Memiliki zuriat sendiri adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Namun tak semua pasangan berkahwin terus dikurniakan cahaya mata, ada juga yang perlu menunggu lama barulah dikurniakan zuriat sendiri.
Tak kurang juga yang mempunyai masalah kesuburan lantas sukar untuk mendapatkan zuriat tanpa mendapatkan rawatan kesuburan yang ada. Disebabkan itu ramai pasangan yang sanggup menggunakan pelbagai rawatan kesuburan sebagai salah satu usaha untuk memiliki zuriat sendiri.
Sering kali berkongsi tentang kisah kejayaan pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi tidak mendapat cahaya mata, kali ini Dr. Thokha sekali lagi Berjaya mengusik hati pasangan yang tidak pernah mempunyai cahaya mata bahawa masih ada harapan untuk si isteri hamil.
Kali ini, doktor tersebut berkongsi kisah seorang wanita yang dikurniakan kembar tiga menerusi rawatan In Vitro Fertilisation (IVF) selepas keguguran ketika melakukan rawatan tersebut buat pertama kali.
Setelah gagal kali pertama, selepas menunggu 3 bulan sekali lagi wanita ini melakukan rawatan IVF. Berkat usaha dan tidak pernah putus asa dengan kekuasaan Yang Maha Esa, kaedah tersebut akhirnya Berjaya membuatkan wanita ini hamil.
IKLAN
Buat Imbasan ada tiga kantung
Dalam perkongsian tersebut, setelah menunggu tiga bulan selepas kandungan kali pertama gugur pada usia tujuh minggu, imbasan yang dibuat menunjukkan terdapat tiga sarung dalam Rahim wanita tersebut. Sekaligus mengesahkan bahawa dirinya hamil kembar tiga.
Ketika imbasan dibuat, doktor turut memeriksa kadar denyutan bayi-bayi dalam kandungan wanita tersebut dan menurut Dr. Thokha ketiga-tiganya berada dalam keadaan baik dan sihat.
IKLAN
Sesiapa sahaja yang berada ditempat wanita atau pasangan tersebut pasti akan berasa teruja dengan berita yang diterima. Tambahan pula bila melihat dan mendengar sendiri denyutan jantung janin yang sedang dikandung.
Walaupun diuji dengan kegagalan ketika pertama kali membuat rawatan IVF, berkat kesabaran dan tidak putus asa wanita ini dan pasangannya akhirnya mereka dikurniakan rezeki anak bukan seorang malah kembar tiga. Jadi untuk pasangan di luar sana, jangan pernah putus asa untuk mendapatkan zuriat sendiri. Yang penting, usaha, doa dan tawakal kepada Allah, InsyaAllah aka nada berita gembira akhirnya.
Wanita dan urusan rumah tangga memang tidak dapat dipisahkan. Tidak kiralah yang berkerjaya mahupun suri rumah. Semasa hamil, urusan ini diteruskan seperti biasa kerana sampai bila-bila pun ia tidak akan pernah sudah. Akan ada sahaja yang perlu dilakukan.
Sebenarnya tubuh wanita semasa hamil menjadi lebih sensitif dan memerlukan penjagaan daripada seberang tekanan mahupun kecederaan. Sehubungan itu, ada beberapa jenis kerja rumah yang sepatutnya dihindari ketika hamil, terutamanya bagi anda yang pernah mengalami keguguran, mempunyai tanda-tanda kelahiran pramatang, plasenta praevia, tekanan darah tinggi dan lain-lain.
Walaupun begitu, kerja-kerja rumah yang biasa dilakukan seperti mengemas, mengelap, menyapu atau vakum adalah selamat dilakukan. Kerja rumah jenis ini juga boleh dianggap sebagai senaman ringan yang bagus untuk tahap kecergasan diri. Berikut adalah senarai kerja rumah yang patut anda elakkan.
1. Cuci tandas
Memcuci tandas boleh mendatangkan bahaya apabila bahan pencuci yang anda gunakan terlalu banyak bahan yang boleh membuatkan permukaan lantai tandas menjadi licin. Dibimbangi anda tergelincir ketika membersihkannya.
Selain daripada itu, bahan pencuci yang mengandungi bahan kimia yang kuat baunya dan ‘tajam’ pun kurang selamat untuk digunakan oleh ibu hamil semasa menmbersihkan tandas.
Namun begitu, jika terpaksa mencuci tandas, lakukan ala kadar sahaja. Sekadar memastikan ia kelihatan bersih. Pastikan juga anda menggunakan bahan pencuci yang diperbuat daripada bahan selamat seperti cuka, perahan lemon dan baking soda mahupun produk pencuci organik.
2. Angkat barang berat
Memasuki trimester ketiga, ada segelintir ibu hamil akan mengalami nesting instinct. Perubahan hormon menyebabkan anda mudah rimas dan asyik mahu mengemas.
Walaupun keterujaan anda untuk mengemas rumah membuak-buak, beringat selalu ketika melakukannya. Elakkan mengangkat atau mengalihkan benda berat kerana ia boleh menyebabkan risiko kecederaan.
Malah ketika mengangkat barang yang sederhana berat seperti bakul baju pun anda perlu mempraktikkan postur tubuh yang betul.
3. Gantung langsir
Perut ibu hamil yang semakin membesar mengalami perubahan graviti tubuh. Oleh sebab itu, keseimbangan tubuh lebih sukar dikawal dan risiko untuk terjatuh atau tergelincir adalah sangat tinggi
Oleh itu, kerja-kerja yang memerlukan aktiviti memanjat tangga, meja atau kerusi, seelok-eloknya dilakukan oleh orang lain dan bukannya anda.
4. Cuci najis kucing
Memelihara kucing boleh mendedahkan individu kepada toksoplasmosis, sejenis parasit yang dipindahkan melalui najis kucing. Sekiranya menjangkiti ibu hamil, parasit ini boleh mendedahkan kandungan kepada masalah kesihatan yang serius. Dalam masa yang sama ia turut menjejaskan tahap kesihatan anda sendiri.
Ada baiknya, jika anda tidak melalukan rutin mencuci dan membuang najis kucing jika membelanya. Biarkan ahli keluarga lain yang melakukannya. Nasihatkan juga ahli keluarga yang mencuci dan membuang najis kucing untuk memakai sarung tangan dan mencuci tangan sebersih-bersihnya menggunakan sabun antiseptik.
5. Mengecat
Kebanyakan jenis bahan kimia seperti varnish, cat dan pelarut mengandungi komponen berasaskan petroleum. Ia dikhuatiri boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada ibu hamil apabila menghidunya.
Kajian mendapati semua bahan ini termasuklah racun pembasmi serangga perosak (piperonyl butoxide) mampu mengganggu perkembangan bayi dalam kandungan. Oleh itu, jauhi segala jenis aktiviti yang boleh mendedahkan anda kepada bahan kimia sebagai langkah yang paling selamat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kenapa bila tengok gambar pregnant test positif tetapi tidak mengandung pun, ya? Jom fahami punca mengapa keadaan itu terjadi dalam perkongsian artikel ini. Semoga bermanfaat!
Gambar pregnant test positif tapi tidak hamil, kenapa ya?
Apabila melakukan ujian kehamilan (UPT) dan mendapat keputusan positif palsu, ia boleh menjadi pengalaman yang menjengkelkan – khususnya buat mereka yang mengalami kesukaran untuk hamil atau sedang merancang kehamilan.
Harapan yang menggunung apabila melihat tanda positif boleh hancur berderai jika mengetahui ia adalah keputusan positif palsu. Pastinya ia boleh menyebabkan wujudnya kekecewaan yang mendalam.
Berita baiknya, pakar menjelaskan situasi untuk mengalami UPT positif palsu adalah jarang untuk terjadi.
Punca gambar pregnant test positif tetapi tidak hamil
Berikut antara perkara yang boleh menyebabkan anda mendapat UPT positif palsu:
1. Membiarkan kit ujian terlalu lama
Sekiranya anda mengambil ujian kehamilan standard dengan penunjuk garis, adalah penting untuk menyemak keputusan mengikut arahan khusus ujian.
Jika dibiarkan terlalu lama sebelum membaca keputusan, air kencing pada kit ujian boleh menyejat dan menjadikannya kelihatan seperti anda mempunyai 2 garis dan bukannya hanya 1 – menjadikan keputusan positif sedangkan hakikatnya negatif.
2. Tamat tempoh punca gambar pregnant test positif tapi tidak hamil
Sebab kedua paling biasa anda akan mendapat keputusan positif palsu adalah kerana kit ujian kehamilan telah tamat tempoh.
Apabila kit ujian melepasi tarikh tamat tempohnya, bahan kimia yang mengesan hCG – human chorionic gonadotropin – tidak dapat berfungsi dengan berkesan dan menyebabkan keputusan yang salah.
3. Sedang mengambil ubat kesuburan
Sekiranya UPT diambil terlalu awal selepas pengambilan ubat kesuburan yang mengandungi hCG – seperti sesetengah suntikan dalam prosedur persenyawaan in vitro (IVF) – anda boleh mendapat keputusan positif palsu.
4. Masih ada hormon hCG selepas bersalin atau keguguran
Keguguran kehamilan biasanya berlaku dalam 13 minggu pertama kandungan. Bahkan kebanyakannya berlaku sebelum seorang wanita mengetahui dirinya hamil.
Biasanya selepas melahirkan anak atau keguguran, hCG boleh kekal dalam tubuh – dianggarkan untuk tempoh masa 4-6 minggu untuk tahap hCG kembali normal.
5. Mengalami kehamilan ektopik
Kehamilan ektopik atau luar rahim berlaku apabila telur yang disenyawakan berkembang di luar rahim – biasanya dalam tiub fallopio – ia juga boleh terjadi dalam ovari atau serviks.
Kehamilan jenis ini biasanya tidak akan berkembang kerana embrio tidak berada di dalam rahim – tempat ia boleh membesar. Tetapi hormon hCG masih terhasil yang menyebabkan anda mendapat keputusan positif.
Kehamilan ektopik boleh mengancam nyawa. Berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami mana-mana gejala berikut:
Sakit yang teruk di perut atau pelvis semasa hamil
Pendarahan faraj
Pening yang teruk, sakit kepala atau pengsan
Sakit bahu
Dorongan untuk buang air besar
Sebarang gejala lain yang membuat anda berasa bimbang
6. Kehamilan kimia, penyebab gambar pregnant test positif tapi tidak hamil
Kehamilan jenis ini adalah keguguran yang berlaku sebelum minggu ke-5 kehamilan apabila embrio dapat ditanam di dalam rahim tetapi tidak bertahan lama. Anda mungkin tidak menyedari bahawa diri sedang mengandung.
Dalam kehamilan kimia, embrio masih menghasilkan hCG sekali gus menyebabkan UPT positif palsu.
Kehamilan jenis ini bukan berpunca daripada tindakan atau ketidakupayaan oleh wanita tetapi boleh berlaku kerana:
Fibroid
Parut tisu
Jumlah hormon tertentu yang rendah seperti progesteron
Kelainan pada bentuk rahim
7. Keadaan perubatan, antara contoh pregnant test positif tetapi tidak mengandung
Kadangkala keadaan perubatan boleh mencetuskan positif palsu dalam ujian air kencing, seperti:
Sista ovari
Penyakit buah pinggang
Jangkitan saluran kencing
Masalah pituitari
Dalam beberapa kes, kanser ovari dan penyakit serius lain
Jika anda mendapat keputusan ujian positif palsu dan telah menolak sebab-sebab lain, berunding dengan profesional perubatan untuk menguji keadaan kesihatan di atas.
Doktor mungkin mengesyorkan ujian darah untuk mendapatkan keputusan ujian yang lebih tepat.
Cara mendapatkan keputusan ujian kehamilan tepat
Untuk elakkan gambar pregnant test positif tetapi tidak hamil, ada beberapa cara boleh anda lakukan bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat.
Masa yang betul
Jangan ambil ujian terlalu awal. Disarankan untuk UPT dilakukan selepas tidak mengalami pendarahan haid pada bulan tersebut atau kemungkinan besar anda akan mendapat negatif palsu – mahupun ujian itu akan mengesan kehamilan kimia yang tidak dapat berkembang.
Mengikut arahan label, contoh pregnant test positif
Pastikan kit ujian anda belum tamat tempoh. Baca arahan dengan teliti dan ikuti langkah-langkah dengan tepat untuk mengelakkan keputusan palsu yang akan mengecewakan anda.
Ulangi ujian kehamilan
Mendapat hasil ujian kehamilan di rumah yang positif, mungkin menyebabkan anda tidak sabar untuk melakukan ujian darah untuk mengesahkan keputusannya. Ujian darah lebih tepat, jadi itu sudah tentu satu pilihan.
Tetapi anda juga boleh mengulangi UPT selepas 3-5 hari untuk mengesahkan kehamilan dan jika hasilnya masih positif!
Sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik.
Mabuk ketika hamil atau loya dan muntah semasa kehamilan adalah perkara biasa semasa peringkat awal kehamilan. Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada ibu mengandung akan mengalami simptom mabuk hamil seperti loya,muntah-muntah, hilang selera makan atau alah kepada bau, persekitaran mahupun individu tertentu.
Mabuk hamil adalah salah satu di antara banyak cabaran yang harus dilalui seorang ibu mengandung. Namun ada juga wanita hamil yang terlepas daripada melalui saat memenatkan ini. Ada juga yang sangat teruk sehingga terlantar sakit dan ada juga yang dialami oleh sang suami.
APA ITU MABUK HAMIL?
Sebelum kita pergi ke cara mengatasi mabuk hamil, mari kita lihat definisi mabuk hamil atau morning sickness terlebih dahulu. Mabuk hamil adalah merupakan perasaan loya atau mual yang seringkali dialami oleh wanita hamil di dalam trimester pertama. Ia biasanya berlaku pada waktu pagi dan hilang dengan sendirinya menjelang tengahari atau petang. Bergantung kepada tahap keseriusan, terdapat beberapa cara untuk atasi mabuk hamil tersebut.
BERAPA LAMA TEMPOH MABUK HAMIL?
Setiap orang tidak sama tempoh mereka mengalami morning sickness. Perubahan hormon dalam tempoh 12 minggu pertama adalah mungkin salah satu sebab-sebab kenapa seseorang itu mengalami mabuk hamil. Mungkin juga kerana kekurangan vitamin B6 dalam diet.
Morning sickness biasanya bermula pada kira-kira 6 minggu pertama kehamilan dan akan beransur-ansur pulih di antara tempoh 14 minggu dan 16 minggu. Tetapi anda mungkin mendapati bahawa pelbagai peringkat loya akan terus berlaku sehingga 20 minggu, dan mungkin juga dalam keseluruhan tempoh kehamilan.
Jika anda mengalami kesakitan, demam atau sakit kepala, atau rasa loya dan muntah-muntah untuk kali pertama selepas sembilan minggu kehamilan, berjumpa dengan doktor anda.
BERAPA LAMAKAH MABUK HAMIL AKAN BERPANJANGAN?
Seperti diberitahu, rasa loya dan muntah lazimnya bermula sekitar 6 minggu kehamilan. Kebiasaanya ia berlaku pada waktu pagi, tetapi ianya boleh juga berlaku pada bila-bila masa siang atau malam. Sumber dari Kementerian Kesihatan ini menyatakan, lebih kurang 80% wanita akan berhenti mengalami gejala ini sekitar 12 minggu kehamilan, selebihnya beransur pulih sekitar 16 minggu kehamilan. Walau bagaimanapun ada juga segelintir wanita yang akan mengalami masalah ini sepanjang kehamilannya.
CARA MENGATASI MABUK HAMIL
JUMPA DOKTOR DAHULU
Pertama sekali, jika anda bangun dan merasakan loya yang teramat dan muntah-muntah sehingga lemah seluruh anggota badan, adalah lebih baik jika anda segera dapatkan rawatan doktor dan ambillah cuti pada hari tersebut. Jika perlu, doktor akan berikan ubat yang sepatutnya.
Kemungkinan besar badan anda sedang bekerja lebih masa bagi membantu perkembangan bayi anda dan badan anda amat memerlukan rehat yang secukupnya. Ia dapat membantu anda dari segi fizikal dan mental untuk menempuh hari-hari yang bakal mendatang.
HIDU BAU LIMAU
Kebanyakan mabuk hamil berpunca dari bau yang kuat terutamanya bau busuk seperti lori sampah yang lalu depan rumah ataupun bau masam ketika sedang berada dalam sebuah pengangkutan awam dalam perjalanan ke tempat kerja. Jika anda mula berasa mual, antara cara termudah untuk atasinya adalah dengan membawa ekstrak limau atau bunga rosmeri di dalam beg anda, dan menghidunya apabila berpeluang. Aroma segar ini dapat melupakan hidung anda daripada bau busuk tersebut dan rasa mual pun akan beransur-ansur hilang.
MINUM AIR DALAM KUANTITI YANG BANYAK
Salah satu cara mengatasi mabuk hamil adalah dengan mengambil air sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Ini adalah disebabkan kekurangan air dalam badan, akan menyebabkan lebih teruk mabuk hamil anda sekiranya ia berlaku. Ada juga yang mengatakan, minum segelas air sejuk berais atau pun minum secawan teh panas dapat membantu mengatasinya.
ELAKKAN PERUT KOSONG
Anda juga boleh cuba untuk makan sedikit biskut bagi mengelakkan perut kosong dan masuk angin. Dengan cara mengalas perut, kesan mabuk hamil tidaklah seteruk berbanding perut yang kosong.
MINUM TEH HALIA
Bagaimana dengan halia? Kalau kebiasaannya kita minum teh halia untuk membuang angin di dalam badan, sebenarnya kandungan di dalam halia juga dapat membantu mengurangkan kesan mabuk hamil tersebut. Tetapi jika anda seorang yang memang tak boleh tahan dengan halia, janganlah paksa diri pula untuk menelan halia tadi.
MAKAN VITAMIN
Cuba ambil Vitamin B6 jika anda mahukan suplemen di dalam tubuh anda. Pengambilan 50mg Vitamin B6 setiap hari terbukti dapat membantu di dalam mengurangkan peluang untuk mendapat mabuk hamil.
Tidak ada orang yang mahukan mabuk hamil tetapi terdapat pelbagai cara mengatasi mabuk hamil tersebut. Semoga petua hilangkan mabuk hamil ini dapat membantu serba sedikit.
Sumber: Kelab Ibu Hamil, Menyusu & Berpantang
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!