Kalau tidak kawalan emosi ini, apa jua didikan tak akan berkesan kepada anak. Ibu ayah elak buat kesilapan supaya didikan berkesan kepada anak.
Apabila menjadi ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak. Anak adalah anugerah yang perlu dijaga. Ibu bapa juga adalah guru anak yang pertama kepada anak dan model akhlak serta sahsiah yang paling dekat dengan mereka.
Semua ini memerlukan kawalan emosi yang baik agar semua tanggungjawab boleh dilaksanakan dengan sempurna. Puan Noor Afidah Abu Bakar, Co-founder/ Consultant Parent Connect Consultancy di Parent Connect telah berkongsi mutiara kata yang boleh dijadikan pedoman kepada ibu bapa dalam mendidik dan mengasuh anak-anak. Tanpa sabar maka tiadalah ertinya kerana mendidik itu bukanlah sesuatu yang bersifat ‘segera’. ia satu proses yang memerlukan masa dan ruang.
Puan Afidah membarikan tiga jenis kesabaran telah diasingkan kepada kategori seperti berikut;
3 SABAR YANG WAJIB ADA DALAM DIRI IBU AYAH
#1 SABAR EMOSI
Sabar sebagai ibubapa selalu dikaitkan dengan keupayaan untuk menahan rasa marah.
Bersabar agar kita tidak mengamuk, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak menghukum sehingga membawa kepada penderaan.
Anak meragam, anak menguji kesabaran, anak melawan, anak tidak mendengar kata, anak tidak hormat, anak meraung, anak sepahkan rumah, semua ini menjadi cabaran kepada emosi ibu bapa. Sabar, emosi ini penting untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan juga untuk memastikan kewarasan diri kita sendiri.
#2 SABAR MENUNGGU HASIL
Walau apa saja yang kita usahakan dalam mendidik anak-anak, ia tidak akan menunjukkan hasilnya dalam waktu yang singkat.
Mendidik anak-anak adalah satu proses tarbiyah yang dimulai dengan asuhan, didikan dan bimbingan peringkat demi peringkat sehinggalah anak berupaya untuk melakukannya sendiri.
Didikan dan bimbingan ini jugalah yang akan menghasilkan ‘inner speech’ atau suara hati dalam diri anak yang akan menjadi motivasi dalaman supaya anak melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik. Proses ini mengambil masa dan menuntut kesabaran ibubapa.
Janganlah terlalu mengharapkan hasil yang tergesa-gesa sehingga memaksa anak di luar kemampuan dan keupayaan dirinya.
#3 SABAR BERUSAHA
Jika satu kaedah tidak bersesuaian dengan anak, berusahalah mencari dan mencuba kaedah yang lain pula. Jangan cepat berputus asa dan menyalahkan diri sendiri.
Jangan juga menyalahkan anak semata-mata jika sesuatu usaha kita itu tidak berjaya. Setiap anak berbeza-beza sebagaimana setiap keluarga berbeza-beza.
Bersabarlah dalam berusaha mencari jalan penyelesaian kepada apa saja cabaran yang kita hadapi dengan anak-anak.
Bersabar bukanlah bermaksud kita hanya berdiam diri menunggu keajaiban berlaku tanpa usaha.
Sumber: Puan Noor Afidah Abu Bakar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI