Zaman kanak-kanak adalah zaman yang penuh dengan gelak ketawa dan tangisan. Bukan tawa dan tangis je bahkan kanak-kanak anak sifat anehnya yang mama papa kena tahu. Terlampau obses dengan barang atau hal-hal lain buat ibu pening memikirkannya. Jangan runsing sebaliknya fikirkan dari sudut positifnya.
Menurut Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal, ada beberapa ‘keanehan’ zaman kanak-kanak yang boleh memeningkan dan merisaukan papa dan mama sekalian.
Satu contoh yang jelas adalah topik yang menjadi fokus perbincangan kita dalam edisi kali ini iaitu obsesi si kecil atau minat yang terlalu mendalam (intense interest) akan sesuatu barang, hal atau perkara.
Adakah obsesi si kecil dan minatnya yang terlalu mendalam ini boleh mendatangkan kesan yang negatif?
Izinkan saya bercerita tentang anak saudara bongsu saya, Alia. Seperti juga kanak-kanak lain, Alia suka menonton televisyen terutama sekali cerita kartun kegemarannya ‘Doc McStuffins’. Saya sendiri tidak pernah menonton kartun itu tetapi fokusnya adalah dunia perubatan. Maka, anakanda Alia berusia 4 tahun itu pun kini sudah bersedia menjadi seorang doktor dan suka akan segala-gala hal berkaitan dunia perubatan!
Perlakuan Alia taklah aneh sebenarnya, kanak-kanak pada usia 0 hingga 6 tahun melalui fasa demi fasa bila mana mereka akan terobsesi dengan sesuatu. Ada yang teramat suka akan dinosaur, ada yang terobsesi dengan memasak, tidak kurang pula ada si kecil yang hilang takut dan suka ‘mengumpul’ serangga kecil (khabarnya mahu jadi saintis bila besar nanti).
Obsesi si kecil diikuti perlakuan si kecil yang suka berangan-angan dan berimaginasi. Kata Alia kepada saya, dia mahu jadi doktor. Secara peribadi, asalkan obsesi itu positif dan tidak membawa mudarat, mama dan papa perlu melayan dan membantu mengembangkan angan-angan dan daya imaginasi anak kita.
Obsesi Adalah Normal
“Tapi, anak saya suka kumpul serangga pula sekarang! Habis dah semua cacing, cicak, cenggerik keliling rumah dia kumpul dan simpan dalam bilik. Geli-geleman dibuatnya!”, seorang mama memberi pengakuan eksklusif kepada saya. Adakah si kecil itu akan menjadi seorang entomologis atau pakar serangga pada masa depan? Mungkin ya, mungkin tidak. Tetapi itu tidak penting.
Apa yang lebih penting dan perlu kita ketahui, kira-kira sepertiga kanak-kanak yang melalui zaman pendidikan praformal akan menjadi benar-benar terobsesi kepada satu-satu perkara. Obsesi itu juga boleh menjadi sangat unik. Hal ini diakui malah menurut kajian di Universiti Virginia, Amerika Syarikat, obsesi anak biasanya berdasarkan keadaan sekeliling si kecil berkenaan.
Kajian psikologi perkembangan menunjukkan bahawa usia antara 2 hingga 6 tahun adalah tempoh masa bila mana obsesi kuat si kecil memuncak. Kemampuan bermain dan berimaginasi meningkat sekitar usia 3 hingga 5 tahun dan pada usia ini juga kanak-kanak boleh memberi tumpuan kepada beberapa perkara pada satu-satu masa. Kebolehan ini diterjemahkan menjadi ‘hobi’ atau obsesi yang akan berubah-ubah.
Asalkan anak tidak berobses pada benda atau perkara yang tidak sepatutnya dan masih boleh melakukan rutin hidupnya seperti ke sekolah, makan dan sebagainya, biarkan sahaja. Biarkan anak kita bereksperimen, meneroka dan belajar berfikir ketika kusyuk melakukan sesuatu. Ada baiknya untuk perkembangan otaknya kelak.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI