Bermain Atas Katil Sebelah Tingkap, Bayi Perempuan 11 Bulan Jatuh Tingkat 3

Share

Benda nak jadi sekelip mata saja. Tak disangka-sangka kejadian yang berlaku pada seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang terjatuh dari tingkat tiga kediaman keluarganya di Blok D, PPR Sri Aman, Jalan Aman Putra, Kuala Lumpur, petang (3 Mei) benar-benar mengejutkan.

Gambar Hiasan

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata polis menerima laporan insiden itu pada jam 6 petang dan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Jinjang kemudian menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah sebelum terjatuh dari tingkap kira-kira jam 3 petang.

“Katil berkenaan dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik terbabit. Siasatan mendapati tingkap di dalam bilik itu tidak mempunyai jeriji dan katil diletakkan berdekatan tanpa sebarang halangan,” katanya dalam kenyataan.

Eng Lai berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden itu.

“Ibu bayi membawa mangsa ke Hospital Selayang (HS) untuk mendapatkan rawatan dan apabila tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan.

Gambar Hiasan

“Mayat kemudian dirujuk ke Unit Forensik HS untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Katanya lagi, hasil laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Kredit: Berita Harian 

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy