Berkongsi dan tidak memendamkan jadikan kita lebih bersemangat dan yakin menempuh ujian apabila anak keduanya di diagnosis dengan Gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD).
Aktres cantik kacukan Melayu-Scotland, Catriona Bahrin Ross yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkongsi cerita tentang anaknya, Jammal Raess yang telah di diagnosis dengan Gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD). Berikut ialah perkongsian Catriona Ross kepada PA&MA baru-baru ini.
MENUMPUKAN KEPADA KELUARGA
Agak lama saya tidak muncul dalam mana-mana drama kira-kira tiga tahun. Dalam tempoh itu, saya memberikan perhatian kepada keluarga. Kehidupan seorang ibu sungguh menyeronokkan. Sephia Rania, 8 tahun, Jammal Raess, 6 tahun dan Edruce Riyadh, 3 tahun menjadi tumpuan utama saya. Kini bila mereka makin besar, saya sudah boleh membahagikan masa untuk lakonan dan keluarga. Dalam masa tiga tahun ini, saya bayak memberikan tumpuan kepada anak syurga kami, Jammal Raess yang didiagnosis autisme.
NALURI SEORANG IBU
Saya dan suami mengesan kelainan pada Raess ketika dia berusia setahun apabila dia tidak bertutur dan memberikan reaksi apabila dipanggil. Tidak seperti kakaknya Sephia Rania pada usia itu, Raess langsung tidak boleh menyebut ‘mama’ atau ‘dada’ dan tidak memberikan respons apabila dipanggil.
Ads
Walau pun ramai yang cuba memberikan keyakinan mengatakan ‘perkembangan anak lelaki memang lambat’ tapi naluri keibuan saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Raess. Raess telah saya dihantar ke playgroup. Pihak playschool memberitahu dia tidak mahu berkawan dan tidak suka ikut serta rakan-rakannya. Prinsipal di playschool mengakuinya dan mencadangkan kami membawa Raess untuk mengikuti ujian autisme.
MENERIMA KENYATAAN
Saya terkejut dengan keputusan diagnosis doktor. Betul-betul tak sangka sehingga lemah rasanya anggota. Pada saat itu saya menerima kenyataan bahawa keseluruhan hidup kami akan berubah. Saya amat tertekan sehingga rasa ingin menyerahkan Raess kepada orang lain kerana merasakan tidak mampu untuk memberikan didikan yang sempurna untuk Raees. Saya memencilkan diri selama sebulan untuk menenangkan fikiran sehingga saya mula mencari info mengenai autisme di Google. Dalam masa dua minggu beribu-ribu artikel mengenai autisme saya telaah dan mula berkongsi mengenai keadaan Raees di Instagram.
Saya DM sahabat saya, Fynn Jamal di Instagram dan mula berkongsi bagaimana untuk menghadapi situasi ketika itu dan memberikan saya kata semangat untuk terus kuat. Sangkaan saya salah. Rupa-rupanya apabila berkongsi dan tidak memendamkan kita jadi lebih bersemangat dan yakin menempuh ujian ini. Saya juga mula menyertai grup dan komuniti sokongan atas talian. Dalam masa setahun saya sudah tenang dengan kenyataan ini dan mula mengaturkan hidup Raess supaya diadaptasi dengan kehidupan kami sekeluarga sebelum ini.
Ads
TERAPI & STIMULASI
Raess kami hantar ke sekolah berkeperluan khas. Di sana dia melalui terapi dan stimulasi di samping pembelajaran. Raess kelihatan lebih tenang dan faham. Dia kini sudah boleh memberitahu apa yang dimahukan dengan menunjukkannya. Dia jadi lebih peka dan sabar.
Kanak-kanak autistik adalah tiga tahun ke belakang dari segi perkembangan dan kelakuannya. Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu besar. Cukup sekiranya dia boleh berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Saya cukup tersentuh dengan anak ketiga, Edruce Riyadh, 2 tahun yang amat memahami keadaan keluarga. Allah seolah-olah mengurniakan Edruce kepada keluarga kami penyokong dan penjaga abangnya. Diharapkan keadaan ini berterusan sehingga mereka dewasa nanti.
Nasihat saya kepada ibu bapa yang ragu-ragu akan keadaan anak supaya membuat ujian diagnosis bagi mengenal pasti keadaan sebenar. Apabila disahkan, hantar anak mengikuti terapi. Jangan disia-siakan peluang untuk mengajar anak belajar, berdikari dan menguruskan diri sendiri. Jangan malu untuk memberitahu masyarakat kerana dengan sikap terbuka ini kita jadi lebih tenang dan lebih ramai lagi yang akan berkongsi tip.
Misalnya apabila ada rakan yang menjemput kami sekeluarga ke majlis hari jadi, saya akan minta untuk datang 30 minit lebih awal sebelum ketibaan tetamu lain dan akan pulang awal. Ini kerana Raess tidak boleh menghadapi orang yang ramai. Jadi mustahak bagi kita untuk mengadaptasi keadaan anak dengan situasi semasa supaya semua pihak berpuas hati.
Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu besar. Cukup sekiranya dia boleh berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Diharapkan keakraban Raess dan Edruce akan kekal sampai bila-bila walau pun nanti saya sudah tiada di dunia ini, mereka saling membantu dan Edruce akan menjadi penjaga abangnya.
Kanak-kanak belajar bercakap melalui interaksi dengan orang dewasa dan rakan sebaya. Proses untuk belajar bercakap dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Menurut perkongsian di instagram Dr Izzar suami kepada pelakon popular Ummi Nazeera, setiap perkembangan anak untuk bercakap berbeza-beza mengikut umur dan faktor lain.
Dr. Izzar juga berkongsi beberapa tip untuk ibu bapa lain yang boleh digunakan bagi merangsang minat anak-anak untuk berlatih bercakap. Ikuti perkongsian penuh ini
BILA ANAK NAK BERCAKAP??
Bercakap ni merupakan salah satu dari komponen perkembangan anak. Perkembangan bercakap untuk anak ni berbeza-beza mengikut umur dan lain-lain baik anak-anak lain. So, jangan nak compare-compare anak kita dengan anak orang lain. Kalau orang lain start compare memang sakit hati kan?
Nak tolong anak biar anak bercakap ada banyak cara. Antaranya kita sebagai parents sendiri kenalah selalu bercakap dengan anak. Biar anak tiru dan ikut kita bercakap.
Kalau parents bercakap tu, cakapla perkataan betul-betul dan jelas. So anak ikutlah. Kalau parents cakap pelat atau bahasa baby yang tak faham tu, anak pun ikutlah sekali.
Bila anak bercakap sendiri, kita puji dia banyak-banyak. Buat dia happy n bersemangat nak bercakap lagi.
Kurangkan masa dia main gajet atau tengok tv. Ni bergantung sebab ada yang lagi banyak bercakap kalau tengok upin ipin or cocomelon sebab dia ikut. Ada yang diamm je tengok. Tu tak bagusla.
Lagi bagus, kenala interaktif. Kenala nyanyi-nyanyi, tunjuk gambar-gambar etc. Parents kenalah kreatif.
Ayra sekarang dah boleh cakap dan gabung perkataan dah. Menari pun suka. Alhamdulillah. #drizzarshares
Ni saya tengah guna buku belajar interaktif dari @mybababaa. Boleh belajar perkataan dalam bahasa Melayu, English, dan juga Mandarin. Belajar perkataan sambil ada gambar sebagai contoh perkataan tu.
Kalau u guys perasan, Ayra dapat kaitkan perkataan ‘oval’ dengan bentuk oval kolam dalam gambar tu. First time tu. Memang membantu dalam perkembangan.
Menurut perkongsian daripada Portal My Health pula, Menurut Pakar Perkembangan dan Pendidikan Kanak-Kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, keupayaan seseorang kanak-kanak bercakap adalah berbeza antara seorang dengan yang lain dan berkait rapat dengan faktor persekitaran dan kesihatan mereka.
-Faktor Persekitaran
-Faktor Kesihatan
-Faktor Genetik
Faktor Persekitaran
Rangsangan dari persekitaran kanak-kanak adalah penting dalam perkembangan pertuturan dan bahasa mereka. Orang dewasa, rakan sebaya serta persekitaran tempat tinggal penting bagi meransang pertuturan dan bahasa kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak atau kurang menerima rangsangan pertuturan berisiko mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa. Pengaruh rakan sebaya juga akan mempengaruhi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.
Faktor Kesihatan
Kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah kesihatan selalunya mempunyai kemahiran bercakap yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan. Kanak-kanak kelainan upaya juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mempunyai masalah kelambatan dalam perkembangan pertuturan mereka. Ada kanak-kanak yang kerap dimasukkan ke hospital disebabkan masalah kesihatan, hal ini akan mengganggu perkembangan interaksi mereka dengan ahli keluarga dan rakan sebaya. Keadaan ini boleh merencat serta melambatkan perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.
Faktor Genetik
Kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik, ayah atau ibu yang mempunyai sejarah kelambatan pertuturan dan bahasa juga boleh mendapat masalah ini.
Perkembangan bahasa kanak-kanak yang normal
0-3 bulan
Kanak-kanak mula belajar bercakap seawal usia 0-3 bulan. Pada waktu ini kanak-kanak telah menunujukkan minat untuk berinteraksi dengan orang dewasa dengan memberikan senyuman mahupun ketawa.
4-6 bulan
Kanak-kanak berusia 4-6 bulan biasanya akan mula mengeluarkan bunyi vokal. Pada waktu ini permainan vokal merupakan cara kanak-kanak belajar untuk bercakap.
6-8 bulan
Pada usia 6-8 bulan kanak-kanak telah mula menghasilkan suku kata yang berulang seperti “mama”, “dada” atau “papa”. Walaupun suku kata tersebut belum bermakna tetapi kanak-kanak telah mula berinteraksi dengan orang dewasa dengan menghasilkan suku kata.
8-12 bulan
Pada usia 8-12 bulan perkataan pertama biasanya akan muncul, contohnya: mama, nenen(susu). Selalunya kanak-kanak pada usia ini telah mempunyai pemahaman bahasa yang baik seperti boleh mengikut arahan-arahan yang mudah.
18-24 bulan
Selalunya kanak-kanak yang berusia 18-24 bulan telah mula menggunakan 2 patah perkataan dalam pertuturan mereka, contohnya; nak air, dah habis.
3 tahun
Apabila kanak-kanak mencapai usia 3 tahun mereka selalunya telah mula membuat ayat lengkap sekurang-kurangnya 3 patah perkataan dalam satu ayat. Kanak-kanak juga telah memahami dan menggunakan kata kerja dalam ayat yang dituturkan. Contoh; adik nak tidur, abah pergi kerja.
4 tahun
Apabila usia kanak-kanak tersebut mencapai 4 tahun mereka telah mula menggabungkan ayat-ayat ringkas menjadi ayat-ayat yang lebih kompleks. Di sini, faktor persekitaran seperti pergaulan dengan rakan sebaya banyak membantu dari segi pertambahan perbendaharaan kata dan meningkatkan kemahiran naratif atau kemahiran bercerita.
Tips Membantu Kanak-kanak Belajar Bercakap
Stimulasi bahasa dan pertuturan adalah sangat penting dalam membantu kanak-kanak belajar bercakap. Ibu bapa yang selalu berinteraksi dengan anak-anak semasa mereka bermain, menonton televisyen atau melakukan aktiviti seperti membaca akan dapat membantu kanak-kanak untuk belajar bercakap serta menambah kemahiran-kemahiran baru yang dapat menggalakkan perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak.
Biarkan anak anda memilih jenis mainan atau topik perbualannya sendiri
Langkah-langkah untuk memberi anak peluang memilih:
-Perhatikan minat anak anda supaya anda dapat menarik minat mereka semasa berinteraksi
-Tunggu, beri masa untuk anak anda memberi respons. Ini membenarkan anak anda memproses apa yang anda cakap
-Dengar bunyi, perkataan atau ayat yang anak anda hasilkan supaya anda faham apa yang ingin anak anda sampaikan
Ikut minat anak anda apabila anak anda telah memulakan interaksi sama ada dengan perkataan, bunyi atau isyarat badan. Anda perlu mengikut minat anak anda. Anda boleh mengikut minat mereka dengan:
-Ikut serta bermain bersama-sama anak anda
-Tiru bunyi atau perkataan yang dihasilkan oleh anak anda
-Terjemah bunyi atau isyarat badan anak anda
-Beri komen pada perbuatan yang sedang anak anda lakukan
-Mengambil giliran untuk memastikan interaksi berterusan
-Perkara yang boleh dilakukan untuk memastikan interaksi berterusan
-Sesuaikan giliran anda dengan anak anda. Komunikasi yang seimbang memerlukan anda mengambil kira kesesuaian panjang giliran anak anda, rentak anak anda serta minat mereka
-Beri bantuan kiu untuk anak anda mengambil giliran
-Ekpresi muka seperti tersenyum atau mengangkat kening
-Sentuhan atau tunjuk seperti sentuh tangan atau tunjuk pada mereka apa yang diinginkan
-Tanya soalan seperti “giliran siapa sekarang?”
-Tanya soalan yang sesuai sewaktu berinteraksi dengan anak anda. Pastikan anak anda faham dengan soalan anda.
-Gunakan rutin harian untuk mengambil giliran dalam berinteraksi seperti sewaktu makan bersama.
-Tambahkan perbendaharaan kata sewaktu berinteraksi
-Anda boleh membantu menambahkan perkataan baru semasa anda berinteraksi dengan anak anda. Tambahkan bahasa dengan:
-Beri anak anda perkataan. Jangan terlalu mengharap atau menekan mereka untuk meniru anda
-Guna pelbagai perkataan seperti kata kerja, kata nama atau perkataan yang menerangkan perasaan
-Tambahkan apa yang mereka sebut, tiru apa yang mereka sebut atau tambah beberapa perkataan lain untuk membuatkan masej anak anda lengkap
-Berkomunikasi dalam aktiviti seharian anda. Berkomunikasi sewaktu bermain dengan anak anda. Anda juga boleh berkomunikasi sewaktu membaca buku dengan anak anda atau sewaktu mendengar muzik.
Oleh itu, luangkan masa anda untuk membantu anak-anak anda belajar bercakap. Berikan persekitaran yang kondusif supaya anak anda boleh belajar bercakap. Sekiranya anak anda tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka, bawa anak anda untuk menjalani pemeriksaan lanjut di klinik-klinik atau hospital-hospital berhampiran. Tindakan awal dapat mencegah anak anda dari mengalami kelambatan pertuturan dan bahasa.
Rujukan
Cooke, J & Willian, D. 1985. Working with Children’s Language. Bicester. Winslow Press
Pepper, J & Weitzman, E. 2004. It Takes Two to Talk. Canada. A Hanen Centre Publication
Kita mungkin niat marah anak sebab nak suruh dengar cakap. Tapi kadang kala bebelan kita itu boleh menguris hati si kecil sehingga mereka pendam rasa.
Jika anak dah mula ketap bibir, tarik nafas panjang, duduk diam di penjuru sudut maknanya ada yang tak kena. Ibu bapa kena cepat bertindak dan jangan biarkan anak bermain dengan emosi mereka.
Perkongsian dari Dr Taufiq Razif mengenai anaknya sendiri yang kena marah oleh isteri hingga anaknya mula ketap bibir.
Anak saya sampai ketap bibir dia!
Pernah sekali isteri saya kepenatan dengan baby kami yang menangis tak berhenti.
Kakaknya pula meragam nakkan perhatian dicampur dengan tak puas tidur. Yela, bila keperluan fisiologi badan tak cukup ni emosi pun jadi redup dan moody kan. Semua benda jadi tak kena. Dah gaya macam kena PMS
Isteri dah mula bebel bila tiba tiba si kakak tu menangis tak berhenti. Dia menangis sebab Umminya tak bagi botol susu adiknya kat dia dulu. Masa tu Umminya terus je bagi botol susu kat si adik.
Kat rumah ni saya memang ajar supaya si kakak yang bagi botol susu kat adik lepas kami dah bancuh. Tu teknik saya nak bagi bonding antara anak saya ni kuat dan tu teknik supaya sifat empati mereka tinggi. Baru lah jadi kurang bergaduh.
Bila dah kena bebel tak berhenti, si kakak tu tadi tiba-tiba ketap bibir dia! Dia pandang Umminya dengan hujung mata dengan pandangan yang tajam sambil air mata mengalir perlahan keluar dari matanya.
Kali ni tangisannya berhenti. Dia berdiri kaku di sudut bilik sambil menggenggam tangannya.
Tiba-tiba isteri saya tersedar daripada luapan emosinya. Masa tu dia baru terfikir yang si kakak ni cuma nak tunjuk kasih sayang pada adiknya je. Yang kita bebel marahkan dia tu buat apa. Kita lupa ada niat suci di sebalik ragam anak anak kita!
Terus isteri saya peluk anak saya tu. Mungkin masa tu isteri saya teringat formula kawal emosi yang saya pernah ajar dia.
Teknik ratio 3:1
1 kali kita terlanjur marah melampau anak kita. Kita balas balik dengan 3 kasih sayang!
Tak kisah la dalam bentuk pelukan ke, ciuman ke, atau pujian ke. Asalkan kita ‘counter’ balik keterlanjuran kita dengan 3 kali ganda kasih sayang!
Alhamdulillah. Anak saya kembali lunak dan lembut hatinya.
Fuh bahaya
Anak marah itu normal tapi kalau sampai anak sendiri berdendam. Itu kena jaga jaga. Dendam boleh datang bila kita mendidik anak tanpa memahamkan anak yang kita tegas kerana kita sayang.
Dendam juga boleh datang kerana kita keterlaluan dalam mendisiplin dan mendidik tanpa kita sulam dengan kasih sayang!
p/s : Tolong bagitahu benda ni pada pasangan kita juga.
Bila anak dah mula nak suruh kita ikut cakapnya sehingga apa yang ibu ayah arahkan dah tak mahu dengar maksudnya anak dalam fasa Misguided Power atau Power Seeking Behaviour.
Biasanya di usia dua tahun ke atas anak dah mula menunjukkan ciri-ciri ini dan jangan dibiarkan. Seeloknya ajar perkara yang betul supaya mereka tahu mana yang boleh dan tak boleh dilakukan.
Perkongsian dari Puan Ezzaty Suffian mengenai masalah anak dalam fasa ini dan cara untuk menanganinya boleh dijadikan panduan bersama.
Fayyadh sekarang dah pandai nak cuba paksa zaty ikut cakap dia. Kalau zaty tak nak ikut, dia akan buat sesuatu yang boleh buat zaty marah atau dia akan tunjuk protes dan tak nak dengar/ikut apa yang kita cakap.
Contohnya lepas mandi, badan belum lap, baju belum pakai lagi. Dia mintak nak makan roti. zaty cakap pakai baju dulu. Then, dia protes taknak pakai baju selagi tak dapat makan roti.
Pernah dengar tentang Misguided Power atau Power Seeking Behaviour? Bahasa kita sebut GILA KUASA, salah guna kuasa, nak jadi boss. So, contoh fayyadh yang zaty cerita tadi termasuk dalam masalah misguided power ni.
Normal ya bila anak-anak dah start ada perangai macam ni. Lagi-lagi bila umur dia dah nak masuk 3 tahun dan ke atas. Lagi lah jelas nampak anak dah mula nak kita ikutkan kehendak dia SEPENUHNYA.
In the same time dia tak nak ikut apa kita cakap atau suruh. Dia nak kita ikut CARA DIA bukan CARA KITA. Apa yang kita akan rasa?
Of course kita akan rasa :
1) sangat tercabar
2) rasa macammmmm nak naik tangan (kadang memang ternaik pun)
3) rasa macam nak dia pergi jauh dari pandangan mata kita sebab dah geram sangat
4) rasa giving in (kita akan cakap kat anak, lantaklah nak buat apa pun)
5) rasa anak seorang yang degil tak nak dengar kata
Misguided power memang termasuk dalam masalah sikap/behaviour anak-anak. Dia orang nakkan sesuatu. Bila tak dapat atau kita tak layan, dia orang cenderung untuk minta dengan cara yang tak betul :
1) tantrum atau mengamuk-ngamuk 2) mula atau pandai menipu 3) tak patuh atau langsung tak nak dengar arahan kita/apa kita cakap 4) menjawab atau lontarkan kata-kata yang menyakitkan hati kepada kita
Tugas kita ibu ayah bukan untuk terus label anak-anak ini sebagai seorang yang degil tak dengar kata. Tapi tugas kita yang sebenar adalah untuk tunjukkan dan ajarkan pada anak cara yang betul bila nak minta sesuatu.
Macam mana nak handle anak yang ada masalah misguided power ni?
1) DIAMKAN DIRI seketika.
Jauhkan diri kita dari anak. Elakkan dari marah-marah, menjerit apatah lagi membebel. Bagi diri kita dan anak calm down dulu sebelum kita nak negotiate/offer apa-apa pada dia.
2) Perlu jadi TEGAS.
Kalau kita cakap tak boleh, maksudnya memang tak boleh. Lagi-lagi kalau anak tantrum. Lagiiiilah kita kena betul-betul firm.
Bagi anak faham yang dia tak boleh bagi arahan untuk ikutkan kehendak dia. Bagi anak faham yang dalam rumah kita ada peraturan yang kena ikut.
3) Beritahu anak dengan JELAS dan NYATA tentang peraturan yang kita buat. Anak akan hilang manfaat bila dia langgar peraturan atau buat salah.
Contoh macam fayyadh tadi. Mesti siap pakai baju dulu sebelum boleh makan roti. Kalau tak nak pakai baju, then takde roti.
✔ Kalau taknak mandi, then no breakfast.
✔ Kalau tak kemas mainan, then tak boleh main basikal kat luar.
✔ Kalau mengamuk nak beli mainan kat mall, then kita balik rumah je terus. Tak payah berjalan pergi mana-mana.
Pastikan apa kita cakap, kita buat dan tunaikan. Supaya anak nampak kita memang serius dengan apa yang kita cakapkan.
4) Bagi anak peluang untuk BUAT PILIHAN DAN KEPUTUSAN
Since dia adalah boss jadian, kita bagi anak peluang untuk dia buat pilihan dan keputusan sendiri. Cara ini pun salah satu cara yang bagus untuk encourage anak berfikir dan pandai buat keputusan.
Selain daripada tu juga, cara ni boleh buatkan dia lupa kehendak asal dia ataupun alihkan perhatian dia kepada perkara lain.
Contoh : fayyadh taknak pakai baju. So, kita ambil dua pasang baju nak mintak dia pilih nak pakai yang mana satu. Nak baju merah atau biru. Nak pakai sendiri atau nak ummi pakaikan
Contoh : bila anak taknak kemas mainan. Bagi pilihan kat anak sama ada nak kemas mainan sekarang atau lagi 30 minit nanti baru nak kemas. Nak kemas lego dulu atau nak kemas puzzles dulu.
*cara ni sangat efektif sebab nak atau tak, sedar atau tanpa sedar, anak tetap kena buat apa yang sepatutnya dia kena buat.
************************************************
Bentuk akhlak anak seawal usia yang boleh. zaty pernah tengok macam mana anak usia 7 tahun gunakan taktik misguided power ni untuk manipulasi ibu ayahnya.
Membentak-bentak, mengamuk-ngamuk bila parents dia menolak kehendak dia. Sampaikan ibunya mengadu kat zaty cakap tak tahan perangai anaknya macam tu.
Sampaikan ibunya terpaksa jumpa ustaz untuk minta air tawar bagi lembutkan hati anaknya. Umur 7 tahun nak betulkan habit yang dah sebati dari usia 3 tahun memanggggg sangat payah.
Nak tegas, tegas dari sekarang. Nak buat peraturan, buat dari sekarang. Silap kita yang selalunya dibuat bila kita dok cakap “takpe, anak kecik lagi. Nanti esok dah faham tahulah dia berubah.”
Takde istilah berubah pada anak kecil ya. Apa yang dia tengok, dia dengar dan dia perhati itulah yang akan bentuk sikap dan akhlak dia pada masa depan.