Baru-baru ini admin berkesempatan untuk bertemu dengan pelakon cantik, Ezzaty Abdullah. Ketika ditanyakan tentang pengalaman dia melahirkan Harum Dalia, berseri-seri wajahnya. Sifat keibuan Ezzaty memang terserlah ketika melayan anaknya. Walaupun anak pertama, tidak kekok langsung. Tidak hairanlah kerana isteri Azwan Kombos ini rupanya pernah bekerja sebagai pengasuh di sebuah taska suatu ketika dahulu.
Sempat Makan Coklat Sebelum Bersalin
Ezzaty memberitahu pengalamannya menjadi ibu sangat menyeronokkan. Sudah rezeki, dia tidak merasa sakit sepanjang proses kelahiran Harum. Sebelum melahirkan, dia risau akan merasa sakit. Telahannya meleset kerana Ezzaty tidak merasa kontraksi yang terlalu kuat dan masih boleh bersembang dan bergurau dengan suaminya. Ditahan lama dalam bilik bersalin, lebih kurang 28 jam. Tidak banyak aktiviti yang boleh Ezzaty lakukan bahkan dia menyuruh Azwan untuk pulang kerana badannya sakit terpaksa tidur berkongsi katil dengan suaminya itu.
Ketika tiba waktu bukaan 10 sm, Ezzaty sudah bersedia untuk bersalin. Mengenangkan dia akan berpantang selepas melahirkan anak, sempat dia minta coklat untuk dimakan. Ketika itu semua orang yang ada di dalam bilik bersalin ketawa melihat karenahnya. Tambah Ezzaty, dia minta coklat kerana tidak mahu kempunan bila berpantang nanti. Tidak mengambil masa yang lama, Ezzaty berjaya melahirkan permata hatinya yang pertama.
Yang lucunya, sebaik melahirkan anaknya itu, Ezzaty sudah beritahu pada Azwan yang dia mahu bersalin lagi. Menurutnya pengalaman melahirkan anak sesuatu yang indah dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Azwan Mabuk, Ezzaty Tak Suka Bau Sabun
Sebelum disahkan hamil, Ezzaty menanti selama sembilan bulan. Dia kemudiannya menunaikan umrah dan berdoa di sana. Lebih kurang sebulan pulang dari Mekah, Ezzaty mengandung. Perasaannya ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dia dan Azwan sama-sama teruja dan tidak sabar.
Ketika hamil pada trimester pertama, Ezzaty tidak mengalami mabuk. Dia masih boleh memasak seperti biasa dan tidak alah dengan apa-apa. Cumanya, dia menjadi tidak suka dengan bau sejenis sabun walaupun sebelum hamil Ezzaty menggunakan jenama itu. Akibatnya sehingga sekarang Ezzaty sudah kurang gemar dengan jenama sabun tersebut.
Ezzaty juga menceritakan bagaimana Azwan yang mengalami kemabukan. Dia yang selalu muntah-muntah pada awal kehamilan Ezzaty. Ketika menjalani penggambaran pun, beberapa kali terpaksa dihentikan kerana Azwan mahu ke tandas untuk muntah.
Harum Anak Manja Ibu
Ibu muda ini juga memberitahu yang Harum memang rapat dengannya. Jika di rumah, anaknya itu akan menangis jika tidak nampak kelibatnya. Bila dah nampak tu, tak ada masalah lagi. Anaknya itu juga pajang akal untuk menarik perhatian Ibunya. Kata Ezzaty lagi, Harum akan mencarinya tidak kira masa.
Biar ketika dia ‘membuang’, lapar atau mengantuk. Harum hanya mencari Azwan ketika mahu tidur kerana sejak bayi lagi, Azwan yang banyak melayan karenahnya sebelum tidur. Ezzaty pula menggunakan pendekatan untuk membiarkan Harum tidur sendiri supaya anaknya lebih berdikari dan mudah tidur.
Admin doakan agar Harum terus membesar menjadi anak yang sihat dan membanggakan kedua ibu bapanya. Semoga keluarga kecil mereka terus dilimpahi kebahagiaan sentiasa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI