, debu tanah (tanah ditapis dengan penapis besi untuk buang batu dan bendasing dan dapatkan debu-debu yang halus je), garam ataupun beras. Gunakanlah bahan yang ibu-ibu mudah dapat ye. Masa berpantang dulu saya tinggal dirumah mak, jadi debu tanah (tanah yang halus) memang mudah dapat. Tapi sekarang saya gunakan garam je.
Yang ni memang paling banyak variasi. Ada yang gunakan lada hitam, habatussauda, halba, biji sawi, jintan, biji ketumbar dan macam-macam lagi. Selalunya saya hanya gunakan lada hitam sebab tu je bahan yang sentiasa ada kat dapur. Tapi kali ni saya tambahkan rempah campur (untuk masak kari tu) sebab dah ada campuran halba, biji sawi dan jintan dalam tu.
Ni Cara Saya Buat Tungku Bayi Ekspres
1/2 cawan garam (lebihkan pun boleh) 2 sudu makan lada hitam 1 sudu makan rempah campur (optional)
*Boleh juga lapiskan kain dengan daun sirih atau daun mengkudu sebelum curahkan campuran yang dihangatkan tadi.
*Boleh juga panaskan bunjut tungku dengan seterika jika suka, tapi suhunya tak betul-betul sekata dan panasnya juga tak tahan lama.
*Untuk garam dan beras, tak disarankan simpan dalam kain sebab garam dan beras ni serap kelembapan. Garam akan jadi lembap dan beras akan berkulat. Sebaik-baiknya campuran garam/beras disimpan dalam bekas bila tak digunakan dalam tempoh yang lama.
*Saya tak ikat mati sebab lebih suka buka dan panaskan balik campuran garam tadi dalam pan bila nak guna. *Boleh tengok gambar cara saya ikat tungku bayi ni gunakan baju bayi terpakai.
Lain-lain tip:
*Sebelum tungku bayi/anak pastikan lapik dengan kain (atau alas dengan baju) supaya tak terlalu panas.
*Pastikan tungku dah suam (test pada bahagian atas tangan sendiri dahulu) sebelum tungku secara terus atas kulit anak.
*Untuk elakkan masalah angin pasang bagi bayi lelaki, setiap kali lepas mandi tuam bahagian alat kelamin anak untuk elakkan bahagian tersebut sejuk (pastikan tungku suam/berlapik kain). Dap atau tekap sekejap-kejap je tungku bayi di bahagian ari-ari dan sekitar kawasan alat kelamin (dari bahagian bawah kemaluan & tolak menghala ke atas dengan perlahan). Buat 2-3 minit. Kemudian tuamlah perut dan tapak kaki selama 3-5 minit.
*Bagi masalah anak kecil yang cirit-birit tanpa henti, boleh juga tuam bahagian perut dan bahagian punggung untuk hangatkan badan anak. Diikuti kawasan peha dan tapak kaki.
*Saya dulu bersalin secara ceaser sebab fetal distress. Saya gunakan tungku yang sama (gandakan sukatannya) & tambahlah daun sirih/mengkudu jika ada untuk tungku bahagian perut (elakkan tungku kawasan luka ceaser). Tungku ni ringan dan sesuai digunakan untuk ibu-ibu yang bersalin secara ceaser untuk bantu cepatkan proses kecutkan rahim dan kurangkan angin dalam badan.
Bila anak kecil anda 0-3 tahun membuat perangai seperti menangis kuat, melembik atau mengeraskan badan, mengamuk kerana mahukan sesuatu atau tiba-tiba dia meragam dan ada orang menyuruh anda memukulnya, usah diikutkan permintaan mereka itu dan usah tertekan dengan kata-kata mereka.
Kenapa?
Kerana ketika anak anda mengamuk, dia sedang berperang dengan emosinya, ibarat lemas dalam perasaannya. Memukul anak itu tidak akan membawa apa-apa kesan baik. Malah kesan buruklah yang bakal datang.
Bawa anak itu ke tempat yang lebih tenang dan tenangkan dia. Basuhkan muka dan kepalanyanya perlahan-lahan dan bacakan doa-doa menenangkannya.
Jika orang itu menyuruh anda memukul anak itu supaya nanti anak itu tidak naik kepala dan jadi degil serta sebagainya senyum sahaja dan di dalam hati berdoalah supaya Allah memberikan petunjuk kepada orang itu.
Kita orang dewasa, kita diberi Allah kekuatan dan kuasa keatas anak kecil. Dan ingatlah dengan kuasa dan kekuatan datangnya tanggungjawab. Kita bertanggungjawab memberikan anak itu rasa selamat di dunia ini dan dikasihi bukan dibenci.
Anak-anak kecil ini memerlukan timbang rasa dan kasih-sayang serta contoh yang baik daripada kita orang dewasa dan bukan punca menjadikan mereka itu manusia yang membenci anak-anak kecil bila mereka dewasa nanti.
Bagi mereka yang suka sangat menyuruh ibu bapa muda memukul dan menjerkah anak kecil mereka yang sedang meragam itu, sudah sudahlah tu. Berhentilah membuat ibu bapa itu lebih stress.
Bantu ibu bapa itu untuk menenangkan anak mereka dengan anda menenangkan ibu bapa itu dengan memberi semangat bahawa dia boleh bersabar dan bukan memberi mereka berasa tertekan dan serba salah dengan paksaan anda.
Salam Sayang
Sumber:
Ibu Rose
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dengan pelbagai berita kematian kanak-kanak ketika dihantar kepada pengasuh yang dilaporkan media, pastinya timbul kebimbangan di hati ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak untuk rumah jagaan ketika mereka perlu bekerja. Antara persoalan yang sering timbul adalah, manakah pilihan yang terbaik, sama ada menghantar anak ke taska atau ke rumah pengasuh? Ikuti artikel ini untuk lebih membantu anda membuat pilihan dan keputusan.
Tip memilih pengasuh
Jika ingin menggunakan khidmat pengasuh, pastikan anda menjalankan semua prosedur penyelidikan dan keselamatan sebelum meninggalkan bayi anda bersamanya. Langkah pertama adalah membiarkan bayi baru lahir dengan pengasuh dalam tempoh tertentu di hadapan anda. Walaupun pengasuh itu mahir dalam penjagaan bayi, sekiranya bayi anda tidak ingin berada di sekelilingnya, jangan sesekali memaksa si manja. Anda perlu memastikan persekitaran kekal tenang dan mesra antara pengasuh dan anak kecil anda.
Ahli keluarga atau saudara-mara
Sekiranya anda bernasib baik dan tinggal berdekatan dengan saudara-mara, ini boleh menjadi pilihan yang terbaik. Walau bagaimanapun, hanya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anda, tidak semestinya mereka akan menjaga anak anda seperti yang anda mahukan. Tetapi sekurang-kurangnya anda berasa percaya dan yakin kerana mengenali individu yang menjaga anak anda.
Namun, tidak menjadi kesalahan untuk anda menyenaraikan keperluan harian anak anda seperti kuantiti pemberian susu sebagai panduan yang boleh membantu mereka. Malah, senarai ini berguna untuk semua pengasuh bukan hanya untuk saudara-mara sahaja.
Cara kehidupan
Untuk ibu bapa yang beragama Islam, sudah tentu anda mahukan pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaknya.
Memilih pengasuh
Tahu tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak
Ilmu Pendidikan Awal Kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia perlu tahu tentang cara untuk menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh, mengendalikan anak yang menggigit atau menenangkan anak yang sedang menangis.
Lakukan penyelidikan
Tanya ibu bapa, jiran dan rakan sekerja untuk cadangan pengasuh bayi. Ini mungkin cara terbaik jika anda tidak mempunyai saudara yang tinggal berdekatan anda. Kebiasaannya rujukan daripada kenalan atau orang yang berpengalaman untuk mendapatkan perkhidmatan pengasuh daripada individu yang sama boleh membantu anda.
Anak anda selesa
Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Sebagai seorang ibu, anda perlu sentiasa ingat bahawa walaupun anda mungkin mendapat pengasuh yang terbaik, ia bagaimana sekalipun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh ataupun tidak. Jika anak masih tidak mahu dengan pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak sesuai dengan si manja.
Rasa gembira
Sebagai ibu bapa, pasti anda akan dapat melihat sekiranya pengasuh anak anda benar-benar gembira menjaga dan mengasuh si kecil anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.
Lakukan pemeriksaan latar belakang yang diperlukan
Sebaik sahaja mendapati seorang pengasuh yang anda fikir mungkin baik untuk penjagaan bayi anda yang baru lahir, lakukan juga pemeriksaan latar belakang terhadapnya. Anda boleh melakukan temuduga melalui telefon atau tinjauan ke rumah pengasuh berkenaan. Simpan salinan pengenalan diri pengasuh sebagai keperluan rujukan semasa dan akan datang.
Komunikasi
Anda sudah pasti mahu pengasuh menjaga bayi anda sama seperti yang anda lakukan, iaitu dengan cara yang terbaik. Pastikan anda menjaga hubungan anda dengan pengasuh dan ambil masa untuk berbual dengan mereka mengenai anak anda supaya wujud keselesaan antara anda dengan pengasuh. Apabila wujud hubungan komunikasi dua hala yang baik, pengasuh tidak teragak-agak untuk memaklumkan keadaan semasa anak asuhannya kepada ibu bapa.
Menghormati
Seorang pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau akan memaklumkan kepada anda jika terdapat sebarang kemungkinan seperti jika dia perlu bercuti seawal yang mungkin.
Bersih dan selamat
Kebersihan merupakan satu petanda yang baik kepada pengasuh. Sebagaimana anda menghantar anak dalam keadaan yang bersih, seharusnya anda akan mengambil anak anda dalam keadaan yang bersih juga. Dalam soal keselamatan, kemalangan kecil seperti terjatuh atau pergaduhan kecil dengan anak jagaan yang lain pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan. Tetapi seorang pengasuh yang baik akan sentiasa memastikan keselamatan anak anda menjadi keutamaannya.
Tanda perlu menukar pengasuh
Menyerahkan anak kepada jagaan orang yang baru anda kenali bukanlah suatu yang menggembirakan. Apatah lagi, saban hari media memaparkan lambakan berita tentang kekejaman pengasuh yang mendera bayi dan kanak-kanak. Sudah tentu setiap ibu bapa akan berasa risau akan keselamatan anak mereka.
Bagi memastikan anak anda berada di bawah jagaan pengasuh yang betul, anda mungkin perlu melakukan ‘pengintipan’. Anak anda mungkin berada pada pengasuh yang salah jika:
Dia takut setiap kali anda ingin menghantarnya ke rumah pengasuh. Kanak-kanak akan menangis atau menunjukkan tantrum setiap kali anda ingin menghantar mereka ke sana.
Pengasuh kelihatan berahsia tentang rutin harian anak anda. Sepatutnya, rutin anak di rumah pengasuh bukanlah perkara rahsia untuk ibu. Selepas pulang berkerja, sudah tentu anda ingin tahu apa yang dilalui oleh anak anda di rumah pengasuh. Jika pengasuh anak anda tidak memberitahu anda tentang perkara tersebut, sama ada dia kurang dalam berkomunikasi ataupun ada sesuatu yang dirahsiakannya.
Tugas seorang pengasuh adalah untuk menjaga anak anda, bermakna pengasuh perlu memerhatikan dan memantau keselamatan anak anda sepanjang kanak-kanak berada dalam jagaannya. Jika anak anda banyak kali mengalami kemalangan atau kecederaan di rumah pengasuh, ini adalah sesuatu yang perlu anda awasi.
Pengasuh tidak mengikut permintaan anda. Sudah tentu anda ada cara sendiri untuk mendidik anak anda seperti dari segi pemakanan, tidur dan keselamatan anak. Jika pengasuh bertindak seperti dia yang lebih tahu untuk membesarkan anak anda, jadi ini mungkin alasan untuk anda tukar pengasuh anak.
Anak anda kelihatan tidak terurus dan kotor. Kanak-kanak memang gemar main kotor. Namun, jika setiap kali anda mengambil anak dalam keadaan kotor dengan lampin tidak ditukar, ini mungkin tanda-tanda anda perlu mencari pengasuh lain untuk anak anda.
Anak anda kerap lapar dan letih setiap kali anda mengambilnya balik. Ini mungkin petanda pengasuh tidak mengikut rutin makan dan tidur siang anak anda.
Naluri anda mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada pengasuh. Jika anda mempunyai perasaan yang buruk tentang pengasuh, lebih baik anda ikut naluri anda. Lebih baik jika anda menukar pengasuh anak dan mencari orang yang lebih sesuai untuk menjaga anak anda.
Ciri taska yang baik
Jika anda sebagai ibu bapa memutuskan untuk menghantar anak anda ke taska, pastinya anda perlu mengetahui dan memastikan tentang beberapa perkara sebelum menghantar anak anda. Antaranya adalah:
Berdaftar
Taska yang anda pilih haruslah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.
Kawasan persekitaran
Perkara lain yang harus menjadi keutamaan pemilihan taska sebelum membuat sebarang keputusan adalah anda harus memastikan kawasan taska dan sekitarnya adalah selamat. Ini adalah faktor yang amat penting. Cuba lihat dan perhatikan kawasan persekitarannya, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaan jalan, adakah terdapat jalan raya yang berhampiran dengan taska? Apakah ia boleh mengundang bahaya? Itu adalah antara perkara yang harus diambil kira.
Aspek keselamatan
Sekiranya taska yang anda pilih itu merupakan rumah sama ada setingkat atau dua tingkat yang dijadikan premis pusat jagaan, beberapa perkara yang perlu anda lihat adalah; adakah terdapat tangga keselamatan, pintu kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran? Ini antara perkara yang sangat penting untuk dititik beratkan. Pihak taska harus mendapatkan kelulusan pihak tertentu bagi menentukan sama ada jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, pihak taska berkenaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kebersihan
Selain faktor keselamatan, aspek lain yang harus menjadi keutamaan adalah soal kebersihan. Ini kerana, taska yang bersih adalah memainkan peranan yang penting dalam menjamin tahap kesihatan yang baik untuk anak-anak anda. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) adalah antara penyakit yang mudah menjangkiti dalam kalangan kanak-kanak. Ia mudah merebak dan dijangkiti jika kawasan dan tempat anak-anak anda tinggal tidak berada dalam keadaan baik dan tidak dijaga kebersihannya.
Penyediaan menghantar anak ke taska atau pengasuh
Sekiranya anda sudah mendapat dan memilih taska atau pengasuh untuk anak anda, terdapat satu lagi perkara yang perlu anda lakukan iaitu persediaan untuk menghantar anak anda ke taska atau rumah pengasuh. Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku, seperti anak anda mungkin akan menangis ketakutan sebelum pergi ke taska atau rumah pengasuh. Ia adalah satu perkara normal kerana ia melibatkan pengalaman baru dan perubahan besar kepada si manja, lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda menghantarnya kepada pengasuh lain atau anda sendiri yang menjaganya. Adalah penting untuk menjaga emosi dan perasaan anak anda.
Memilih untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh adalah cara terbaik untuk menjadikan anak anda lebih berdikari dan belajar bersosial bersama kanak-kanak lain seusianya. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menghadapi cabaran bagi menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh:
Berbual
Dalam beberapa minggu sebelum anda mula menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh, katakan kepada anak anda mengenai kanak-kanak lain yang sebaya dengannya yang pergi ke sekolah, contohnya seperti, kakak ataupun abang yang lebih tua. Atau anda boleh beri contoh individu dewasa yang pergi ke tempat yang berlainan pada waktu pagi.
Contohnya ibu dan ayah yang pergi bekerja, kemudian pulang ke rumah untuk makan malam dan kita semua tidur di rumah yang sama. Inilah juga cara yang sama untuk kanak-kanak pergi ke taska, rumah pengasuh, sekolah atau tadika dan kemudian balik semula ke rumah.
Penjelasan
Sebaiknya berikan penjelasan pada anak anda mengapa mereka perlu pergi taska atau rumah pengasuh. Katakan kepada anak anda bahawa anda dan pasangan, sebagai ibu bapa perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung dan menyara keluarga.
Kemudian, dengan cara yang baik, perjelaskan kepadanya mengapa kanak-kanak perlu pergi ke sekolah, taska atau rumah pengasuh; untuk belajar, berseronok, bermain dan berjumpa dengan rakan-rakan sebaya.
Sekiranya pada hari anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, dan anak anda menangis, ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak faham. Jangan memandang rendah keupayaan anak anda untuk memahami penjelasan yang diberikan oleh ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda dan pemikiran yang aktif dan boleh menyerap apa yang dikatakan oleh ibu bapanya jika bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas serta penggunaan nada yang lembut. Tetapi mereka mungkin menangis disebabkan perkara lain.
Melawat
Jika anda mempunyai kelapangan, adalah sebaiknya anda mengambil peluang untuk membawa anak anda melawat taska atau rumah pengasuhnya. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak anda melihat dan mencuba untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Ini mungkin dapat menarik minat anak anda dan memudahkan anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh apabila dia telah mendapat rakan yang baru. Namun sekiranya ia tidak berjaya menarik minat anak anda, malah anak anda mungkin menangis setiap kali anda menghantarnya ke taska dan rumah pengasuh, anda sebagai ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Anak anda pasti akan dapat membiasakan diri selepas beberapa hari ataupun minggu.
Kenali pengasuh
Sebagai ibu bapa, anda tidak harus melepaskan tanggungjawab kepada pengasuh atau penjaga taska sebaik sahaja anda menghantar anak anda. Sebaiknya anda perlu mengambil peluang untuk saling mengenali dengan individu yang akan mengambil tanggungjawab dan peranan menjaga anak anda. Mungkin terdapat perkara yang boleh dibincangkan seperti cara didikan dan keperluan anak anda. Cara terbaik adalah untuk berkongsi dengan penjaga anak anda tentang perangai anak anda di rumah, ia pasti dapat membantu pengasuh atau pihak taska dalam menjaga anak anda.
Yang mana lebih baik?
Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, keputusan sama ada untuk menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, kedua-duanya tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya anda dapat menghantar anak-anak anda ke rumah pengasuh atau taska yang boleh dipercayai. Namun, mungkin sebaiknya, bagi anda yang mempunyai anak kecil atau bayi, sebagai permulaan, anda boleh menghantarnya ke rumah pengasuh yang berdaftar dan hanya mempunyai anak jagaan dalam jumlah yang kecil. Ini membolehkan anak kecil atau bayi anda mendapat perhatian dan jagaan yang lebih baik, berbanding menghantarnya ke taska yang kebiasaannya mempunyai bilangan anak jagaan yang lebih ramai.
Namun, apabila anak anda sudah boleh berjalan, berdikari seperti makan dan minum sendiri, sekitar usia 3 tahun dan ke atas, anda mungkin boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan atau taska. Ini kerana apabila menghantar anak anda ke taska, ia sekali gus membolehkan anak anda untuk belajar bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Walau bagaimanapun, pastikan taska yang anda pilih itu telah berdaftar untuk aspek keselamatan.
Jadi walau apa pun keputusan yang anda dan pasangan ambil, sama ada memilih taska ataupun menghantarnya ke rumah pengasuh, pastikan anda tetap mengambil kira tentang faktor dan aspek penting seperti yang dinyatakan di atas.