Bersalin Mudah, Langsung Tak Jahit. 20 Hari Berpantang Dynas Dah Buat Senaman

Share

Pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar menjawab persoalan orang ramai yang terkejut melihatnya melakukan senaman ketika dalam pantang baru-baru ini.

Menurut Dynas, sebelum melakukan senaman peranakan ketika dalam pantang dia telah meminta nasihat doktor dan bidan sebelum melakukan senaman tersebut.

Katanya, senaman menaikkan peranakan itu hanya boleh dilakukan oleh ibu berpantang tertentu dengan situasi tertentu sahaja.

“Ya saya menerima banyak kecaman ketika melakukan senaman itu dan orang mengaitkannya dengan demam bentan.

“Ramai cakap siapa suruh saya angkat kaki dalam senaman peranakan itu dan mereka katakan ia punca saya demam bentan.

“Sebenarnya ia tiada kaitan pun, malah sebelum melakukan senaman itu saya sudah meminta nasihat doktor dan bidan.

“Malah senaman itu diajar oleh doktor sendiri untuk menaikkan peranakan dan baik untuk ibu yang baru lepas bersalin.

“Lagipun situasi saya berbeza kerana saya bersalin normal dan tiada sebarang jahitan sekalipun. Jadi saya dibenarkan melakukannya dan ia selamat,” katanya kepada Gempak.

Terdahulu, Dynas telah dikecam apabila memuat naik video bersenam ketika sedang berpantang.

Dynas baru sahaja melahirkan anak ketiganya Edriel Obil pada Mei lalu.

Justeru, Dynas berkata dia tidak melayan segala komen netizen mengecamnya kerana bimbang berdepan risiko ‘meroyan’ ketika berpantang.

“Ada sahaja kata-kata negatif diberikan seolah-olah mereka (netizen) lebih tahu mengenai situasi dialami.

“Jadi, saya memilih untuk menyekat akaun yang berpotensi meninggalkan komen berbaur negatif.

“Bukan apa, saya masih berpantang. Jika tersilap langkah boleh membuatkan diri meroyan kerana hormon pun kurang stabil,” katanya lagi.

Kongsi Gambar Lil’ Peanut

Terkini Dynas telah berkongsi gambar bayinya, Edriel Obil selepas tamat tempoh berpantang 44 hari.

Rata-ratanya geram melihat bayi Dynas yang mesra dipanggil Lil’ Peanut.

Dynas berkahwin dengan pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, tahun lalu, selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.

Melalui perkahwinan pertama, Dynas memperoleh dua anak iaitu Khayra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7.

Sumber: Gempak & ig Dynas Mokhtar

Published by
Wan Amy