Bermain tak sampai 5 minit, suka menjerit, mudah marah? Jika anak ada tanda ini cepat bertindak dan ibu bapa jangan biarkan jika rasa ada sesuatu yang tak kena.
Ada anak yang diam, kreatif bahkan yang paling biasa sekali anak yang terlalu aktif. Kanak-kanak yang aktif biasanya mempunyai rasa ingin tahu yang sangat tinggi sehingga mereka cenderung tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.
Rasa ingin tahu yang tinggi merupakan tanda bahawa anak bijak dan kreatif. Namun, bila terlalu aktif boleh jadi anak termasuk dalam golongan hiperaktif. Dengan sikapnya yang terlalu aktif atau berlari ke sana ke mari membuat ibu bapa tidak mampu mengawalnya. Berikut antara tanda-tanda anak yang tergolong hiperaktif:
1.Tidak fokus
Anak hiperaktif cenderung tidak boleh bertahan lama dengan apa yang dilakukannya. Misalnya, bila dia sedang main bola dan ada rakannya yang membawa layang-layang, maka ia akan beralih untuk ikut bermain layang-layang. Anak hiperaktif tidak boleh bertahan lebih dari 5 minit. Kanak-kanak ini juga suka berteriak dan bercakap sesuka hati. Juga mempunyai sikap yang tidak mudah difahami.
2.Sifat menentang
Anak hiperaktif lebih sukar dinasihati daripada anak non-hiperaktif. Bila mereka sedang asyik bermain naik turun tangga apabila dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti itu mereka akan mudah hendak marah malah akan tetap meneruskan aktiviti itu tanpa menghiraukan orang sekelilingnya.
3.Suka merosakkan barang
Anak hiperaktif harus dijauhkan dari tempat yang banyak benda-benda berharga atau barang yang mudah pecah dan sebagainya. Sikap yang suka mencampak dan merosakkan barang ini patut dikawal oleh ibu bapa.
4.Tiada istilah penat
Walaupun setiap hari asyik bermain seperti berlari, melompat, atau memanjat namun tiada istilah penat. Kanak-kanak yang mempunyai ciri hiperaktif akan sentiasa bertenaga walaupun seharian bermain.
5.Tanpa tujuan jelas
Umumnya kanak-kanak yang aktif membuka buku untuk dibaca, namun pada anak hiperaktif membuka buku dijadikan aktiviti untuk mengoyak kertas, melipat-lipat tanpa membacanya.
6.Tidak mempunyai sifat sabar dan bertolak-ansur
Anak hiperaktif biasanya tidak sabar menunggu giliran bermain. Akibatnya, mereka memilih untuk berebut mainan yang sedang dipegang rakannya. Selain itu, mereka juga suka memukul, mencubit, atau menolak tanpa sebab.
Sekiranya ibu bapa melihat anak-anak mempunyai ciri-ciri ini, boleh terus membawa anak berjumpa pakar kanak-kanak untuk menjalani sesi terapi.
Ibu bapa juga perlu sentiasa memberi perhatian untuk mengawal sikap anak dan jangan membiarkan tanpa sebarang pengawasan. Anak-anak yang sentiasa diberi perhatian, tingkah lakunya akan terkawal walaupun bukan secara keseluruhannya.