Kehamilan

Bermula Minggu Ke-18 Hamil, Bayi Semakin Aktif. Tendangan Pun Dah Boleh Rasa

Share

Sekiranya ibu sudah melepasi trimester pertama kehamilan, sepatutnya ibu sudah berasa semakin lega dan seronok. Ini kerana tiada lagi mual dan loya seperti dialami di awal kehamilan. Ibu sepatutnya berasa lebih sihat dan bertenaga.

Perubahan bentuk badan juga sedikit demi sedikit kelihatan. Sementara itu bayi dalam kandungan juga telah terbentuk sepenuhnya dan mendapat nutrien daripada plasenta anda sejak awal kehamilan lagi. Bayi akan semakin bertambah membesar pada minggu seterusnya.

Memasuki trimester kedua kehamilan, ada banyak perkembangan yang berlaku kepada bayi anda. Paling ketara bayi semakin bertambah keaktifannya. Biasanya menginjak minggu ke-18, ibu akan mula merasakan pergerakan bayi. Bagaimanapun sekiranya ibu baharu pertama kali mengandung, adakalanya ia sukar menjangkakan bentuk pergerakan tersebut. Jangan risau kerana semakin lama anda pasti dikejutkan dengan tendangan kecil bayi comel anda!

Antara gerakan awalnya dimulakan dengan gerakan kontraksi dan relaksasi otot dada. Gerakan ini bermaksud bayi menghirup dan menghembuskan cecair amniotik (air ketuban) ibu. Air ketuban sangat diperlukan oleh bayi dalam kandungan untuk perkembangan paru-parunya.

Pergerakan kedua yang dilakukan oleh bayi adalah gerakan yang dilakukan oleh kaki dan tangannya. Bayi akan mencakar, menendang dan berpusing. Bahkan pada trimester kedua juga, bayi gemar menghisap jarinya.

Sementara itu pergerakan ketiga yang biasa dilakukan oleh bayi adalah ekspresi wajah. Pelbagai mimik muka dibuat oleh bayi sebenarnya. Jika bernasib baik, ibu boleh melihat ekspresi wajah bayi ketika melakukan pemeriksaan ujian imbasan terperinci.

Tahukah ibu, otak si kecil sebenarnya sudah berkembang dan mampu berfikir walaupun usianya baru 16 minggu. Aktiviti berfikir yang dilakukan oleh janin pada usia ini adalah bermimpi. Dengan adanya kemampuan berfikir, maka rasa sakit juga mungkin dirasakan oleh bayi anda. Jika dia sudah boleh merasakan rasa sakit, maka tidak hairanlah sekiranya bayi boleh membuat ekspresi wajah.

 

Published by
Wan Amy