Seorang bayi di Wuhan dilaporkan positif koronavirus hanya 30 jam selepas dia dilahirkan, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa wabak itu boleh berjangkit ketika bayi di dalam rahim.
Difahamkan bayi tersebut adalah mangsa termuda yang direkodkan dijangkiti virus maut yang telah meragut hampir 500 nyawa sejak virus itu ditemui tahun lalu.
Menurut laporan penyiar CCTV, dua bayi telah dijangkiti wabak Wuhan dengan mangsa paling muda hanya berusia 30 jam.
“Ibu bayi baru lahir itu adalah pesakit yang disahkan dijangkiti koronavirus. Buat masa ini, tanda vital bayi stabil,” katanya.
Doktor kanan di jabatan neonatal di Hospital Kanak-Kanak Wuhan, Dr. Zeng Lingkong berkata, kes itu adalah isyarat bahawa semua harus prihatin mengenai kemungkinan laluan penyebaran baharu koronavirus.
“Wanita hamil perlu menjauhi pesakit yang dijangkiti,” katanya.
Difahamkan, Hospital Kanak-Kanak Wuhan telah mengasingkan kawasan untuk merawat wanita hamil dengan mereka yang disyaki. – Agensi
Sumber: Sinar Harian