Keibubapaan

Berkhatan, Doktor Kongsi Tip Jaga Luka Supaya Tak Bentan, Bernanah & Cepat Sembuh

Share

Musim cuti sekolah inilah masa yang sesuai untuk anak-anak berkhatan. Sebagai ibu bapa amat penting untuk mengetahui tip penjagaan luka selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.

Berkhatan, Doktor Kongsi Tip Jaga Luka

Selari dengan perubahan zaman, kanak-kanak kini tidak lagi dapat membayangkan kelibat Tok Mudim dengan pisaunya. Hanya doktor dengan peralatan khas untuk berkhatan. Teknik berkhatan yang digunakan kini juga ada beberapa kaedah iaitu biasa, laser dan clamp.

Ramai ibu bapa yang memilih untuk menggunakan teknik clamp kerana cara penjagaannya yang lebih mudah dan tempoh penyembuhan juga lebih cepat. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka bersedia secara mental untuk menghadapi prosedur berkhatan.

Supaya Tak Bentan, Bernanah & Cepat Sembuh

Berikut dikongsikan tip tentang penjagaan luka selepas berkhatan.

1. Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
*Jangkitan/nanah
*Bengkak/bentan
*Jahitan terbuka
*Keruping melekat pada balutan
2. Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
*Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
*Cuci luka dengan normal saline
*Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
*Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda
3. Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
*Tahan sakit: diambil bila perlu
*Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
*Ubat cucian: lazimnya normal saline
*Elak sapu minyak/herba pada luka
4. Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
6. Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
7. Pastikan minum air secukupnya. Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
8. Jaga pengambilan makanan. Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
9. Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
*Sakit/bengkak melampau
*Nanah yang banyak
*Demam tinggi
*Tak boleh kencing
10. Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
*Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
*Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
*Gam: tak perlu jumpa doktor semula
Semoga tip ini dapat membantu ibu bapa memudahkan urusan menjaga anak-anak selepas melalui proses berkhatan.
Published by
Has